Anda di sini

Video lagu raya dendangan guru tarik perhatian

Advertisement

BERMULA sekadar untuk mengisi masa lapang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun tanpa diduga kolaborasi lulusan bidang muzik dari sebuah universiti awam,  Putra Iqmal Hashim bersama enam guru berjaya menarik perhatian ramai apabila klip video lagu raya mereka menjadi tular.

Menerusi projek #muzikdarirumah, Putra Iqmal bersama guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Melaka; SK Pulau Tuba dan SK Penghulu Ahmad di Langkawi bersama guru SK Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, Kedah serta guru SK Ayer Hitam, Pulau Pinang menyampaikan lagu dan bermain alat muzik dalam klip video lagu ‘Salam Dunia’ dendangan asal Datuk M Nasir.

Bercakap kepada Bernama, Putra Iqmal, 25, lulusan Ijazah Sarjana Muda Muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, berkata idea untuk menghasilkan klip video itu bermula hasil perbincangan bersama rakannya yang juga guru SK Ulu Melaka, Mohd Mustaqim Muhaidi, 33.

“Mohd Mustaqim bertindak sebagai penyanyi, guru SK Pulau Tuba, Mohamad Azwan Mohd Arham, 35 (pemain gitar) serta Hasnulhadi Ibrahim, 33, (pemain gitar) dan guru SK Penghulu Ahmad Mohamad Firdaus Fadzil, 37, (percussion).

“Turut terlibat menjayakan klip video ini guru SK Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, Ahmad Izzat Khairi, 34, (keyboard) dan guru SK Ayer Hitam, Pulau Pinang, Ammar Abd Aziz, 30 (seruling),” kata Putra Iqmal yang bermain bass dalam klip video itu.

Putra Iqmal yang kini bertugas sebagai Pengurus Pusat Internet IOCC Langkawi berkata dia mengambil masa tiga hari untuk menyiapkan klip video itu, sebelum memuat naik di laman Facebooknya. — Bernama

Advertisement