Anda di sini

Tiga wanita didenda kerana maki polis larang main mercun

Advertisement
 Mahkamah Majistret di Temerloh, semalam memerintahkan tiga wanita didenda RM80 setiap seorang selepas mengaku bersalah mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai polis yang menegur perbuatan salah seorang daripada mereka bermain mercun pada minggu lepas. — Gambar Bernama
DIDENDA: Mahkamah Majistret di Temerloh, semalam memerintahkan tiga wanita didenda RM80 setiap seorang selepas mengaku bersalah mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai polis yang menegur perbuatan salah seorang daripada mereka bermain mercun pada minggu lepas. — Gambar Bernama

TEMERLOH: Mahkamah Majistret di sini, semalam memerintahkan tiga wanita didenda RM80 setiap seorang selepas mengaku bersalah mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai polis yang menegur perbuatan salah seorang daripada mereka bermain mercun, minggu lepas.

Majistret Ti Pei Si memerintahkan tertuduh Nurul Shahira Abdul Lazak, 22, dan dua  emak saudaranya Rasidah Mohamed, 45, dan Siti Rozana Mohamed, 25, menjalani hukuman penjara dua hari, jika gagal menjelaskan denda dikenakan.

Mereka didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Inspektor Mohd Yunus Hazmi pada 8.45 malam, 13 Mei lepas di hadapan sebuah rumah di Taman Sri Bera, Bera dekat sini, dengan tujuan untuk membangkitkan kemarahan dan mengganggu keamanan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rifah Izzati Abdul Mutalif mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Mazieera Sharifudin merayu supaya denda ringan diberikan kepada semua tertuduh atas alasan pendapatan mereka yang hanya sekitar RM900 hingga RM1,500 sebulan dan mempunyai tanggungan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepada Mohd Yunus yang menegur perbuatan Nurul Shahira yang dilihat bermain mercun di pekarangan rumah semasa beliau melakukan rondaan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di taman perumahan terbabit.

Nurul Shahira didakwa menghubungi Rasidah menyebabkan wanita itu datang ke rumah berkenaan dan turut mengeluarkan kata-kata kurang sopan kepada Mohd Yunus sebaik sahaja keluar dari kereta manakala Siti Rozana yang keluar dari rumah turut melakukan perbuatan sama.

Di mahkamah sama, Ti juga memerintahkan supaya Rasidah menjelaskan denda RM300 atau jika gagal, penjara tujuh hari selepas mengaku bersalah berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan tidak sopan kepada seorang lagi pegawai polis.

Rasidah yang merupakan suri rumah didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Inspektor Mohd Izzat Iqbal Mohd Zaki pada 9.40 malam, 13 Mei lepas di Balai Polis Triang, Bera.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 94 akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — Bernama

Advertisement