Anda di sini

Sarawak catat sifar kes positif COVID-19 enam hari berturut-turut

Advertisement
Infografik JPBNS

KUCHING: Sarawak terus merekodkan sifar kes positif COVID-19 untuk enam hari berturut-turut hari ini, dengan jumlah kes positif kekal sebanyak 544 kes setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebanyak dua kes sembuh dan discaj dari hospital hari ini, masing-masing dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dan  Hospital Sibu.

“Jumlah keseluruhan kes positif yang telah sembuh dan discaj adalah sebanyak 437 kes atau 80.33 peratus. 

“Seramai 31 orang disyaki (PUI) baru dilaporkan dan seramai 26 kes PUI masih menunggu keputusan makmal,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Mengenai kedudukan pesakit, Uggah berkata, sebanyak 89 kes sedang dirawat di empat hospital membabitkan HUS sebanyak 72, Hospital Sibu (sembilan), Hospital Bintulu (enam) dan Hospital Miri (dua)

"Daripada jumlah tersebut, satu kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU)," katanya sambil menambah angka kematian kekal 17 setakat ini. 

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, setakat 19 Mei lalu, seramai 544 kes positif COVID-19 dilaporkan di Sarawak.

Daripada jumlah itu, katanya, 21 kes adalah kes import dari luar negara dengan 10 kes dari Indonesia, empat kes (England) dan satu masing-masing dari Belanda, Itali, Arab Saudi, Rusia, Amerika Syarikat, Singapura dan Brunei Darussalam.

"Sebanyak 49 kes adalah kes import dari negeri lain di Malaysia ke Sarawak di mana 39 kes berasal dari kluster Seri Petaling di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuk tujuh di Debak, Betong.

"Untuk kluster Persidangan Kuching, sebanyak 68 kes (daripada 190 kes) dikesan di luar Kuching termasuk 55 kes dari Samarahan, sembilan kes  dari Serian, dua kes dari Miri dan satu kes masing-masing dari Sri Aman dan Bintulu.

"Corak kluster berkenaan harus dihentikan. Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk mengelak daripada rentas daerah dan negeri dalam usaha mencegah transmisi wabak ke kawasan luar bandar.

"Maka itu dikenakan polisi untuk tidak balik ke kampung bersempena Hari Raya dan Gawai. Bersama kita memainkan peranan penting untuk melindungi Sarawak daripada terkena gelombang kedua COVID-19," ujarnya.

Sehingga 12 tengah hari pada 18 Mei lalu, Uggah memberitahu, Sarawak telah mengambil sampel 33,530 individu dengan jumlah swab PCR sebanyak 45, 378.

"Kadar positif adalah sebanyak 1.62 peratus di mana dalam garisan, kadar untuk Malaysia adalah 1.53 peratus," jelasnya.

Beliau dalam pada itu berkata, JPBNS sehingga hari ini telah menyelaras kepulangan pelajar yang balik dari Semenanjung, Sabah dan Labuan seramai 7,446 pelajar. 

Pada hari ini juga, katanya, seramai 510 orang dalam pemantauan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin, menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 37 buah hotel adalah seramai 4,036 orang.
 
Manakala seramai 5,882 PUS telah tamat menjalani tempoh kuarantin.

Enam daerah iaitu Kuching, Samarahan, Tebedu, Lundu, Sibu dan Serian masih lagi dikategorikan sebagai zon kuning manakala lain-lain daerah berstatus hijau.

Sarawak pada Isnin turut mencatatkan sifar kes COVID-19. Kes sifar kes COVID di Sarawak turut dilaporkan pada 17 Mei, 16 Mei, 15 Mei, dan 14 Mei.

Sebelum ini, Sarawak turut mencatatkan kes sifar kes baharu pada 4 Mei, dan selama dua hari berturut-turut pada 11 dan 12 Mei.

Advertisement