Anda di sini

PPM tingkat operasi sebelum dan selepas Aidilfitri

Advertisement
 Yussof menyaksikan Pajeri menyerahkan tongkat kuasa kepada Ahmad sebagai simbolik penyerahan jawatan Komander PPM Wilayah 4 Sabah.
SERAH: Yussof menyaksikan Pajeri menyerahkan tongkat kuasa kepada Ahmad sebagai simbolik penyerahan jawatan Komander PPM Wilayah 4 Sabah.

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) akan meningkatkan operasi bagi tempoh sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri bagi mengekang wujudnya kluster dalam kalangan pendatang tanpa izin (PTI) di negara ini.

Komander PPM PDRM Senior Asisten Komisioner Mohd Yussof Mamat berkata, tindakan ini dilaksanakan bagi membendung ancaman COVID-19 yang berkemungkinan besar dibawa masuk oleh PTI dari negara jiran melalui jalan tikus terutama di kawasan perairan.

“Kita akan melaksanakan Op Benteng COVID-19 dengan kerjasama daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi menghalang kemasukan PTI dari Indonesia dan Filipina terutamanya.

“Di Sabah kita menggerakkan keseluruhan 150 pegawai serta anggota dan 22 botronda milik PPM sebelum perayaan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Menurutnya jumlah ini akan ditingkatkan selepas Aidilfitri berikutan masa itu adalah kemuncak bagi golongan PTI balik semula ke sini untuk tujuan mereka mendapatkan pekerjaan di negara ini.

“Selepas merayakan Hari Raya mereka akan pulang semula ke sini untuk bekerja tambahan pula dengan pembukaan semula pelbagai jenis industri semestinya memerlukan tenaga kerja yang ramai termasuklah pekerja dari luar.

“Kita bimbang kemasukan PTI tanpa kawalan melalui jalan tikus ke negeri ini dan saringan kesihatan tidak dapat dijalankan terhadap mereka yang kemungkinan besar akan membawa masuk sekali COVID-19 yang mungkin akan mewujudkan kluster baharu dalam kalangan PTI,” katanya.

Tambahnya jika salah seorang daripada mereka adalah pembawa virus berkenaan dan bekerja di kilang yang mempunyai pekerja ramai, maka keseluruhan kawasan kilang akan terjejas disebabkan oleh pembawa terbabit.

“Oleh itu kerajaan kini memperketatkan kawalan pertahanan negara melalui laluan udara, darat dan laut bagi mengekang masalah ini.

“PPM akan terus berkhidmat bersama agensi keselamatan lain dengan mengatur sektor operasi sepanjang pantai dan daerah mengikut sektor dan lapisan mengikut kawasan masing-masing ya g ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu katanya selain menumpukan kepada Op Benteng COVID-19 ini, pihaknya juga melaksanakan operasi rutin dalam membanteras jenayah rentas sempadan termasuklah kes penculikan dan penyeludupan barangan kawalan ke negara jiran.

“Kita akan menumpukan kepada penahanan tekong dalam kalangan warga tempatan serta warga asing yang bertanggungjawab menguruskan bot serta menyambut kedatangan PTI masuk ke negara ini bagi memastikan kemasukan lebih ramai PTI ke sini dapat dibanteras.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu sehingga hari ini PPM Wilayah 4 Sabah berjaya merekodkan 82 kes dengan tangkapan 81 individu bagi pelbagai kesalahan membabitkan rampasan lebih RM10.7 juta.

“Bagi tempoh Januari sehingga semalam kita juga merekodkan 470 kes tangkapan membabitkan nilai rampasan dan kompaun sebanyak RM12,982.093.4,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga mengutamakan keselamatan serta kesihatan anggotanya sepanjang tempoh penugasan dengan memastikan setiap anggota memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) termasuk memakai pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman serta penjarakan sosial di lapangan.

“Kita juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalankan saringan kesihatan kepada PTI yang ditahan bagi memastikan mereka bebas dari COVID-19 sebelum tindakan lanjut dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas daripada Asisten Komisioner Mohammad Pajeri Ali yang menyerahkan jawatan Komander PPM Wilayah 4 Sabah kepada Asisten Komisioner Ahmad Ariffin di Bilik Mesyuarat Sri Sipadan Markas PPM Wilayah 4 Sabah.

  • oleh
  • Advertisement