Anda di sini

Ejen pihak ketiga, jangan tertipu!

Advertisement
MARLENE

WALAUPUN banyak amaran, makluman dan peringatan telah diberikan kepada orang ramai, kita masih membaca laporan tentang orang yang menjadi mangsa kepada ejen pihak ketiga. 

Ejen ini akan mendakwa diri sebagai wakil syarikat yang melantik mereka untuk mencari pelanggan dan menawarkan khidmat mereka dengan bayaran. 

Tanpa disedari mangsa, niat sebenar ejen pihak ketiga ini adalah untuk menipu wang mangsa. Ini hanya satu contoh sahaja daripada banyak penipuan yang menjejaskan rakyat Malaysia pada hari ini. 

Berdasarkan laporan media yang memetik pihak berkuasa, rakyat Malaysia sudah kehilangan berbilion ringgit kepada penipu setakat ini.

Kita mungkin bertanya, apa sebenarnya ejen pihak ketiga? 

Pada amnya, ejen pihak ketiga adalah individu atau entiti yang dilantik oleh sebuah syarikat untuk menjalankan transaksi bagi pihak syarikat. 

Pihak ketiga juga digunakan untuk merujuk kepada pemberian fungsi tertentu kepada syarikat luar untuk memastikan khidmat yang cekap bagi pelanggan. Beberapa contoh biasa bagi ejen pihak ketiga adakah broker hartanah, ejen kutipan hutang, dan ejen insurans.

Sebagai sebuah agensi Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyediakan pendidikan kewangan, khidmat nasihat kewangan dan khidmat pengurusan hutang, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) tidak pernah melantik ejen pihak ketiga atau mengenakan bayaran bagi khidmatnya. 

Semua individu boleh pergi terus ke AKPK unruk khidmat nasihat kewangan dan khidmat pengurusan hutang secara percuma. 

Jika ada sesiapa didatangi individu yang mendakwa mereka adalah ejen AKPK dan menawarkan khidmatnya dengan bayaran, kami ingin memaklumkan orang awam bahawa mereka adalah ejen palsu yang tidak ada kuasa untuk bertindak bagi pihak AKPK. 

Jika ada sesiapa yang mengalami situasi kewangan yang begitu menekan (contohnya rumah yang bakal dilelong, kereta yang bakal ditarik, dan sebagainya), jangan percaya kepada pihak ketiga yang mendakwa diri mewakili AKPK dengan janji untuk menyelesaikan masalah anda dengan bayaran. 

Ini adalah satu PENIPUAN. AKPK tidak pernah melantik mana-mana ejen atau pihak ketiga untuk mewakilinya. Khidmat kami adalah PERCUMA bagi semua individu.

Selama ini dan sehingga hari ini, AKPK telah menerima banyak laporan dan maklum balas dari pelanggan yang didatangi individu tertentu yang mendakwa diri sebagai wakil atau ejen AKPK yang menawarkan bantuan kepada mereka untuk menstruktur semula hutang meeka menerusi Program Pengurusan Hutang (DMP) AKPK. 

Segelintir pelanggan cukup bijaksana untuk bertanya kepada AKPK terlebih dahulu dan dengan demikian mengelak daripada ditipu oleh ejen-ejen ini tetapi ramai lagi tidak begitu bernasib baik dan mengalami kerugian. 

AKPK sebenarnya telah menjalankan usaha memberi penjelasan dan pendidikan menerusi media secara berterusan termasuk dalam media sosial untuk memaklumkan orang ramai tentang kewujudan pihak ketiga yang meminta bayaran untuk khidmat sama yang disediakan AKPK. 

Ada juga pihak ketiga meminta wang dari individu yang berhutang sebagai bayaran untuk menstruktur semula atau menjadualkan semula hutang mereka dengan merujuk mereka kepada AKPK. 

AKPK dimaklumkan tentang ejen pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab ini selepas beberapa pelanggan menceritakan bagaimana mereka dibawa ke agensi ini selepas membayar jumlah wang tertentu kepada pihak ketiga yang menawarkan khidmat kewangan kepada mereka. 

Ini merupakan tamparan berganda bagi pelanggan kami yang sudah pun di bebani hutang tetapi ditipu untuk membayar beberapa ribu ringgit sebagai bayaran perkhidmatan kepada pihak ketiga ini. Daripada membayar pihak ketiga ini, mereka sepatutnya menggunakan wang itu untuk mengurangkan hutang mereka.

Modus operandi ejen-ejen ini biasanya adalah untuk membuat panggilan telefon atau menghantar SMS kepada pelanggan berpotensi untuk menawarkan khidmat mereka. 

Individu yang mengalami masalah kewangan dan amat memerlukan bantuan adalah lebih terdedah dan lebih berkemungkinan yakin bahawa ejen tersebut  dapat membantu mereka. 

Ia adalah hakikat yang diketahui ramai bahawa penipu selalunya mengambil kesempatan ke atas perasaan dan emosi orang. 

Mangsa yang terdesak akan bersetuju untuk menerima khidmat itu walaupun bayaran dikenakan. Ejen itu kemudian akan memberitahu pelanggan bahawa bayaran pendahuluan perlu dibuat terlebih dahulu sebelum pemprosesan dapat bermula. 

Ada yang mungkin meminta bayaran setinggi 10 hingga 20 peratus daripada nilai hutang keseluruhan. Selepas bayaran dibuat, ejen itu akan membantu pelanggan untuk mengemukakan permohonan dalam talian DMP kepada AKPK dan membuat temujanji bagi khidmat kaunseling. 

Ia biasanya pada peringkat khidmat kaunseling baharulah pelanggan menyedari dia telah ditipu selepas mengetahui bahawa khidmat AKPK adalah percuma dan AKPK tidak pernah melantik mana-mana ejen pihak ketiga. 

Pada peringkat itu, ia sudah terlambat kerana mereka sudah pun menyerahkan wang mereka dan dalam beberapa kes, ejen sudah menghilangkan diri. 

Pelanggan sudah membayar wang untuk khidmat yang mereka sebenarnya dapat diperolehi secara percuma. Ini adalah satu tamparan kewangan berganda bagi seseorang yang sudah pun mengalami situasi kewangan yang begitu menekan.

Untuk menunjukkan bagaimana ejen pihak ketiga bekerja, dua kes sebenar dipetik di bawah:

• Dalam kes pertama yang berlaku beberapa tahun lalu, seorang wanita telah mendapatkan pinjaman sebanyak RM200,000 dari sebuah syarikat penyedia kredit tetapi tidak lama kemudian, dia mula mengalami masalah kewangan dan mula lambat atau gagal untuk membayar balik hutang. Dalam keadaan itu, seorang 'perunding' yang mendakwa dirinya dari AKPK, menelefonnya dan menawar untuk membantunya menyelesaikan hutangnya dengan meminta bayaran sebanyak 10 peratus daripada nilai pinjamannya. Tertarik dengan janji bahawa masalah kewangannya akan berakhir, dia bersedia untuk memberi bayaran seperti yang dipersetujui. Nasibnya baik kerana seorang ahli keluarga sempat menyebut tentang khidmat percuma AKPK, dan selepas dia membuat pertanyaan sendiri dengan AKPK, dia dengan cepat mendaftar diri untuk Program Pengurusan Kredit ( PPK) AKPK dan menyelamatkan diri daripada kerugian sebanyak RM20,000.

• Dalam kes kedua yang berlaku baru-baru ini, seorang pelanggan menerima SMS yang menasihatkannya untuk mendapatkan pinjaman peribadi bagi menyelesaikan sepenuhnya baki kad kreditnya yang tertunggak. Selepas dia memperolehi pinjaman peribadi dan menyelesaikan baki kad kreditnya, dia memohon had kredit yang lebih tinggi dari bank dengan bantuan ‘ejen’ tadi yang membantunya menulis surat permohonan. Apabila permohonannya diluluskan, dia memaksimumkan had kredit menerusi ‘cash-on-call’ dan menggunakan semua kad kreditnya. ‘Ejen’ berkenaan kemudian membantunya memohon kepada AKPK untuk mendaftar diri dalam PPK dengan memberitahunya bahawa ini adalah pinjaman khas dari Bank Negara Malaysia. Pelanggan yang malang itu, atau lebih tepat, mangsa itu telah membayar hampir RM20,000 kepada ‘ejen’ tersebut sebagai bayaran untuk perkhidmatannya.

Seperti apa yang disebut sebelum ini, ejen pihak ketiga hanyalah satu daripada banyak penipuan yang dihadapi rakyat Malaysia. Sewaktu pandemik COVID-19, beberapa jenis penipuan kewangan telah dilaporkan manakala penipuan yang sedia ada masih dijalankan. 

Malah selepas Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dilancarkan dan bantuan kewangan diberikan kepada mereka yang memerlukan bantuan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia telah diperhatikan bahawa peningkatabn kes penipuan kewangan telah dilaporkan kepada pihak berkuasa. 

Penipu ternyata telah mengambil kesempatan ke atas pandemik COVID-19 dan bantuan kerajaan yang berkaitan untuk menipu rakyat untuk menyerahkan wang mereka. 

Penipuan paling aktif sekali adalah Macau Scam yang sudah sekian lama wujud, atau Kod Kebenaran Transaksi (TAC) palsu, Penipuan Pinjaman Peribadi, pembelian Dalam Talian bagi penutup hidung dan mulut, dan penipuan terbaharu adalah penggunaan laman sesawang palsu atau permohonan menggunakan nama Bank Negara Malaysia. 

Menyedari bahawa ramai orang, termasuk golongan profesional, masih menjadi mangsa penipuan kewangan kerana kurang kesedaran dan kemahiran untuk menanganinya, AKPK telah memasukkan liputan penipuan kewangan yang menyeluruh ke dalam Modul Pelaburan di bawah inisiatif pendidikan kewangannya. 

Menerusi pendidikan kewangan, AKPK mahu melengkapkan individu dengan kemahiran pengurusan kredit dan kewangan yang baik untuk membolehkan mereka membuat keputusan kewangan yang berhemah dan bermaklumat. 

Ilmu pengetahun yang baik dan sikap sihat berhubung pengurusan kewangan akan membantu mencegah individu daripada ditipu. Kami ingin menggalakkan mereka yang ingin tahu lebih lanjut tentang modul pendidikan kewangan kami untuk mengunjungi laman sesawang kami www.akpk.org.my. 

Memandangkan pencegahan sentiasa lebih baik daripada merawatinya ( penawar), ia adalah paling baik jika individu mengelak daripada menjadi mangsa kepada penipu, dan terdapat beberapa tips yang semua orang harus ingat untuk mengelak daripada ditipu. 

Hampir kesemua penipu melibatkan pendedahan maklumat secara sukarela berhubung butiran akaun bank peribadi oleh mangsa kepada pihak ketiga. Contoh bagi maklumat sedemikian adalah nombor akaun, ID ‘log in’ dan kata laluan, nombor TAC, dan dalam beberapa kes, nombor PIN kad kredit turut diberikan kepada sindiket penipuan. Tanpa maklumat sulit ini, ia adalah mustahil bagi sindiket untuk mengeluarkan wang dari akaun mangsa.

Di bawah adalah beberapa tip yang dapat membantu individu untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan kewangan: 
• Rahsiakan ID ‘log in’ dan kata laluan anda
• Pastikan kata laluan anda adalah kuat 
• Jangan kongsi maklumat perbankan anda yang sensitif dan sulit dengan sesiapa pun
• Jangan klik sebarang pautan yang diterima menerusi emel, SMS atau pelantar media sosial lain
• Pastikan alamat laman sesawang dan URL adalah betul
• Jangan panik apabila anda menerima panggilan dari orang yang tidak dikenali. Sentiasa bertenang.
• Jangan mudah percaya kepada apa yang disebut oleh penipu kepada anda tanpa menyemaknya terlebih dahulu

Berhati-hatilah dan sentiasa waspada terhadap penipuan kewangan terutamanya sewaktu wabak COVID-19 sekarang. Selalu ingat bahawa Bank Negara Malaysia tidak akan menelefon anda untuk mempromosikan sebarang skim pelaburan, meminta maklumat perbankan peribadi atau memonta sebarang pemindahan wang. 

Demikan juga, institusi kewangan dan bank tidak melantik atau menggunakan pihak ketiga atau ejen untuk proses mendapatkan pinjaman. 

Orang ramai dinasihatkan berwaspada dengan panggilan atau mesej yang kononnya dari pegawai bank, polis, jabatan cukai pendapatan, mahkamah atau agensi kerajaan lain yang meminta maklumat perbankan peribadi anda. 

Bank atau institusi kewangan tidak akan meminta maklumat perbankan peribadi anda seperti TAC atau Nombor Pengenalan Peribadi (PIN) atau kata laluan dan nama pengguna ‘login’ dalam talian anda.

AKPK ingin mengingatkan semua orang sekali lagi bahawa kami tidak melantik ejen pihak ketiga untuk berhubung dengan pelanggan bagi pihak kami dan khidmat kami adalah percuma bagi semua individu. 

Sewaktu PKP, khidmat kami masih disediakan menerusi saluran komunikasi dalam talian alternatif menerusi borang google. 

Pelanggan boleh melayari laman sesawang www.akpk.org.my untuk mengimbas kod QR bagi mengakses borang google untuk mendapatkan bantuan. Selepas borang dalam talian dikemukakan, pegawai kami akan berhubung dengan pelanggan berkenaan secepat mungkin. 

Pelanggan juga boleh menghubungi talian khidmat pelanggan kami 03-2616 7766. Pelanggan juga boleh pergi ke ask.akpk.org.my untuk mendapatkan tip-tip dan maklumat kewangan terkini.

Artikel daripada
Marlene Margaret Nichol
Ketua Cawangan AKPK Kuching

Advertisement