Anda di sini

COVID-19: Sarawak rekod sifar kes positif lima hari berturut-turut

Advertisement
Infografik JPBNS

KUCHING: Sarawak terus merekodkan sifar kes positif COVID-19 untuk lima hari berturut-turut hari ini, dengan jumlah kes positif kekal sebanyak 544 kes setakat ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, seramai empat kes sembuh dan discaj dari hospital dicatatkan hari ini, dengan tiga kes dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dan satu kes dari Hospital Sibu.

“Setakat hari ini, jumlah keseluruhan kes positif yang telah sembuh dan discaj adalah seramai 435 kes atau 79.96 peratus. 

“Seramai 19 orang disyaki (PUI) baru dilaporkan dan seramai 19 kes PUI masih menunggu keputusan makmal,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kedudukan pesakit sekarang, Uggah berkata, sebanyak 91 kes sedang dirawat di empat hospital membabitkan HUS, Hospital Sibu, Hospital Bintulu dan Hospital Miri.

"Daripada jumlah tersebut, satu kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 17 kes kematian setakat ini," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, JPBNS sehingga hari ini telah menyelaras kepulangan pelajar yang balik dari Semenanjung, Sabah dan Labuan seramai 7,029 pelajar. 

Di samping itu, katanya, JPBNS juga menyelaras seramai 5,883 pelajar yang menuntut di Sarawak untuk kembali ke tempat masing-masing.

"Untuk makluman, Kerajaan Negeri telah menanggung semua kos penginapan dan makanan di semua di pusat kuarantin di seluruh negeri Sarawak," katanya.

 Sementara itu, Uggah berkata, pada hari ini seramai 997 orang dalam pemantauan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin, menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 34 buah hotel adalah seramai 3,750 orang.
 
Manakala seramai 5,492 PUS telah tamat menjalani tempoh kuarantin.

Enam daerah iaitu Kuching, Samarahan, Tebedu, Lundu, Sibu dan Serian masih lagi dikategorikan sebagai zon kuning manakala lain-lain daerah berstatus hijau.

Kes sifar kes baharu di Sarawak dilaporkan pada 17 Mei, 16 Mei, 15 Mei, dan 14 Mei.

Sebelum ini, Sarawak turut mencatatkan kes sifar kes baharu pada 4 Mei, dan selama dua hari berturut-turut pada 11 dan 12 Mei.

  • oleh
  • Advertisement