Anda di sini

Bryan Adams minta maaf kerana komen COVID-19 bersikap perkauman

Advertisement

PENYANYI rock dari Kanada Bryan Adams memohon maaf baru-baru ini setelah tindak balas dan tuduhan mengenai sikap perkauman anti orang China berhubung rungutannya dalam talian tentang pandemik yang memaksa pembatalan pertunjukannya di London pada minggu lepas.

Penyanyi ‘Cuts Like a Knife’ itu mengeluarkan satu kenyataan untuk “memohon maaf kepada sesiapa sahaja dan semua orang yang tersinggung dengan tulisan saya semalam”, dan menambah: “Saya ada kasih untuk semua orang.”

Adams menyatakan dalam paparan Twitter dan Instagram sebelum ini yang sarat dengan kata-kata kesat bahawa pertunjukannya di Royal Albert Hall telah dibatalkan kerana “orang makan kelawar, penjualan haiwan di pasar basah, anak-anak haram yang tamak dan membuat virus”.

Dia seterusnya menyatakan “seluruh dunia kini tergendala, tidak payah nak sebut ribuan orang yang telah menderita atau mati kerana virus ini”, dan menasihatkan rakyat China untuk “menjadi pemakan sayur”.

Sementara kumpulan hak haiwan memuji seruannya untuk berhenti makan daging, pihak lain mentafsir komennya yang sarat dengan kata-kata kesat itu sebagai anti orang China.

“Ini adalah begitu tidak bertanggungjawab dan begitu rasis,” kata Amy Go dari Majlis Kebangsaan Warga Cina Kanada bagi Keadilan Sosial kepada AFP.

“Dia adalah seorang idola Kanada dan dia mengipas api perkauman anti orang China, dan menyumbang kepada peningkatan dalam hinaan yang penuh kebencian serta serangan (fizikal) yang terang-terangan ke atas orang Cina dan orang Asia di Kanada dan di seluruh dunia,” katanya.

Pihak lain menyifatkan kenyataannya sebagai “sampah rasis”.

Pasar basah menjual produk dan makanan segar, termasuk haiwan ternakan dan hidupan liar.

Sebuah pasar sedemikian di Wuhan, China,  dikenal pasti oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebagai punca yang berkemungkinan atau “persekitaran yang menguatkan” wabak.

Ketika dia memohon maaf, Adams menjelaskan: “Tiada alasan, saya hanya mahu merungut tentang kekejaman dahsyat ke atas haiwan di pasar basah ini  sebagai punca virus yang berkemungkinan, dan menggalakkan pemakanan sayur.”

Terdapat bukti anekdot bagi peningkatan keganasan dan retorik anti orang Cina yang dikaitkan dengan pandemik itu.

Go memetik, contohnya, pengalaman seorang lelaki berusia 92 tahun baru-baru ini yang diheret keluar dari sebuah kedai mudah beli ke laluan jalan kaki oleh pekedai kerana dia berketurunan Cina.

Muka seorang wanita Cina Kanada juga telah ditumbuk dalam satu serangan tanpa provokasi pada minggu lepas ketika dia menunggu di perhentian bas di tengah metropolis pantai Pasifik berkenaan.

Sejak itu Adams sudah memadamkan ciapan yang menyinggung perasaan tetapi mesej itu masih ada dalam Instagram.

Di dalamnya, dia juga berkata dia merindui kumpulan muziknya atau “keluarga lain” ketika dalam pengasingan diri bersama isteri dan anak-anaknya. — AFP