Anda di sini

TBT ambil inisiatif wujudkan jalan sehala

Advertisement
 Kakitangan TBT membuat penanda untuk penjarakkan sosial pengunjung.
TANDA: Kakitangan TBT membuat penanda untuk penjarakkan sosial pengunjung.

 Bagi membendung penularan wabak COVID-19

TAWAU: Pengurusan Taman Bukit Tawau (TBT) mengambil inisiatif mewujudkan laluan sehala di pusat rekreasi itu sebagai langkah membendung penularan wabak COVID-19 sejak mula beroperasi 16 Mei lalu.

Selain itu, semua tempat yang menjadi tumpuan orang ramai telah ditanda dan dibuat zon-zon supaya Prosedur Operasi Standard (SOP) penjarakan sosial yang ditetapkan dapat dipatuhi oleh setiap pengunjung.

MARTIN
MARTIN

Penolong Pengurus TBT Martin Moguring berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan SOP yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik.

"Seperti pusat rekreasi yang lain, TBT juga akan mengehadkan jumlah pengunjung seramai 100 orang dalam satu-satu masa supaya tidak berlaku kesesakan di pusat ini.

"Semua pengunjung juga perlu beratur di luar untuk diperiksa suhu badan sebelum boleh membeli tiket dan masuk di TBT seperti yang ditetapkan oleh Taman-Taman Sabah," katanya.

Beliau berkata, setiap pengunjung harus sentiasa memakai pelitup muka dan cecair sanitasi semasa berada di TBT.

"Kami tidak akan membenarkan mereka masuk sekiranya tidak memakai pelitup muka dan mereka harus menyediakan sendiri semua peralatan keselamatan itu semasa berada di TBT," katanya.

Martin berkata, semua aktiviti riadah termasuk mandi-manda diberi kebenaran, namun perlu mematuhi penjarakan sosial semasa berada di dalam sungai tersebut.

"Petugas kami sentiasa memantau keselamatan dan pergerakan pengunjung semasa berada di dalam TBT untuk memastikan mereka mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Setakat ini, semua peringkat umur boleh mengunjungi TBT, belum ada lagi arahan dikeluarkan untuk mengehadkan umur pengunjung di pusat rekreasi di bawah Taman-Taman Sabah," katanya.

Terdahulu, sejak dua hari  beroperasi, TBT sudah menerima seramai 23 orang pengunjung dan pihaknya sudah bersedia untuk menerima pengunjung menjelang Hari Raya Aidilfitri termasuk jumlah petugas di TBT.

POSTINO
POSTINO

Pengunjung, Postino Apoc Domingo, 58, yang sempat ditemui Utusan Borneo menyambut baik langkah kerajaan membuka semula pusat rekreasi di negeri ini.

"Sejak dua bulan lebih, kita hanya terperuk di dalam rumah tanpa ada aktiviti riadah di luar menyebabkan ramai yang sudah mula bosan dan tertekan dengan kehidupan itu.

"Oleh itu, dengan kelonggaran yang diberikan ini, orang ramai boleh menghilangkan tekanan dengan mengunjungi tempat-tempat nyaman dan persekitaran alam semula jadi," katanya.

Postino berkata, orang ramai juga perlu mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh pihak TBT demi memutuskan rantaian wabak walaupun kelonggaran ini sudah diberikan.

"Saya melihat pihak TBT ada menyediakan peraturan-peraturan termasuk yang dipaparkan di luar pagar masuk sebagai panduan semua pengunjung," katanya.

 Pengunjung perlu beratur sebelum masuk di TBT.
BERATUR: Pengunjung perlu beratur sebelum masuk di TBT.