Anda di sini

Kecekalan dan cabaran petugas barisan hadapan

Advertisement
 Sebahagian petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin PPR Batu Putih Sandakan.
WIRA NEGARA: Sebahagian petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin PPR Batu Putih Sandakan.

 

Berjuang untuk putuskan penularan pandemik COVID-19

SEMANGAT yang tinggi ditunjukkan oleh setiap anggota keselamatan, kesihatan dan bomba menunjukkan semangat yang tinggi dalam melaksanakan tugas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun berhadapan cabaran sepanjang bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ada antara mereka ini bertugas membuat pemeriksaan terhadap individu bawah pemantauan (PUS) dan individu bawah siasatan (PUI), menjaga sekatan jalan raya, melakukan proses sanitasi dan menjalankan operasi pemantauan sama ada lautan atau daratan dalam tempoh PKP Fasa 5 bagi peringkat negeri Sabah dan PKP Bersyarat bagi peringkat Persekutuan.

Mereka terdiri daripada pasukan perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi-agensi kerajaan berkaitan.

Ketika orang ramai kekal bersama keluarga di rumah, ada yang perlu berkorban masa demi berkhidmat untuk negara susulan penularan wabak COVID-19. Mereka ini adalah wira-wira  negara yang sanggup meredah risiko berhadapan dengan wabak COVID-19.

Walaupun mereka menjalani ibadah berpuasa sepanjang bulan Ramadan dan berasa mahu berbuka bersama keluarga, namun hasrat itu terpadam demi melaksanakan tugas untuk negara.  

Bukan itu sahaja, ada antara wira-wira negara ini akan menjalankan tugas semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diramalkan pada 24 Mei ini. Pengorbanan besar yang mereka lakukan ini bagi memenangi krisis pandemik COVID-19 sewajarnya dihargai oleh rakyat Malaysia.

DR ZAITON
DR ZAITON

IBADAH PUASA DAN SOLAT TIDAK PERNAH DIABAIKAN

Bagi Pakar Perunding Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Sandakan Dr Zaiton Yahaya berkata, cabaran bertugas sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri adalah amat mencabar sepanjang berkhidmat dalam pasukan perubatan.

Beliau yang kini merupakan petugas barisan hadapan (frontliner) di Pusat Kuarantin PPR Batu Putih Sandakan berkata, dia dan pasukannya perlu berkorban untuk membuat persampelan atau saringan COVID-19 kepada penumpang- penumpang penerbangan balik dari Kuala Lumpur ke Sandakan.

“Sejurus sahaja penumpang-penumpang tiba di Sandakan, saya dan pasukan perubatan akan mengambil saringan COVID-19. Ada penumpang yang tiba melalui penerbangan sebelah petang dan tiba di pusat kuarantin pada waktu berbuka puasa,” katanya kepada penulis.

Dr Zaiton berkata waktu berbuka puasa bukan seperti di rumah dengan hidangan yang enak sedangkan mereka hanya berbuka untuk mengalas perut dengan hidangan yang disediakan di situ.

“Keadaan ini akan berterusan dari hari ke hari ekoran bilangan kapal terbang yang tiba ke Sandakan semakin bertambah menjelang dan selepas hari raya,” katanya sambil menegaskan dia dan rakan-rakan terpaksa melakukan pengorbanan untuk negara dan melupakan sambutan Hari Raya Aidilfitri demi tugas serta tanggungjawab.

Beliau menambah walaupun mereka berhadapan cabaran yang besar dalam melaksanakan tugas tetapi menunaikan ibadah puasa dan solat tidak pernah diabaikan.

 Pasukan perubatan membuat pemeriksaan terhadap individu dalam pemantauan.
PEMERIKSAAN: Pasukan perubatan membuat pemeriksaan terhadap individu dalam pemantauan.

PPE JADI PAKAIAN HARI RAYA

Dr Zaiton berkata ramai yang tidak mengetahui kesukaran mereka bila memakai kelengkapan pelindungan diri (PPE) ketika bertugas dan memang mencabar kerana akan berpeluh.

“Kelengkapan wajib ini akan kami terus pakai secara berterusan sama ada masa berbuka puasa. PPE ini juga akan menjadi pakaian hari raya kami, jadi beraya dalam kepeluhan demi pengorbanan bertugas. Kami kekal bertugas untuk anda semua,” katanya.

Beliau berkata COVID-19 adalah penyakit berjangkit yang baharu melanda dunia dan Malaysia sebuah negara kerdil dan membangun turut terkena jangkitan wabak ini.

“Pengalaman ini tidak akan kita dapat lupakan terutamanya kami yang bertugas dengan mengorbankan masa bersama keluarga tercinta demi tanggungjawab kepada rakyat di negara ini.

Dr Zaiton berkata paling manis apabila negara mendapat pujian dunia bagaimana mengendalikan kes melibatkan multi agensi dan mendapat respons baik daripada masyarakat.

“Kita boleh memenangi peperangan ini tetapi kita belum boleh mendabik dada kerana kita belum menang. Bersatu kita teguh bercerai kita roboh untuk memastikan kita menang menangani krisis COVID-19 ini,” katanya.

Beliau melahirkan rasa kekecewaan terhadap beberapa pihak ketika krisis COVID-19 berlaku dimana ada pihak bertelingkah, tuduh menuduh dan ramai bersikap pentingkan diri.

“Ada barisan belakang, ada kumpulan kayangan dan ada pelbagai tular dengan pelbagai tuduhan serta berita tidak benar. Walhal apa yang berlaku, kami sebagai petugas barisan hadapan baik dari klinik mahupun hospital telah bekerja keras di hospital dan pusat kuarantin bagi mengesan kes dan merawat pesakit COVID-19,” katanya.

Dr Zaiton memberitahu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu masyarakat masih berpusu-pusu keluar dan ingkar PKP.

“Sedangkan kami terpaksa berjauhan dengan keluarga. Kami tetap patuh pada perintah dan buat yang terbaik untuk mempertahankan komuniti daripada dijangkiti COVID-19,” katanya.

SUNDUSIN
SUNDUSIN

CABARAN PETUGAS PEMANTAU PKP KEKAL DAERAH ZON HIJAU

Pegawai Kesihatan Persekitaran Sandakan Sundusin Nganro berkata, cabaran bertugas COVID-19 semasa bulan Ramadan cabaran terbesar apabila peningkatan orang ramai keluar rumah ekoran premis-premis telah dibenarkan beroperasi.

“Daerah Sandakan diklasifikasikan sebagai status zon hijau. Cabaran lebih berat bagaimana mengekalkan status zon berkenaan dalam masa yang sama tidak menjejaskan orang awam untuk dapatkan keperluan harian dan individu bekerja,” katanya.

Beliau ditugaskan sebagai pemantau PKP daerah Sandakan berkata, ini adalah cabaran yang paling sukar untuk dilakukan sekiranya tiada kerjasama semua pihak termasuk orang ramai.

“Saya percaya kerjasama erat agensi kerajaan khasnya PDRM, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, ATM dan agensi berkaitan memudahkan tugas petugas PKP di lapangan.

"Alhamdulillah, Sandakan merupakan satu daerah besar pertama mendapat status daerah zon hijau,” katanya kepada penulis.

Sepanjang bertugas sebagai pasukan pemantaua PKP daerah Sandakan, Sundusin menceritakan cabaran dan kesukarannya bertugas yang berhadapan dengan musuh 'tidak nampak'.

“Tiada erti rehat dan bercuti. Waktu tidur tidak menentu ekoran operasi pemantauan bermula seawal jam 2 pagi dan masa balik ke rumah juga tidak tentu masa. Sejak PKP pada 18 Mac lalu sehingga hari ini, waktu bekerja tujuh hari seminggu,” katanya.

Beliau berkata menerima pelbagai aduan dan persoalan mengenai PKP yang mana terpaksa menjelaskan keadaan serta situasi berlaku.

“Masih ramai masyarakat masih tidak faham dengan apa yang dilakukan kerajaan sehingga mewartakan PKP dan ada segelintir mereka degil masih keluar rumah sedangkan arahan kerajaan untuk mereka berada kekal di rumah,” katanya.

Beliau berkata ada juga peniaga yag telah dibenarkan untuk beroperasi masih tidak faham Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan pihak kerajaan dan pihaknya terpaksa memberi penjelasan terperinci kepada para peniagaan.    

Sundusin berkata cabaran sebagai petugas di barisan hadapan ini apabila berhadapan dengan individu yang positif COVID-19.

“Masyarakat awam menjauhi pesakit tetapi petugas barisan hadapan perlu berhadapan walau risiko untuk dijangkiti ada. Ini kerana tanggungjawab, amanah dan tugas kami perlu hadapi sebaiknya,” katanya.

NGATIRAN
NGATIRAN

NASIHATI ORANG RAMAI GUNA PELITUP MUKA, PENJARAKAN SOSIAL

Bagi Sarjan Ngatiran Abdul Said, penugasan Ops Payung PKPB bermula jam 8 pagi hingga 4 petang merupakan satu tugas yang mencabar dalam bulan Ramadan ini.

Beliau yang merupakan Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) IPD Sandakan berkata, Ops Payung dilaksanakan di sekitar daerah Sandakan bagi memantau semua bank, pasar raya, kedai, restoran dan pasar umum supaya mengikut SOP.

“Tugas ini bukan perkara mudah apatah lagi dalam bulan Ramadan ini, kita berhadapan dengan pelbagai kerenah orang ramai dalam memastikan mereka mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Ngatiran menceritakan kepada penulis cabaran dilaluinya dimana walaupun cuaca panas dan hujan dalam Ops Payung PKPB ini, dia tetap cekap untuk menunaikan tanggungjawabnya bagi menasihati orang ramai supaya menggunakan pelitup muka ketika berada di tempat awam dan mengutamakan penjarakan sosial setiap masa.   

Beliau yang pernah bertugas membuat kawalan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni Sandakan yang dikenakan PKP Ketat ekoran terdapat lima individu dikesan positif COVID-19 di taman perumahan itu.

Ngatiran memberitahu tugas kawalan di PPR Taman Harmoni juga agak mencabar kerana tugas dan tanggungjawab mendisiplinkan orang ramai untuk mematuhi peraturan PKP bukan satu perkara yang mudah.

“Untuk mengubah amalan rutin harian penduduk di taman perumahan itu amat sukar dan kita berdepan dengan ketidakpuasan hati dikalangan penduduk,” katanya.

Beliau berkata dalam menjalankan tanggungjawab bersama rakan setugas terpaksa bertindak tegas bagi memastikan PKP untuk kekal duduk dirumah terhadap penduduk diambil tanpa mengira bangsa atau kedudukan demi kebaikan bersama.

“Langkah penguatkuasaan PKP Ketat di taman perumahan itu kadang kala tidak disukai oleh penduduk namun demi tanggungjawab kepada negara maka saya perlu tegas untuk tugas semasa membuat kawalan untuk tidak membenarkan penduduk keluar rumah dan orang luar tidak dibenarkan masuk ke kawasan taman perumahan PPR itu,” katanya.

Mengenai sambutan hari raya tahun ini, Ngatiran berkata ketika ini dia lebih menumpukan kepada tugas memandangkan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dalam tempoh PKPB.

“Perasaan memang sedih juga kerana hari raya tahun ini tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya kerana kita semua perlu mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.

AWANG BASAH
AWANG BASAH

BERPANAS, BERHUJAN PENGORBANAN ANGGOTA KESELAMATAN

Petugas di sekatan jalan raya berhadapan dengan pelbagai cabaran antaranya diprovokasi dengan pengguna yang enggan beri kerjasama. Ada antara mereka memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah kepada pasukan keselamatan bertugas di sekatan jalan raya COVID-19.

Sedangkan pemeriksaan pasukan di sekatan jalan raya adalah bagi memastikan orang ramai tidak mengambil peluang bergerak sesuka hati tanpa sebab munasabah sepanjang PKP sejak 18 Mac lepas.

Bagi Staf Sarjan Awang Basah dari Batalion Ketiga Rejimen 516 Askar Wataniah Sandakan berkata, apabila dikerah bagi menyertai Ops Penawar selepas dilancarkan pada 18 Mac lalu.

“Saya fikir waktu itu hanya sekadar menumpang dalam Ops Penawar, rupanya kami dikerah sepenuh masa melaksanakan operasi itu untuk bersama PDRM sehinggalah hari ini,” katanya.

Beliau yang merupakan salah seorang dari 66 anggota Wataniah Sandakan yang terlibat dalam Ops Penawar di sekatan jalan raya dan pemantauan berkata sepanjang bertugas sejak fasa pertama sehingga PKPB ini banyak pengalaman dan cabaran dilalui.

“Pelbagai kerenah orang ramai dihadapi oleh pasukan keselamatan yang bertugas. Apabila mereka melalui sekatan jalan raya, pelbagai alasan mereka kemukakan bagi mengharapkan dibenarkan melalui sekatan jalan itu,” katanya.

Awang berkata ada juga orang ramai melanggar perintah PKP pada mulanya fasa pertama dan selepas diberi nasihat mereka mula memahami sedikit ekoran ketegasan pasukan keselamatan bertugas di sekatan jalan raya.

“Cabaran bertugas dalam bulan Ramadan amat detir, berkorban diri dengan meredah panas dan hujan pada siang atau malam ketika bertugas...apatah lagi berhadapan dengan orang ramai dan kami amat terdedah dengan risiko COVID-19.

“Sekiranya dikerah bertugas pada sambutan Hari Raya Aidilfitri, saya akan bertugas demi tanggungjawab kepada negara menangani penularan wabak COVID-19,” katanya.

Beliau berkata perasaan sedih itu memang ada kerana tidak dapat bersama keluarga tetapi buat masa ini ketepikan dahulu bagi  menyambut hari raya kerana lebih penting kita memegang amanah yang diamanahkan berkorban untuk negara tercinta.

HAZMIZAN
HAZMIZAN

BERBUKA DENGAN PAKAIAN PPE

Berbuka puasa dengan kurma dan meneguk air mineral dalam jentera bomba telah menjadi rutin kehidupan setiap anggota setiap kali bertugas dalam bulan Ramadan.

Tetapi bagi, Pegawai Bomba Kanan II Hazmizan Maksit berkata, situasi kali ini amat berbeza dimana mereka terpaksa berhadapan dengan risiko paling tinggi dan berhadapan dengan wabak COVID-19.

Sepanjang bertugas dalam tempoh PKP, Hazmizan telah diarahkan untuk melakukan tugas sanitasi ditempat awam, bangunan kerajaan dan membuat semburan kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau orang awam yang tiba di Sandakan melalui pintu masuk udara.

“Beban tugas semakin mencabar bukan sahaja saya melaksanakan tugas rutin memadam kebakaran dan khidmat khas tetapi melaluikan tugas sanitasi. Memakai PPE ketika bertugas juga satu cabaran bukan sahaja tidak selesa dan berpeluh tetapi demi keselamatan diri agar tidak dijangkiti COVID-19,” katanya.

Beliau yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Zon Sandakan berkata ketibaan penumpang-penumpang dari Kuala Lumpur pada sebelah petang untuk dibuat sanitasi bukan satu perkara mudah.

“Ketika membuat semburan kepada penumpang yang tiba ke pusat kuarantin, azan Maghrib berkumandang…sedangkan saya masih memakai PPE, terpaksa teruskan tugas sementara menunggu rakan setugas mengganti sebelum berbuka puasa,” katanya.

Hazmizan menceritakan pengalamannya ketika bertugas sepanjang PKP dimana dia pernah berbuka puasa dengan berpakaian PPE.

Beliau berkata berbuka tanpa hidangan enak dan tidak selesa sudah menjadi kehidupan seorang anggota bomba sejak berkhidmat dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) 23 tahun lepas.

 Pasukan keselamatan memeriksa kenderaan yang melalui SJR COVID-19.
SJR: Pasukan keselamatan memeriksa kenderaan yang melalui SJR COVID-19.

 

 

 

  • oleh
  • Advertisement