
KUCHING: Untuk hari ketiga berturut-turut, Sarawak hari ini sekali lagi merekodkan sifar kes positif COVID-19 hari ini dengan jumlah kes positif kekal sebanyak 544 kes setakat ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata sebanyak 23 kes telah sembuh dan discaj dari hospital.
Daripada jumlah kes yang sembuh dan discaj, 19 kes dari Hospital Umum Sarawak (HUS), tiga dari Hospital Bintulu dan satu kes dari Hospital Sibu.
“Setakat hari ini, jumlah keseluruhan kes positif yang telah sembuh dan discaj adalah seramai 428 kes atau 78.68 peratus. Seramai 24 orang disyaki (PUI) baru dilaporkan dan seramai 24 kes PUI masih menunggu keputusan makmal,” katanya menerusi kenyataan.
JPBNS turut memaklumkan bahawa Daerah Bau merupakan daerah baharu yang berstatus hijau hari ini menjadikan jumlah daerah berstatus hijau kini adalah sebanyak 34 buah.
Manakala daerah yang berstatus kuning adalah sebanyak enam buah iaitu Kuching, Samarahan, Tebedu, Lundu, Sibu dan Serian.
Mengenai pelajar balik dari Semenanjung, Sabah dan Labuan pula, sehingga hari ini JPBNS telah menyelaras kepulangan seramai 6,164 pelajar.
Selain itu JPBNS turut menyelaras seramai 1,542 pelajar tempatan dalam Sarawak untuk balik ke kampung halaman.