Anda di sini

Lelaki hina polis di Facebook direman dua hari

Advertisement
Suspek berbaju putih ketika dibawa ke Mahkamah Kuching hari ini bagi tujuan reman.

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan perintah tahanan reman selama dua hari terhadap lelaki yang memuat naik status Facebook menghina anggota polis trafik menjalankan tugas menguatkuasakan had laju di Jalan Tun Jugah, di sini. 

Permohonan reman sehingga Ahad dibuat oleh pegawai penyiasat Inspektor Mohd Syuhairi Naufal Chang di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi. 

Suspek berusia 48 tahun itu direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) 1998.

Suspek diperlukan oleh pihak polis untuk membantu memulihkan semula akaun Facebook miliknya, selain membuat semakan rekod lampau suspek. 

Baru-baru ini, suspek memuat naik gambar anggota polis trafik menjalankan tugas dan mengeluarkan kenyataan mengaibkan pegawai terbabit serta menghina kerajaan. 

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani menerusi satu kenyataan berkata, suspek menyedari dirinya diburu selepas dimaklumkan terdapat laporan polis dibuat terhadapnya. 

Jelasnya lagi, suspek menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching pada 14 Mei. 

"Suspek yang menghina kerajaan seterusnya mengundang komen pelbagai dari netizen dan akhirnya tular di media sosial. Semasa disoal siasat, suspek memberikan alasan tertekan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan," katanya. 

Tertuduh diwakili peguam, Micheal Kong.