Anda di sini

Kelab-kelab Serie A mahu kembali beraksi pada 13 Jun

Advertisement
 Juventus mendahului kedudukan liga Serie A Itali dengan kelebihan satu mata berbanding pencabar terdekat, Lazio ketika musim ditangguhkan. — Gambar AFP
BAKAL JUARA: Juventus mendahului kedudukan liga Serie A Itali dengan kelebihan satu mata berbanding pencabar terdekat, Lazio ketika musim ditangguhkan. — Gambar AFP

ROM, Itali: Kelab-kelab Serie A Itali berkata pada Rabu bahawa mereka mahu kembali bermain secara kompetetif pada 13 Jun sekiranya mendapat lampu hijau daripada kerajaan.

“Berkaitan dengan menyambung semula aktiviti sukan dan dengan mematuhi keputusan kerajaan dan mengikut protokol perubatan untuk melindungi pemain, tarikh 13 Jun untuk menyambung semula musim telah dinyatakan,” kata Lega Serie A dalam satu kenyataan.

Sukan di Itali digantung sejak 9 Mac ekoran pandemik koronavirus (COVID-19) yang mengorbankan lebih dari 31,000 orang di negara itu.

Semua 20 kelab dalam Serie A sudah mengundi sebulat suara untuk menamatkan musim ini tetapi ia adalah buat kali pertama satu tarikh untuk kembali beraksi diumumkan.

Menteri sukan Itali, Vincenzo Spadafora memberitahu parlimen Itali di mana beliau ada menerima sepucuk surat dari presiden Persekutuan Bola Sepak Itali, Gabriele Gravina.

“(Gravina) memberitahu saya bahawa persekutuan beliau sudah mengikuti semua cadangan dari Jawatankuasa Saintifik dan Teknikal dan mengubah semula protokolnya untuk membolehkan musim disambung semula tanpa kesukaran latihan bersama dari 18 Mei,” kata Spadafora.

Kelab-kelab di Itali kembali menjalani latihan secara individu pad 4 Mei selepas dua bulan sekatan pergerakan di seluruh negara, dengan sesi latihan berkumpulan dijangka bermula minggu depan dengan syarat yang lebih ketat.

Ada banyak perdebatan tentang tempoh kuarantin selepas satu ujian positif, dengan saintis kerajaan mendesak tempoh kuarantin dua minggu untuk mereka yang mempunyai kontak dengan mereka yang dijangkiti.

Pengurusan bola sepak Itali mendesak tarikh menamatkan musim ini pada 2 Ogos, bagi memberikan masa kepada kejohanan Liga Juara-Juara dan Liga Europa yang akan berlangsung pada lewat bulan.

Jika bola sepak kembali disambung semula pada 13 Jun, ia akan memberi ruang untuk perlawanan separuh akhir Piala Itali dan juga final.

Ada baki 12 perlawanan liga untuk kebanyakan pasukan dengan lapan pasukan mempunyai baki 13 perlawanan.

Spadafora memberi amaran kerajaan akan mengambil pendekatan berhati-hati dan musim hanya akan disambung semula apabila “semua isu keselamatan” dijamin.

“Jika musim disambung semula seperti yang kita semua harapkan, ia adalah kerana kita sudah mengambil semua langkah dan protokol perlu untuk menjamin keselamatan semua pihak terlibat,” kata Spadafora ketika memberitahu Senat Itali pada awal Rabu.

Perancis dan Belanda sudah menamatkan musim mereka tetapi Bundesliga Jerman mendapat lampu hijau untuk menyambung semula musim mereka tanpa penonton pada hujung minggu ini.

Dan Spadafora menjelaskan bahawa di Jerman, keseluruhan skuad kelab divisyen dua, Dynamo Dresden, berada dalam kuarantin dan ujian menemui kes baharu COVID-19.

“Ada orang bertanya kenapa sebuah pasar raya tidak ditutup jika juruwangnya positif sementara jika seorang pemain positif, keseluruhan pasukan dikuarantin.

“Kerana dalam bola sepak, ia adalah mustahil untuk menjarakkan diri dengan pemain lain kerana berebut bola, sesuatu yang tidak berlaku dalam pasar raya.

“Bola sepak secara umumnya adalah sukan di mana anda tidak dapat mengekalkan penjarakan sosial. Pemain harus berlari, menjaringkan gol, berebut bola dalam kotak penalti.”

Juventus mendahului kedudukan liga dengan kelebihan satu mata berbanding pencabar terdekat, Lazio ketika musim ditangguhkan. — AFP

Advertisement