Anda di sini

COVID-19: Kuching kini Zon Kuning, tiada lagi Zon Merah di Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Perkembangan COVID-19 di Sarawak hari ini menunjukkan situasi yang pasitnya menggembirakan orang ramai apabila sekali lagi mencatatkan sifar kes dan Bahagian Kuching pula diklasifikasikan sebagai kawasan Kuning.

Pada 4, 11, 12 dan 14 Mei, juga tiada kes dilaporkan di negeri ini sejak kes pertama pada 13 Mac.

Apabila Kuching diisytiharkan sebagai kawasan Kuning, ini bermakna Sarawak hari ini tiada kawasan merah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Kuching yang sebelum ini merupakan kawasan merah bertukar menjadi kuning apabila kes baru dalam tempoh 14 hari kurang dari 40 kes.

"Pada hari ini terdapat enam kes sembuh dan discaj dari hospital. Kesemua enam kes tersebut adalah dari Hospital Umum Sarawak. Daripada jumlah keseluruhan kes, 74.45 peratus kes positif COVID-19 telah sembuh," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), bilangan orang yang disyaki (PUI) ialah 20.

Manakala PUI yang masih menunggu keputusan ujian adalah 11 kes.

Sementara itu selain Kuching, antara kawasan lain yang masih dalam kategori Kuning adalah Samarahan, Tebedu, Lundu, Sibu, Bau dan Serian.

Manakala 33 lagi kawasan dikategorikan kawasan Hijau.

Mengulas lanjut, Uggah berkata, sehingga hari ini Sarawak secara keseluruhan mencatatkan 544 kes positif COVID-19 dan 121 kes masih dirawat di hospital.

"Manakala bagi kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hanya satu, tiada kes bagi yang memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Sarawak sehingga kini mencatatkan 17 kematian akibat COVID-19.

Advertisement