Anda di sini

Vettel akan tamatkan kerjasama dengan Ferrari akhir musim ini

Advertisement
VETTEL
VETTEL

PARIS, Perancis: Juara dunia empat kali Formula Satu (F1), Sebastian Vettel, mengumumkan pada Selasa di mana beliau akan menamatkan kerjasama dengan pasukan Ferrari pada akhir musim ini, dengan berkata beliau tidak lagi mempunyai “keazaman yang sama” untuk bekerjasama.

Ferrari belum mengumumkan sebarang pengganti kepada Vettel, yang menguasai F1 bersama pasukan Red Bull sebelum berpindah ke Ferrari pad 2015.

Vettel berkata keputusan mengejutkan itu dibuat secara “keputusan bersama”.

“Perhubungan saya dengan Ferrari akan tamat pada akhir musim 2020,” kata pemandu berusia 32 tahun itu dalam satu kenyataan dari pasukan.

“Dalam usaha untuk mendapatkan keputusan sebaik mungkin dalam sukan ini, ia adalah penting untuk semua pihak bekerjasama dengan sempurna.

“Saya dan pasukan menyedari bahawa tiada lagi keazaman yang sama untuk terus bersama selepas akhir musim ini.”

Vettel, yang memenangi 14 perlumbaan bersama Ferrari dan 53 kemenangan keseluruhan dalam kariernya, menegaskan isu kewangan tidak memainkan sebarang peranan dalam keputusannya.

Namun ia dilaporkan di mana selepas sering diatasi oleh rakan sepasukannya yang berusia 22 tahun, Charles Leclerc pada 2019, Ferrari telah menawarkan Vettel lanjutan kontrak hanya satu tahun dengan gaji  yang dikurangkan.

Beliau berkata beliau akan “melihat apa yang benar-benar penting apabila melibatkan masa depannya.”

Pengurus pasukan Ferrari, Mattia Binotto, berkata pemergian Vettel adalah “satu keputusan yang dibuat bersama oleh kami dan Sebastian, dengan masing-masing merasakan ia adalah yang terbaik.”

“Ia bukan satu keputusan mudah kerana Sebastian adalah seorang pemandu dan individu yang hebat,” tambah Binotto.

“Tiada sebab lain di atas keputusan ini, selain dari kepercayaan yang sama di mana ia adalah masa untuk mengikut haluan sendiri dalam usaha untuk mencapai objektif masing-masing.”

Pemergian Vettel akan membangkitkan spekulasi meluas tentang penggantinya, dengan juara bertahan, Lewis Hamilton adalah antara pemandu yang dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan dari Maranello itu.

Hamilton bagaimanapun ada menjelaskan bahawa beliau akan terus kekal di Mercedes.

Bulan lepas, Hamilton memberitahu pengikutnya di laman sosial Instagram: “Tiada impian ke pasukan lain. Saya bersama pasukan impian saya.

“Tiada apa yang pernah terlintas dan saya juga tidak cuba untuk berpindah. Saya bersama dengan mereka yang mengambil berat tentang saya dari hari pertama.”

Turut dikaitkan dengan Ferrari ialah pemandu pasukan McLaren, Carlos Sainz dan pemandu pasukan Renault, Daniel Ricciardo.

Ricciardo, yang berada pada tahun akhir kontrak dua tahun bersama Renault, pernah ditanya tentang kemungkinan menggantikan Vettel pada bulan Februari: “Secara jujurnya, saya sememangnya akan menjawab semua panggilan telefon.”

Ricciardo pastinya pilihan popular di kalangan peminat setia Ferrari, begitu juga Antonio Giovianzzi, yang berada pada musim kedua bersama pasukan Alfa Romeo.

Vettel, seperti bekas pemandu, Fernando Alonso, gagal memberikan kejuaraan dunia kepada Ferrari dengan Kimi Raikkonen adalah juara dunia terakhir dari Ferrari pada 2007.

Rakan sepasukan Vettel, Leclerc, yang sering kali mengatasi Vettel tahun lepas dan turut menduduki petak pertama perlumbaan sebanyak tujuh kali pada musim pertamanya selain menang dua perlumbaan.

Leclerc, yang melanjutkan kontrak bersama Ferrari sehingga 2024 pada bulan Disember tahun lepas, memberitahu Vettel: “Ia merupakan satu penghormatan besar untuk menjadi rakan sepasukan anda. Kita mempunyai beberapa saingan sengit dalam litar.

“Ada yang bagus dan ada yang tidak bagus yang kita tidak mahu berlaku tetapi sentiasa ada penghormatan walaupun ia tidak nampak seperti itu dari pihak luar.

“Saya tidak pernah belajar begitu banyak seperti bersama dengan kamu sebagai rakan sepasukan. Terima kasih di atas segala-galanya Seb.” — AFP

Advertisement