Anda di sini

Serena tidak sabar untuk kembali ke gelanggang

Advertisement
SERENA
SERENA

LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS): Bintang tenis AS, Serena Williams berkata beliau bersedia untuk bermain “tenis sebenar’ selepas rehat terpaksa disebabkan oleh pandemik koronavirus (COVID-19).

“Saya benar-benar tidak sabar untuk kembali ke gelanggang,” kata pemenang 23 kejuaraan Grand Slam itu ketika berbual secara langsung dengan kakaknya, Venus menerusi laman sosial Instagram pada Selasa.

“Ia adalah apa yang saya suka lakukan. Saya sememangnya suka bermain.”

Sukan tenis terhenti sekurang-kurangnya sehingga pertengahan bulan Julai kerana COVID-19, dengan kejohanan Grand Slam Terbuka Perancis ditangguhkan sehingga musim luruh dan kejohanan Grand Slam Wimbledon dibatalkan buat kali pertama sejak Perang Dunia Ke-II.

Serena berkata beliau melihat rehat terpaksa itu sebagai “mengganggu”.

“Saya merasakan badan saya memerlukan rehat ini walaupun hakikatnya saya sendiri tidak mahu,” kata pemain berusia 38 tahun itu, yang kali terakhir memenangi satu kejohanan Grand Slam ialah di Terbuka Australia pada 2017.

“Dan sekarang saya berasa lebih bagus berbanding sebelum ini. Saya berasa lebih tenang, lebih cergas. Sekarang saya boleh bermain tenis sebenarnya.”

Venus, juara tujuh kali kejohanan Grand Slam, memuat naik video latihan beliau di Instagram lapan minggu lepas dan pada minggu ini, beliau menjemput Serena “pemain tenis terhebat pernah wujud – adik saya” untuk berkongsi senaman.

Serena berkata senaman itu, yang mengambil masa setengah jam, bertindak sebagai pemanas badan untuk beliau walaupun ia “tidak begitu serius.” — AFP

Advertisement