Anda di sini

Riza dilepas tanpa dibebaskan pertuduhan pengubahan wang haram 

Advertisement
 
 

KUALA LUMPUR: Riza Shahriz Abdul Aziz (gambar), anak tiri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen daripada pertuduhan pengubahan wang haram US$248 juta (RM1.25 bilion), didakwa diseleweng daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan untuk DNAA  susulan beberapa representasi difailkan tertuduh terhadap pertuduhan dihadapinya.

“Mahkamah memutuskan DNAA untuk tertuduh. Wang jaminan RM1 juta akan dikembalikan kepada dua penjamin,” kata hakim.

Terdahulu, bekas hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) kanan untuk mengendalikan kes itu Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan mahkamah bahawa  sejak pertuduhan dikemukakan terhadap tertuduh, dia telah mengemukakan beberapa representasi menerusi peguam belanya kepada pihak-pihak relevan.

Katanya representasi berkenaan telah dipertimbangkan dengan teliti  oleh pihak berkenaan dan keputusan telah dibuat seperti berikut: 

“Satu persetujuan telah dicapai antara pihak pendakwaan dengan tertuduh di bawah terma-terma bahawa Kerajaan Persekutuan akan menerima sejumlah wang membabitkan beberapa juta ringgit.

“Jumlah wang itu merujuk secara langsung kepada perkara utama dalam pertuduhan yang dikenakan dalam kes ini. Tertuduh sepanjang proses ini telah menerima representasi perundangan yang mencukupi dan kompeten.

“Hasil daripada persetujuan yang dicapai, dengan itu pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh tidak akan diteruskan buat masa ini sementara menunggu persetujuan itu dilaksanakan sepenuhnya.

“Pihak pendakwaan dengan persetujuan tertuduh kini dengan hormatnya memohon Mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh,’ katanya.

Sri Ram berkata sekiranya berpuas hari dengan pelaksanaan persetujuan itu, langkah sewajarnya akan diambil untuk memastikan tertuduh dibebaskan sepenuhnya.

“Sekiranya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan itu, pihak pendakwaan berhak untuk mengembalikan pertuduhan itu dan mendakwa tertuduh mengikut undang-undang,” katanya.

Peguam mewakili Riza, Datuk Hariharan Tara Singh mengesahkan kepada mahkamah berhubung persetujuan yang dibacakan Sri Ram.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini. Perbicaraan kes itu masih belum bermula.

Pada 5 Julai tahun lepas, Riza, 43, pemilik Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem Wolf of The Wall Street itu didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah US$1,173,104 menerusi transaksi daripada akaun nombor 11116073 milik  Good Star Limited di RBS Coutts, Switzerland ke akaun nombor 123248291 City National Bank, Los Angeles, milik Red Granite Productions Inc.

Wang itu didakwa diseleweng daripada dana 1MDB antara 12 April dan 12 Mei di City National Bank, Los Angeles Main, 525 South Flower Street, Los Angeles, California.

Bagi pertuduhan kedua, Riza, anak Datin Seri Rosmah Mansor daripada perkahwinan terdahulu, dituduh melakukan kesalahan sama membabitkan US$9 juta menerusi pemindahan wang daripada akaun sama  pada 10 September 2012, dan 10 Oktober 2012, di premis sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan US$133 juta dan US$60 juta menerusi pemindahan wang daripada akaun nombor 81134378 milik Aabar Investment PJS Limited, di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun nombor 6C02250A di BSI Bank Limited, Singapura milik Red Granite Capital Ltd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di BSI Ltd, 7 Temasek Boulevard, #32-01 Suntec Tower One, Singapura pada 18 Jun 2012, dan 23 Oktober 2012.

Bagi pertuduhan kelima, Riza dituduh melakukan kesalahan sama membabitkan US$45 juta di tempat sama pada 14 November 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama