Anda di sini

Para pemain Liga Perdana berdepan sistem ujian ketat

Advertisement
 Sterling merikan gol jaringannya ketika beraksi pada perlawanan Liga Juara-Juara pusingan 16 terakhir di antara Schalke 04 dan Manchester City di Veltins Arena, Gelsenkirchen dalam gambar fail bertarikh 20 Februari 2019. — Gambar AFP
BIMBANG: Sterling merikan gol jaringannya ketika beraksi pada perlawanan Liga Juara-Juara pusingan 16 terakhir di antara Schalke 04 dan Manchester City di Veltins Arena, Gelsenkirchen dalam gambar fail bertarikh 20 Februari 2019. — Gambar AFP

LONDON, England: Para pemain dalam Liga Perdana Inggeris dijangka akan menghadapi sistem ujian ketat jika mereka mahu kembali menjalani latihan ekoran pandemik koronavirus (COVID-19), menurut laporan media British.

Penyiaran BBC berkata pada Selasa mereka ada melihat salinan protokol rasmi yang dihantar kepada semua 20 pasukan dalam Liga Perdana tentang perincian yang diperlukan untuk bendera di sudut padang, bola, kon, palang gol dan malah permukaan padang yang perlu dinyahkuman selepas setiap sesi latihan.

Langkah lain dalam garis panduan protokol itu termasuk ujian dua kali seminggu dan soal selidik harian sebelum latihan serta pemeriksaan suhu badan.

Jika seorang pemain diuji positif, dengan atau tanpa gejala, mereka akan diwajibkan menjalani pengasingan diri selama tujuh hari.

Semua pemain harus pergi ke pusat latihan secara individu dan mengelak menggunakan pengangkutan awam. Sebaik sahaja di pusat latihan, mereka tidak dibenarkan berkumpul dan tidak akan diberi makan.

Membentes dan bersentuhan dilaporkan dilarang untuk fasa pertama latihan.

Sementara itu, kakitangan perubatan kelab harus memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) apabila melayan pemain.

Satu pertemuan melibatkan pemain, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) dan kerajaan British mengenai isu keselamatan dan kesihatan menyelubungi satu kemungkinan menyambung semula musim dijadual berlangsung semalam (Rabu).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PFA, Gordon Taylor, berkata anggota persatuannya bersikap terbuka untuk bermain sekali lagi dengan syarat “semua yang boleh dilakukan telah dilakukan” untuk memastikan keselamatan mereka.

“Kita harus cuba melihat jika kita boleh melakukannya dan melihat jika kita boleh kembali ke satu bentuk aktiviti,” kata Taylor.

“Tetapi ia juga bermakna kita harus berhati-hati dan mempunyai sebanyak mungkin jaminan di mana ia boleh dilakukan.”

Bagaimanapun, dua pemain antarabangsa England, Raheem Sterling dan Danny Rose adalah pemain berprofail tinggi yang membangkitkan kebimbangan untuk sukan dengan sentuhan seperti bola sepak dibenarkan disambung semula ketika seluruh masyarakat dinasihati untuk mematuhi garis panduan penjarakan sosial.

“Pada masa kami kembali beraksi, ia memerlukan ketika apabila ia bukan hanya kerana bola sepak, ia selamat untuk bukan sahaja kami sebagai pemain bola sepak tetapi juga seluruh kakitangan perubatan, pengadil,” kata Sterling.

Rose, yang dipinjam di Newcastle United dari Tottenham, memberitahu pengikutnya di laman sosial Instagram: “Nyawa manusia berada dalam risiko.

“Bola sepak seharusnya tidak langsung bercakap untuk kembali beraksi sehingga jumlah kes (COVID-19) menurun dengan mendadak.”

Satu lagi kesukaran untuk Projek Mula Semula ialah di mana semua perlawanan akan dilangsungkan, dengan kelab membantah satu cadangan menghadkan jumlah gelanggang berkecuali.

Kawalan untuk bola sepak di Britain sebelum ini menyatakan bahawa usaha menyambung semula perlawanan berdasarkan timbal-balik tempat sendiri dan tempat lawan akan “memberikan cabaran” kepada perkhidmatan kecemasan.

Tetapi Mark Roberts berkata pada Selasa di mana polis, kerajaan dan pihak berkuasa bola sepak sedang bekerjasama mengenai satu pelan “yang mengurangkan sebarang risiko keselamatan awam dan tekanan tidak perlu kepada perkhidmatan awam tetapi membantu satu permulaan semula yang sewajarnya untuk musim ini.”

Datuk Bandaraya London, Sadiq Khan, membantah idea bermain perlawanan di London pada ketika ini, dengan bandar raya itu paling terjejas teruk oleh pandemik COVID-19.

Lima dari 20 kelab dalam Liga Perdana Inggeris berpusat di London.

“Dengan negara masih bergelut menangani krisis ini dan beratus-ratus orang mati setiap hari, beliau percaya bahawa ia adalah terlalu awal untuk membincangkan isu menyambung semula Liga Perdana dan sukan elit di ibu kota,” kata jurucakap Khan ketika memberitahu akhbar Evening Standard.

Garis panduan baharu kerajaan membuka jalan untuk sukan elit kembali beraksi tanpa penonton di England bermula 1 Jun.

Britain adalah salah sebuah negara terjejas teruk kerana COVID-19, dengan angka rasmi kematian lebih dari 32,000 orang di negara itu. — AFP

Advertisement