Anda di sini

Sabah bakal jadi hub Jombola

Advertisement
 Rajasegram (kiri) menyampaikan cenderahati raket dan bola Jombola kepada Phoong (tengah) semasa pertemuan kedua-dua pihak di Kota Kinabalu, Disember lalu. Turut bersama ialah Timbalan Presiden  MBS, Abqaree Fawwaz Abekan.
SUKAN BARU: Rajasegram (kiri) menyampaikan cenderahati raket dan bola Jombola kepada Phoong (tengah) semasa pertemuan kedua-dua pihak di Kota Kinabalu, Disember lalu. Turut bersama ialah Timbalan Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan.

KOTA KINABALU: Jombola permainan baharu `Made in Malaysia' antara yang akan mewarnai arena sukan di Sabah dalam masa terdekat.

Diasaskan pada 2006 oleh guru sejarah merangkap Presiden Persatuan Jombola Malaysia, Sukdev Singh, Jombola adalah sukan yang mengkombinasikan tiga jenis permainan iaitu tenis, ping-pong dan badminton.

Permainan dan peralatannya mirip seperti ping pong, badminton dan tenis tetapi ia mempunyai peraturan tersendiri sama ada  untuk acara individu atau beregu.

Ketinggian jaring hanya empat kaki empat inci di tiang dan tidak kurang empat kaki tiga inci dari permukaan lantai di tengah manakala kiraan mata penamat adalah 15 dengan menggunakan sistem `rally'. Pemenang ditentukan dengan memenangi dua daripada tiga set permainan.

"Sukan ini mengambil masa kira-kira lima tahun untuk dibangunkan termasuk bagi menentukan peralatan yang sesuai dan peraturan permainan sebelum diperkenalkan secara rasmi di pentas sukan dunia pada Ogos 2011.

 Sukdev (kiri) menyerahkan dokumen Jombola kepada Rajasegram sambil diperhatikan Penasihat Jombola Sabah, Azhar (tengah).
DOKUMEN: Sukdev (kiri) menyerahkan dokumen Jombola kepada Rajasegram sambil diperhatikan Penasihat Jombola Sabah, Azhar (tengah).

"Jombola sudah ada di mana-mana di Semenanjung dan kini kami mahu membawanya di Sabah. Malahan kami berhajat menjadikan Sabah sebagai hub Jombola di rantau ini," kata Setiausaha Agung Majlis Penggiat Sukan Malaysia (NASEC), S Rajasegram dalam kenyataannya.

Rajasegram yang juga Ex Officio Jombola Malaysia berkata, NASEC sudah memulakan langkah membawa sukan itu di Sabah dengan mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama beberapa pihak berkaitan di negeri ini sejak Disember tahun lalu.

"Kami telah bertemu dan berbincang mengenai perkara ini dengan beberapa pihak termasuklah Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe; Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Majlis Belia Sabah (MBS).

"Pertemuan dan perbincangan itu amat positif untuk Jombola diperkenal dan dipromosikan dengan aktif di Sabah tetapi tiba-tiba kami tidak dapat mengambil langkah seterusnya apabila COVID-19 melanda.

"Apapun, kami masih bersemangat terutamanya dengan adanya sokongan dan sambutan kuat dari orang-orang Sabah. Kita akan teruskan langkah selepas krisis  COVID-19 ini berakhir atau mungkin pada September 2020," kata Rajasegram.

Menurutnya, badan Jombola Sabah sudah ditubuhkan dengan Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Haji Azhar Matussin merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai selaku penasihat.

"Menjadikan Sabah selaku hub Jombola adalah idea dan impian Azhar. Azhar dan Phoong juga amat menyokong untuk sukan ini dimajukan dengan pesat di Sabah," kata Rajasegram.

Beliau berkata, tokoh sukan Sabah, Datuk Balwant Sing Kler selaku Emeritus NASEC juga akan membantu Jombola diperkembangkan dengan drastik di negeri ini.

"NASEC juga telah memilih Jombola sebagai sukan `anak angkat' dan kami bertekad mempromosikannya ke seluruh pelusuk Sabah terutamanya menerusi sekolah-sekolah.

 Raket dan bola Jombola, sukan baharu Made in Malaysia' yang akan diperkenalkan di Sabah dalam masa terdekat.
JOMBOLA: Raket dan bola Jombola, sukan baharu Made in Malaysia' yang akan diperkenalkan di Sabah dalam masa terdekat.

"Sebagai sukan mampu milik di mana kos peralatan murah dan tahan lama manakala kemudahan gelanggang badminton sedia ada yang banyak terdapat di Sabah, kami yakin sukan yang boleh dimainkan semua peringkat umur, jantina dan masyarakat  ini akan cepat mendapat tempat di Sabah," kata Rajasegram.

Beliau berkata, halatuju Jombola Sabah akan dirancang dengan lebih terperinci sebuah Pasukan Bertindak melibatkan Unit Sukan JPNS, pertubuhan-pertubuhan belia dan persatuan-persatuan sukan serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

  • oleh
  • Advertisement