Anda di sini

Perbicaraan kes rasuah Bung Mokhtar, Zizie Izette bermula14 Mei

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah melibatkan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie A. Samad akan bersambung pada 14 Mei di Mahkamah Seksyen di sini, dengan saksi kelima pendakwaan akan meneruskan keterangannya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry berkata, mahkamah telah menetapkan 14 dan 15 Mei untuk meneruskan perbicaraan.

“Pihak pembelaan akan menyoal balas saksi pendakwaan kelima, seorang ahli Lembaga Pengarah Felcra Berhad Dr Habibah Suleiman apabila perbicaraan dimulakan pada hari tersebut,” katanya ketika ditanya mengenai tarikh baru perbicaraan tersebut.

Perbicaraan kes itu kali terakhir diadakan pada 17 Mac di hadapan Hakim Rozina Ayob dan sepatutnya disambung pada 10 April dan kemudiannya pada 29 April, namun ditangguhkan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan.

Pada 3 Mei tahun lepas, Bung Moktar, 60, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah sejumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif pada ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi isterinya Zizie Ezette di Public Bank cawangan Taman Melawati di No.262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Norlaili Ahmad Mokhtar, 42, di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tempat yang sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Ezette juga mengaku tidak bersalah atas tiga kesalahan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara yang sama, di tempat, tarikh dan masa yang sama. — Bernama