Anda di sini

Faridah obses jual kuih tradisi secara dalam talian

Advertisement
 

BERSUNGKAI seakan tidak lengkap tanpa kuih tradisi. Setiap kali tiba waktu berbuka puasa, pasti terbayang pelbagai juadah pembuka selera. Kuih seperti kuih lenggang, onde-onde, kuih pinjaram, kuih apam, seri ayu, seri muka, kusui, kuih lapis dan sebagainya sentiasa boleh dibeli di gerai-gerai bazar Ramadan.

Tetapi tahun ini, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, penjaja dan peniaga bazar Ramadan dan bazar-bazar lain tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih belum sampai ke penghujungnya walaupun dijadualkan berakhir pada 9 Jun depan.

FARIDAH
FARIDAH

Peniaga-peniaga termasuk penjual kuih tradisi mencari platform baharu untuk menjual barang dagangan mereka, salah satunya melalui media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Instagram dan sebagainya.

Namun, bagi Faridah Sidan, 37, yang berniaga kuih tradisi di Taman Putera Jaya Telipok sejak beberapa tahun lalu, kekangan untuk berniaga dalam tempoh PKP ini menguatkan semangatnya untuk berjualan secara dalam talian (online).

KUIH LENGGANG
KUIH LENGGANG
KUIH PINJARAM
KUIH PINJARAM

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Selepas berjinak-jinak dan mencuba berjualan kuih muih secara dalam talian, syukur sambutannya amat baik,” katanya yang berhijrah ke Kota Kinabalu pada tahun 2000 selepas mendirikan rumahtangga.

Faridah berasal dari Kinabatangan. Lahir di Kampung Sungai Lokan. Anak ketujuh daripada 12 orang adik-beradik, lapan lelaki dan empat perempuan. Ayahnya, Sidan Tumandok, kini sudah tiada, meninggal dunia tahun 2002, ketika Faridah berusia 20 tahun.

KUIH PINJARAM
KUIH PINJARAM

Beliau belajar membuat kuih dari ibunya, Adimah Isah,ketika masih remaja lagi.

”Cuma sekarang, saya baru keluarkan bakat terpendam,” katanya yang sering dibantu tiga daripada lima anaknya, kesemuanya perempuan untuk membuat kuih, dua anak yang lain masih kecil. Anak pertama berusia 18 tahun, anak kedua 14, anak ketiga 12, anak keempat 7 tahun dan anak kelima 2 tahun.

“Anak nombor satu akan jaga adiknya yang tujuh tahun dan yang bongsu.  Nombor dua dan nombor tiga akan tolong buat kuih mengadun atau menggoreng juga susun kuih-kuih dalam bekas," katanya.

ONDE ONDE
ONDE ONDE
KUIH APAM
KUIH APAM

Menurutnya dia membeli bahan-bahan untuk jualan kuih muih ini dari kedai-kedai berdekatan rumah saja. Beliau tidak dapat pergi jauh kerana adanya sekatan jalan raya sepanjang tempoh PKP.

Antara kuih yang dibuatnya ialah kuih pinjaram, kuih lenggang (ada juga yang menyebutnya kuih dadar gulung atau kuih ketayap), kuih onde-onde, kuih bom, kuih apam, kuih seri ayu, kuih seri muka, kuih kusui dan kuih lapis.

 Pelanggan memilih kuih yang digemari.
PELANGGAN: Pelanggan memilih kuih yang digemari.

“Kuih lenggang lima biji RM2.00, apam nasi 5 biji RM2.00, onde-onde lima biji RM2.00, pinjaram lima biji RM2.00, apam gula hangus lima biji RM2.00,” katanya ketika ditanya mengenai harga kuih tradisi yang dijualnya.

Katanya tempahan minima RM10.00 kalau di luar Putera Jaya. Ada penghantaran sekitar Telipok dan kawasan berdekatan.

 Faridah turut menjual kuih muih di Taman Putera Jaya.
PENUHI PERMINTAAN: Faridah turut menjual kuih muih di Taman Putera Jaya.

Faridah berkata sambutan pelanggan amat menggalakkan. Kebanyakan pelanggan dari Kota Kinabalu. Ada juga dari Kepayan, Putatan dan ada juga dari luar Kota Kinabalu.

“Mula-mula saya menjual kuih di kawasan berdekatan taman perumahan saja. Tapi sesudah menjual secara online, saya juga dapat tempahan dari tempat-tempat lain sekitar Kota Kinabalu,” katanya yang turut menyewa premis kedai yang menjual pakaian terpakai di Taman Putera Jaya.  

Suaminya, Lesbon Kanggi,44, bekerja sebagai mekanik. Selepas kerja, suaminya membantu untuk menghantar tempahan kuih muih kepada pelanggan.

Sebelum berniaga kuih, Faridah sudah berpengalaman dalam perniagaan. Beliau mencuba pelbagai jenis perniagaan seperti menjual produk-produk kecantikan, jualan tudung, pakaian dan pakaian terpakai.

“Saya mula berminat dalam bisnes online ini sejak tahun 2011. Mula-mula jual tudung bawal secara online. Tapi masa tu bisnes tidaklah seberapa jalan. 'On off' saja. Ada lebih rezeki, saya cuba berniaga dari satu bisnes ke satu bisnes yang lain,” katanya yang mengakui tidak boleh duduk diam sebaliknya terus berikhtiar untuk mencari jalan memajukan perniagaan.

Banyak bisnes yang saya buat. Berbisnes jualan kuih muih inilah yang buat saya obses sebab kemahiran yang terpendam lama-lama akhirnya timbul dan inilah bisnes yang sangat menguntungkan.

“Bisnes sebelum ini bukan tak bagus, cuma bidang saya bukan untuk itu," katanya.

Banyak pengalaman berharga yang diperolehinya sepanjang berniaga. Akhirnya beliau menggunakan ilmu dan bakat yang dimilikinya untuk menjual kuih kuih tradisional. Faridah mahukan agar kuih-kuih tradisional, peninggalan nenek moyang tidak pupus ditelan zaman diganti kuih-kuih moden.

 Faridah sedang membuat kuih untuk memenuhi permintaan pelanggan.
GIGIH: Faridah sedang membuat kuih untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Biasanya jika bercakap mengenai kepupusan, orang selalu ingat mengenai kepupusan flora dan fauna. Tetapi jarang orang berfikir mengenai kepupusan kuih tradisi, yang mungkin hilang 10 atau 20 tahun lagi jika tidak dipertahankan.

“Saya suka cabaran. Buat satu perkara dengan ikhlas,” ketika ditanya mengenai motto hidupnya.