Anda di sini

Penduduk Keningau diajak berdoa, laksana ritual 'Modsurung' mohon hujan

Advertisement
 Padi sawah di Kg Bandukan Baru.
KERING: Padi sawah di Kg Bandukan Baru.

KENINGAU: Penduduk daerah ini diajak berdoa mengikut kepercayaan masing-masing termasuk melaksanakan adat 'Modsurung' memohon berkat Tuhan Yang Mahakuasa menurunkan hujan bagi mengatasi masalah kritikal air ketika ini.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor Peter Daigo Mangkil berkata, masalah kekurangan air bagi bekalan keperluan harian dan pengairan sawah berlaku disebabkan tekanan air rendah dari sumber utama Sungai Bayayo.

"Tekanan air yang rendah menyebabkan aliran air ke Mukim Bingkor dan Mukim Apin Apin sangat terjejas," katanya.

Peter berkata demikian sebagai mengulas rungutan kalangan penduduk di Mukim Bingkor tentang masalah kekurangan air yang tersiar di akhbar ini.

Beliau juga mencadangkan agar pengamal adat di bawah pengawasan Ketua Daerah mengadakan upacara ritual 'Modsurung' untuk tujuan memohon hujan dari Tuhan Yang Mahakuasa.

Menurut Peter amalan adat dicadangkan atas dasar mengambil kira ritual warisan turun-temurun itu telah diamalkan sejak sekian lama dan telah menjadi salah satu upacara dalam adat-istiadat Anak Negeri di sini.

Beliau yakin amalan adat dapat dilaksanakan dengan baik kerana mantan Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Joseph Mitah pernah mengendalikan ritual berkenaan.

Peter menjelaskan pihaknya ada menerima laporan dari Pengerusi MPKK Kg Bandukan Baru berkaitan masalah pengairan sawah padi yang terjejas akibat kemarau sekarang.

Katanya, masalah itu telah dimajukan kepada Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah untuk tindakan selanjutnya.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya difahamkan JPS Keningau tidak dapat berbuat banyak dalam keadaan kemarau sekarang selain mencatu air secara bergilir-gilir ke setiap blok.

"Hanya dengan kehadiran hujan lebat berterusan di kawasan tadahan air diharap dapat membantu meningkatkan paras air Sungai Bayayo," katanya.

Beliau berharap orang ramai tidak terlalu menyalahkan serta mendesak JPS bertindak menyalurkan air ke sawah ketika sumber air semakin susut dan kering.

Peter memberitahu pihaknya juga mengambil maklum mukasauk JPS dan loji air Bingkor memperoleh bekalan air dari sumber yang sama iaitu dari Sungai Bayayo.

Dalam satu siaran media atas talian tempatan, Ahli Jawatankuasa Pemikir Koperasi Kelapa Sawit Kandang Besar Bhd Bingkor Jonathan Juis Likoh menyatakan kebelakangan ini terdapat penerokaan haram hutan di ulu Bandukan untuk perladangan.

"Kawasan itu sepatutnya dijaga kerana merupakan sumber bekalan air daerah Keningau bagi kegunaan harian dan pengairan sawah," katanya yang merupakan Pensyarah di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Jonathan menyatakan penerokaan tidak bertanggungjawab itu boleh mengakibatkan kekurangan kadar susupan air ke dalam tanah yang seterusnya menurunkan kandungan paras air.

Beliau berharap wakil rakyat bagi Parlimen Keningau, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor dan Liawan dapat mengambil inisiatif membendung penerokaan itu daripada terus berlaku.

Katanya sungai adalah khazanah alam sekitar yang harus dijaga dan dipelihara untuk generasi sekarang dan masa hadapan, bukan hanya untuk hari ini sahaja.

 Paras air di mukasauk loji Bingkor hampir kering.
SUSUT: Paras air di mukasauk loji Bingkor hampir kering.


 

  • oleh
  • Advertisement