Anda di sini

Operasi bas ekspres di Sabah bermula esok

Advertisement
DONALD
DONALD

KOTA KINABALU: Pengusaha bas ekspres di Sabah mula beroperasi pada Selasa (12 Mei) berikutan keputusan kerajaan negeri yang membenarkan operasi pengangkutan awam pada 9 Mei lepas.

Presiden Majlis Pengusaha-Pengusaha Bas Ekspres Sabah (SEBOC) Datuk Donald Hanapi berkata, para penumpang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, penumpang yang tidak memberikan kerjasama tidak akan dibenarkan naik ke dalam bas walaupun sudah membeli tiket.

“Antara SOP yang ditetapkan untuk penumpang ialah wajib mengisi borang deklarasi COVID-19 untuk rujukan pihak berkuasa, memakai pelitup muka, duduk berjauhan mengikut jarak yang ditentukan, pemeriksaan suhu sebelum menaiki kenderaan, dan tidak dibenarkan untuk berhenti-henti dalam perjalanan.

“Lebih 20 pengusaha bas ekspres melibatkan lebih 200 buah bas bersedia untuk memastikan SOP yang ditetapkan dapat dipatuhi para penumpang.

“Bagi pihak kami, hanya separuh daripada kapasiti penuh dibenarkan untuk menaiki bas. Sebagai contoh, jika kapasiti bas adalah 41, hanya 20 penumpang dibenarkan naik kerana penjarakan sosial yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, pengusaha bas juga akan memeriksa suhu penumpang sebelum naik ke dalam bas, manakala bas adalah wajib dinyah kuman sebelum beroperasi.

Donald berkata, tiket bas ekspres boleh dibeli secara atas talian menerusi aplikasi Easy Book atau di kaunter Terminal Bas Inanam seperti biasa.

Pihaknya turut mengingatkan, pergerakan semua bas ekspres tidak akan berhenti-henti seperti kebiasaan dan berharap agar penumpang dapat bersedia dengan keperluan yang sepatutnya termasuk menunaikan solat ketika bas bergerak.

“Saya berharap maklumat ini akan sampai kepada orang ramai terutama mereka yang merancang untuk menaiki bas ekspres dalam masa terdekat ini agar tidak berlaku kekeliruan,” katanya.


 

Advertisement