Anda di sini

Rezeki di sebalik PKP dan Ramadan

Advertisement
 Rider Foodpanda mengagihkan bungkusan makanan kepada pasukan keselamatan yang bertugas menjaga sekatan jalan raya.
AGIH: Rider Foodpanda mengagihkan bungkusan makanan kepada pasukan keselamatan yang bertugas menjaga sekatan jalan raya.

Rider Foodpanda terus berkhidmat sambil beramal

BULAN Ramadan menjelma lagi, tetapi suasananya amat berbeza sekali pada tahun ini apabila seluruh dunia termasuk Malaysia kini sedang berdepan dengan penularan wabak COVID-19.

Ditambah lagi dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini dilaksanakan secara bersyarat, keadaan itu menyebabkan kerajaan perlu membatalkan beberapa acara besar yang menjadi tumpuan orang ramai termasuk Bazar Ramadan.

Bazar Ramadan sememangnya sinonim dengan bulan Ramadan dan menjadi salah satu penganjuran yang dinanti-nantikan oleh rakyat pelbagai bangsa dan agama di negara ini.

Tetapi, tiada Bazar Ramadan tidak bermakna orang ramai tidak boleh mendapatkan pelbagai juadah makanan untuk berbuka puasa.

Pada masa kini, orang ramai boleh menempah makanan secara atas talian sama ada menerusi aplikasi ataupun secara langsung kepada peniaga. Dan, makanan yang ditempah boleh diambil sendiri di restoran ataupun dihantar melalui khidmat penghantar makanan.

Di Sandakan sendiri, salah satu perkhidmatan penghantaran makanan yang sentiasa bersedia membantu menghantar tempahan pelanggan adalah Foodpanda.

MOHD HIDAYAT
MOHD HIDAYAT

Salah seorang penghantar atau rider Foodpanda, Mohd Hidayat Mohd Sobri, 23, berkata, sejak menjadi rider perkhidmatan penghantaran makanan itu kira-kira empat bulan yang lalu, beliau mampu meraih pendapatan yang memberangsangkan dan ia meningkat pada awal pelaksanaan PKP.

"Masa awal-awal PKP, penghantaran memang 'meletup' sebab pada masa itu bilangan pelanggan yang membuat pesanan makanan meningkat naik berikutan mereka tidak dibenarkan keluar rumah sesuka hati.

"Berikutan permintaan yang tinggi pada ketika itu, lebih ramai rider baharu diambil. Apabila masuk bulan Ramadan, permintaan itu sentiasa ada tetapi berkurangan sedikit kerana penghantaran dibahagi-bahagikan bagi membolehkan semua rider ada buat penghantaran.

"Walaupun pendapatan ada sedikit menurun, tetapi rezeki yang ada dapat dikongsi bersama rakan-rakan rider yang lain," katanya ketika ditemui Utusan Borneo di Sandakan.

Beliau yang sebelum ini pernah bekerja sebagai rider di sebuah restoran francais makanan segera terkemuka, memilih untuk bertukar angin ke Foodpanda kerana hasil pendapatan yang ditawarkan adalah lebih baik.

Bekerja sepenuh masa sebagai rider Foodpanda, Mohd Hidayat berkata hasil pendapatan bagi setiap rider itu juga sebenarnya bergantung dengan kecekalan diri sendiri sama ada mahu komited membuat penghantaran atau sebaliknya.

"Kalau mahu pendapatan yang lebih, kena kerja lebih rajin. Kena pantas dan cekap ketika mengambil, menerima dan menghantar tempahan pelanggan. Semuanya berkaitan dengan masa," jelasnya.

MOHD AFIF
MOHD AFIF

Sementara itu, bagi Mohd Afif Baba, 32, pelaksanaan PKP dan berpuasa di bulan Ramadan bukan penghalang untuk bekerja seperti biasa, sebaliknya kedua-dua perkara itu memberi mereka rezeki yang lebih.

"Penghantaran makanan seperti Foodpanda adalah salah satu daripada perkhidmatan perlu (essential service) yang dibenarkan bekerja ketika PKP. Dan, ketika seluruh rakyat melalui PKP, kita pun masuk dalam bulan Ramadan.

"Meskipun dalam bulan Ramadan, tetapi pelanggan tidak terhad kepada yang beragama Islam sahaja, sebaliknya banyak juga tempahan dibuat oleh mereka yang bukan Islam.

"Oleh itu, tiada masalah bagi kami untuk bekerja, sebaliknya kami rasa berbesar hati kerana dapat membantu ramai orang dengan menghantarkan makanan terus ke rumah ataupun tempat kerja, lebih-lebih lagi untuk mereka yang bertugas dan dalam masa yang sama sedang menjalani ibadah puasa," jelasnya.

 Rider Foodpanda di daerah ini turut sama berkongsi rezeki ketika bulan Ramadan.
KONGSI: Rider Foodpanda di daerah ini turut sama berkongsi rezeki ketika bulan Ramadan.

Untuk rekod, selain Foodpanda, terdapat dua lagi perkhidmatan penghantar makanan yang beroperasi di Sandakan iaitu More Fun dan Grab Food.

Bagi Foodpanda sendiri, terdapat hampir 90 rider berkhidmat di Sandakan sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa. Kesemua mereka diketuai oleh seorang ketua yang dipanggil sebagai 'Rider Captain' atau ringkasnya RC.

Tidak hanya menjalankan tugas harian, rider Foodpanda di Sandakan juga tampil prihatin dengan menyalurkan sumbangan ketika pelaksanaan PKP yang bermula pada 18 Mac lalu.

Mereka telah mengumpul dana dan menyalurkan bantuan makanan kering kepada golongan yang memerlukan selain mengagihkan sumbangan makanan kepada pasukan keselamatan yang menjaga sekatan jalan raya di sekitar daerah ini.

 Rider Foodpandaa menyerahkan sumbangan makanan kepada Abam Botak untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
SERAH: Rider Foodpandaa menyerahkan sumbangan makanan kepada Abam Botak untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.


 


 



 


 

  • oleh
  • Advertisement