Anda di sini

Elak keghairahan obsesif, pelihara keghairahan harmoni semasa BDR

Advertisement
DR JAKARIA DASAN
DR JAKARIA DASAN

GHAIRAH atau passion dalam Bahasa Inggeris membawa maksud semangat atau keinginan yang kuat. Keghairahan yang tinggi dalam melaksanakan kerja atau tugas merupakan faktor peribadi yang boleh mendorong seseorang pekerja itu bekerja dengan cekap dan efisien. 

Hal ini demikian kerana keghairahan melakukan sesuatu kerja atau aktiviti yang disukai menyebabkan seseorang itu memberi tumpuan dan menghabiskan seluruh masa dan tenaga terhadap kerja atau aktiviti yang dilakukan. 

Kajian mendapati bahawa seseorang itu berasa ghairah disebabkan oleh motivasi dalam bentuk imbalan atau ganjaran yang bakal diperolehi yang dikenali sebagai motivasi ekstrinsik dan intrinsik. 

Ada kajian yang meletakkan motivasi ekstrinsik dan intrinsik itu selari dengan keghairahan. Walau bagaimanapun, terdapat juga kajian yang menyebut bahawa motivasi ekstrinsik dan intrinsik itu sebagai sub-faktor kepada keghairahan.

Kedua-dua motivasi ini, walau bagaimanapun, adalah berlawanan antara satu sama lain. Motivasi ekstrinsik lebih bersifat ganjaran yang boleh dilihat dan dinilai sama ada dalam bentuk wang, pangkat dan kedudukan, mahupun ancaman dan hukuman. 

Manakala, motivasi intrinsik bersifat rohaniah yang tidak boleh dilihat dan tidak dapat dinilai. Ianya hadir dalam bentuk kepuasan atau perasaan seronok yang pantas digambarkan menerusi emosi dan bahasa tubuh seseorang.

Kedua-dua motivasi ini menjadi faktor pendorong untuk seseorang melakukan kerja dengan keghairahan harmoni ataupun keghairahan obsesif. Keghairahan harmoni adalah suatu keadaan di mana seseorang menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas atau aktiviti tetapi masih dapat mengawal dirinya agar tidak keterlaluan. Keghairahan harmoni mendatangkan kesan yang positif kepada diri seseorang.

Sebaliknya, keghairahan obsesif memperlihatkan suatu keadaan di mana seseorang itu sebenarnya dikawal oleh kerja atau aktiviti yang dilakukannya sehingga melupakan keperluan lain di sekelilingnya, termasuklah memberi perhatian sewajarnya kepada orang sekelilingnya. Keghairahan obsesif selalunya mendatangkan kesan yang negatif.

Seseorang yang melakukan kerja dengan keghairahan harmoni bukan sahaja dapat memudahkan tugas yang diamanahkan kepadanya malah berupaya memberi motivasi dan memimpin dengan baik kakitangan atau rakan-rakan sekerjanya. 

Beliau akan sentiasa dihormati kerana segala tugasan yang diberikan kepadanya dibuat dengan penuh bersemangat, gembira dan teratur.

Di mana-mana tempat kerja, kehadiran pekerja yang memiliki keghairahan harmoni adalah sangat penting kerana pekerja seumpama ini membawa bersamanya aura yang positif ke tempat kerja. 

Pastinya, jika seorang ketua memiliki keghairahan harmoni ini, maka jabatan atau organisasi tersebut akan menjadi lebih produktif dan mampu beroperasi dengan cemerlang. 

Tanpa sedar, keghairahan obsesif dipercayai berupaya menjerumuskan seseorang ke dalam pelbagai konflik sama ada di tempat kerja mahupun di rumah. 

Dengan kata lain, hubungan sesama kakitangan akan menjadi renggang disebabkan sikap terlalu inginkan rakan sekerja mengikut rentak kerja di luar kebiasaan yang normal. 

Paling ditakuti, jika keghairahan obsesif ini terbawa-bawa ke rumah, yakni selepas waktu kerja. 

Bayangkan dalam tempoh PKP ini, tempat kerja dan tempat tinggal (rumah) sangat sukar untuk dibezakan oleh seseorang yang mempunyai keghairahan obsesif.

Turut merisaukan ialah apabila keghairahan obsesif ini menyebabkan seseorang itu lupa untuk memberi masa kepada tubuhnya sendiri agar kekal sihat, dan mentalnya terhindar dari tekanan melampau. 

Jika cara mengurus sesuatu aktiviti itu tidak dapat dikawal, maka tujuan untuk melakukan aktiviti itu tidak akan tercapai. Hal ini akan memberi impak kepada kesihatan mental seseorang. 

Kajian membuktikan bahawa wujud perkaitan langsung di antara keghairahan harmoni dan kesihatan mental, dan keghairahan obsesif dan kesihatan mental. Keghairahan harmoni memberi kesan positif kepada mental, manakala keghairahan obsesif membawa kepada kesan negatif, seperti berasa terbakar atau burnout. 

Di samping itu, keghairahan juga dikaitkan dengan penyesuaian psikologi. Keghairahan harmoni membolehkan seseorang mengatur masa yang sesuai untuk berehat atau berhenti dari melakukan sesuatu kerja. 

Ini bagi membolehkan perhatian yang adil dapat diberikan kepada kerja-kerja lain yang mendesak dan juga memberi tumpuan kepada ahli keluarga. 

Perkaitan antara keghairahan obsesif dan penyesuaian psikologi pula tidak sama. Seseorang akan memberikan perhatian berlebihan kepada sesuatu kerja sehingga mengabaikan perkara atau tanggungjawab lain yang tidak kurang pentingnya. 

Akibatnya, ganjaran yang diterima hanya sedikit sahaja atau dikecapi dalam masa yang singkat di mana mereka akan berasa cepat letih dan kegembiraan pula hanya sebentar sahaja.

Bekerja dari rumah (BDR) atau Work from Home (WFH  dalam tempoh PKP atau PBKP merupakan suatu pengalaman yang baharu kepada semua orang. Ketika bekerja dari rumah, banyak perkara-perkara luar kawalan yang membataskan komitmen seorang. 

Contoh yang mudah dan tidak semua orang boleh mengetahuinya ialah sejauh mana ahli keluarga memahami bahawa ketua keluarganya sedang bekerja dalam bilik atau di satu sudut ruang dalam rumah? Ahli keluarga mungkin berpandangan bahawa keadaan sedemikian lebih kepada isolasi.

Lebih malang lagi, ialah apabila seseorang yang mempunyai keghairahan obsesif ini bekerja melebihi masa pejabat sewaktu di rumah. Hal ini boleh menyebabkan berlaku kerenggangan hubungan kekeluargaan dan tidak mustahil membawa kepada perselisihan faham. 

Mudah-mudahan ianya tidak berlaku dan rumah tangga semua yang bekerja dari rumah kekal aman dan tenteram.

Justeru, perasaan tolak ansur ketua atau rakan sekerja lain ketika berhubungan antara satu sama lain dari rumah ke rumah adalah sangat penting bagi memastikan momentum kecemerlangan seseorang pekerja itu kekal sehingga tempoh PKP atau PBKP tamat. -(Artikel sumbangan DR JAKARIA DASAN,Timbalan Pengarah Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Sabah.Penulis juga adalah Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS dan berkepakaran dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia).

Advertisement