Anda di sini

Gunung Daik dan kesan kunjungan ke Lingga, Bunda Tanah Melayu

Advertisement
"PULAU Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga, hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga". Mungkin kerana budi yang baik, saya terkenang kunjungan saya ke Daik Lingga dan berpeluang melihat Gunung Daik yang tinggi menghijau tetapi kini hanya bercabang dua"
"PULAU Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga, hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga". Mungkin kerana budi yang baik, saya terkenang kunjungan saya ke Daik Lingga dan berpeluang melihat Gunung Daik yang tinggi menghijau tetapi kini hanya bercabang dua"

"PULAU Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga, hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga". Mungkin kerana budi yang baik, saya terkenang kunjungan saya ke Daik Lingga dan berpeluang melihat Gunung Daik yang tinggi menghijau tetapi kini hanya bercabang dua.

Bercabang dua? Ya, dulu memang bercabang tiga, tetapi patah satu, kini cabangnya tinggal dua. Mengapa begitu? Saya tidak sempat bertanya rakan-rakan seperjalanan  ke Daik Lingga sehinggalah feri bersandar di jeti pelabuhan Tanjung Buton.

 Gunung Daik dilihat dari jauh.
INDAH: Gunung Daik dilihat dari jauh.

Seorang sahabat, Fadli berjanji untuk membawa saya melihat Lingga, yang banyak menyimpan sejarah kegemilangan kerajaan Melayu. Kunjungan ke Daik, salah satunya kerana ajakan Fadli, seorang pencinta sejarah yang banyak bercerita mengenai Lingga, pulau yang sering dijuluki sebagai Negeri Bunda Tanah Melayu. Sejarah mencatatkan Lingga pernah menjadi pusat Kerajaan Riau Lingga selama kira-kira 120 tahun.

Selepas Sultan Mahmud III berjaya menghalau Belanda dari Tanjung Pinang dengan bantuan angkatan perang  Iranun dari Tempasuk pada Mei 1787, baginda mengambil keputusan untuk memindahkan pusat kerajaannya ke Lingga bagi menghindari serangan balas dari Belanda. Sejak itulah, Lingga menjadi pusat tamadun dan kebudayaan Melayu.

 Catatan sejarah mengenai Sejarah Lingga, di dalamnya tercatat peristiwa Sultan Mahmud III meminta bantuan Angkatan Perang Iranun dari Tempasuk.
SEJARAH: Catatan sejarah mengenai Sejarah Lingga, di dalamnya tercatat peristiwa Sultan Mahmud III meminta bantuan Angkatan Perang Iranun dari Tempasuk.

Salah satu pantun Melayu yang terkenal hingga sekarang ialah pantun mengenai budi yang baik dengan bait pembayang Gunung Daik bercabang tiga. Hampir semua orang menghafal pantun itu di luar kepala tetapi mereka mungkin belum berkesempatan melihat sendiri puncak Gunung Daik yang dilukiskan dalam pantun berkenaan.

Melihat Gunung Daik, buat pertama kali menghadirkan perasaan yang menakjubkan. Gunung Daik setinggi 1,165 meter yang tersergam indah memang sudah sebati dengan jiwa dan perasaan masyarakat Melayu. 

 Sederet kedai di Daik Lingga.
TENANG: Sederet kedai di Daik Lingga.

Dulu memang bercabang tiga, tapi kenapa sekarang hanya tinggal dua?  Menurut cerita rakyat Kepulauan Riau, patahnya Gunung Daik itu berlaku pada zaman Datuk Kaya Montel. 

Menurut cerita orang tua-tua, cabang gunung itu memiliki nama sendiri-sendiri. Cabang yang tertinggi disebut gunung Daik, cabang tengah disebut penjantan manakala cabang terendah disebut Cindai Menangis. Cabang ketiga ini kini tidak dapat dilihat lagi kerana sudah lama patah.

 Makam Sultan Mahmud III.
MOGA DIRAHMATI: Makam Sultan Mahmud III.

Khabarnya, puncak terendah itulah yang paling indah bentuknya. Mungkin kerana itulah ia diberi nama Cindai yang bermakna kain sutera yang bersulam bunga-bungaan. Kononnya sebelum puncak cindai itu patah, masyarakat sekitar gunung itu sering mendengar suara tangisan, selalunya di malam hari. 

Setelah patah, orang-orang tua menafsirkan bahawa  tangisan itu menandakan perihal dirinya akan patah, sedih bahawa dirinya akan berpisah buat selamanya dengan cabang yang lain itu iaitu Daik dan penjantan. Namun tidak dapat diketahui dengan pasti, bilakah peristiwa itu berlaku, tetapi orang-orang tua mengaitkan peristiwa patahnya gunung daik itu bersamaan dengan meninggalnya Datuk Kaya Montel, penjaga laut di kawasan itu.

 Antara bahan bersejarah yang dipamerkan di muzium.
PAMERAN: Antara bahan bersejarah yang dipamerkan di muzium.

Namun kami tidak dapat melihat Pulau Pandan, kerana memang ia sebuah pulau yang berada agak jauh ke tengah, kini tidak berpenghuni dan hanya ditumbuhi pohon-pohon pandan.

Sebaik mendarat di Pelabuhan Tanjung Buton, Pulau Lingga, saya sudah menetapkan sasaran atau destinasi yang perlu dikunjungi sepanjang berada di sana.

 Kampilan, senjata Iranun di Muzium Linggam cahaya.
SENJATA: Kampilan, senjata Iranun di Muzium Linggam cahaya.

Salah satu destinasi yang penting ialah  Muzium Linggam Cahaya. Ketika berkunjung ke sana, saya ditemani saudara Fadli, sahabat yang juga  salah seorang pengamat dan peneliti sejarah di Lingga. 

Di Muzium Linggam Cahaya itu, saya sempat melihat catatan sejarah mengenai peristiwa Mei 1787 yang mencatatkan bagaimana Sultan Mahmud III meminta bantuan angkatan Iranun Tempasuk menghalau Belanda dari Tanjung Pinang yang turut dipamerkan disamping banyak lagi bahan-bahan,artifak sejarah dan sebagainya.

 Pemandangan di Kampung Melayu Daik Lingga.
TENANG: Pemandangan di Kampung Melayu Daik Lingga.

Sempat pula saya melihat mengenai  manuskrip lama, benda-benda, perkakas dan alat-alat bersejarah termasuk kampilan, senjata Iranun yang dihadiahkan ialah sebuah keluarga di Lingga.

Menurut Tuhfat Al Nafis, karya Raja Ali Haji, Sultan Mahmud menghantar surat meminta bantuan daripada Raja Tempasuk yang menghantar tiga anaknya serta Raja Ismail berlayar ke Riau. 

 Penulis bergambar berlatar belakangkan Gunung Daik.
MERAKAM KENANGAN: Penulis bergambar berlatar belakangkan Gunung Daik.

Mengikut arkib VOC, pada tanggal 2 Mei 1787, sebuah armada terdiri daripada 40 hingga 55 kapal membawa 1,500 hingga 2,100 perajurit berlabuh di Tanjung Pinang. Tidak lama kemudian , jumlah kapal yang berlabuh mencapai 90 kapal dan membawa 7000  anggota pasukan, armada Iranun dari Tempasuk, kata Dr Didik Pradjoko, seorang sarjana sejarah dari Universitas Indonesia.

Saya juga sempat berkunjung ke Masjid Jami' Sulthan Lingga,yang mampu memuatkan kira-kira 400 jemaah dan dibina pada 1792M atau 12 Rabiul Awal 1212.

 Masjid Sulthan Lingga yang bersejarah.
TEMPAT IBADAH: Masjid Sulthan Lingga yang bersejarah.

Di belakang masjid terdapat  Makam Yang Dipertuan Besar Sultan Johor, Pahang, Riu, Lingga,Sultan  Mahmud Syah III, 1787-1795.Selain itu ada makam-makam lain seperti Makam Yamtuan Muda ke VI Riau, Makam Bukit Cengkeh, Makam Merah Benteng Pertahanan Pulau Mepar, Benteng Bukit Cening, Benteng Kuala daik, Lubuk Pahlawan dan banyak lagi.

Selain itu, saya juga sempat melawat Istana Damnah, walaupun hanya replikanya. Istana itu dibina pada 1860 pada masa pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alamsyah II, bangunan berbentuk panggung, dengan dua pintu masuk, selain itu ada empat tiang penyangga. Di depan istana, ada bekas tapak bangunan balairung, tempat bermesyuarat kerajaan.

 Di pelabuhan Tanjung Buton.
INDAH: Di pelabuhan Tanjung Buton.

Kunjungan ke Lingga adalah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Sambil bergurau, saya memberitahu Fadli bahawa saya mungkin orang dari Tempasuk yang pertama sampai ke Lingga selepas lebih dua abad sejak tahun 1787 itu. 

Mungkin belum ada lagi orang dari Tempasuk yang pernah sampai ke sana waktu itu. Kunjungan ke negeri yang digelar Bunda Tanah Melayu itu, bagi saya sendiri adalah kunjungan yang amat bermakna. Budi baik sahabat sahabat di Daik tetap dikenang juga meskipun hancur badan dikandung tanah, begitulah yang terakam dalam pantun Melayu. Tapi kalau badan hancur, siapa lagi yang sudi  mengenangnya?

  • oleh
  • Advertisement