Anda di sini

BSN buka kaunter bergerak di Pakan pada 10 hingga 11 Mei

Advertisement
Mawan memantau kerja persiapan menyediakan kaunter yang dilakukan di Dewan Masyarakat Pakan.
Mawan memantau kerja persiapan menyediakan kaunter yang dilakukan di Dewan Masyarakat Pakan.

KUCHING: Masyarakat di Pakan boleh menarik nafas lega kerana Bank Simpanan Nasional (BSN) akan membuka kaunter perkhidmatan di Dewan Masyarakat Pakan pada 10 dan 11 Mei ini bagi memudahkan urusan perbankan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan berkata, perkhidmatan yang dijadualkan bermula jam 8.30 pagi sehingga 2.30 petang tersebut merupakan perkhidmatan perintis diadakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Ia diadakan bagi memenuhi keperluan penduduk khususnya yang berada di luar bandar di sekitar Daerah Pakan," katanya sambil menambah, langkah sebegini amatlah bersesuaian kerana ia merupakan sebahagian daripada langkah mematuhi PKP.

Mawan yakin yang kedatangan pihak bank ke Pakan akan membantu mengurangkan bilangan rakyat di sana untuk keluar ke Sarikei bagi mendapatkan perkhidmatan perbankan. 

"Kita menyedari kesukaran yang dihadapi masyarakat yang memerlukan perkhidmatan perbankan sejak sebulan yang lalu. Setiap pagi, ramai rakyat di daerah ini berbaris untuk mendapatkan slip kebenaran dari polis sebelum dibenarkan untuk ke Sarikei.

“Sehubungan itu, kerajaan telah mengambil inisiatif dengan bekerjasama dengan pihak BSN untuk membuka kaunter bergerak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri taklimat ringkas serta memantau kerja menyediakan persiapan terakhir di lokasi berkenaan semalam.

Antara perkhidmatan yang bakal disediakan adalah semakan akaun berkaitan Bantuan Perihatin Nasional, Bantuan Sara Hidup, Bantuan Khas Sarawakku Sayang dan pengeluaran wang.

"Saya minta semua penduduk yang akan menggunakan perkhidmatan BSN nanti agar memberi kerejasama sepenuhnya dan mematuhi segala SOP PKP dan mendengar segala arahan dari para petugas di sana," kata Mawan sambil mengingatkan, penjarakan sosial hendaklah dipatuhi dengan mengehadkan pelanggan yang berurusan dalam satu masa. 

Difahamkan, semua pelanggan yang datang diwajibkan untuk mencuci tangan, bacaan suhu badan juga turut diambil dan sekiranya ada pelanggan yang didapati mempunyai simptom-simptom berkaitan COVID-19, mereka akan dirujuk kepada Klinik Kesihatan Pakan.

Pihak petugas juga telah dimaklumkan agar memberi keutamaan kepada wanita mengandung, warga emas dan golongan orang kelainan upaya.

Sesi taklimat dan kerja pemantauan semalam turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Pakan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Dalam masa sama, Mawan dan penduduk Pakan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Majlis Keselamatan Negara, Bank Negara Malaysia, BSN dan semua agensi kerajaan pusat dan negeri dan badan bukan kerajaan kerana berusaha membawa perkhidmatan kaunter bergerak BSN ke Pakan. 

Usaha tersebut menurutnya, adalah keputusan dari penyelarasan kerjasama oleh semua pihak.

"Saya juga menyeru kepada pihak BSN dan perbankan yang lain agar memberi perkhidmatan yang sama kepada penduduk luar bandar di kawasan yang lain," ujarnya lagi.

Advertisement