Anda di sini

95 peratus langkah utama pakej PRIHATIN telah dilaksanakan

Advertisement
ZAFRUL
ZAFRUL

KUALA LUMPUR: Kesemua 10 langkah utama pakej PRIHATIN telah dilaksanakan, mewakili 95 peratus daripada keseluruhan nilai pakej iaitu RM260 bilion, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, jumlah peratusan tersebut meliputi bantuan kerajaan yang telah mula disalurkan termasuk Geran Khas Prihatin (GKP) yang dikhususkan bagi perusahaan kecil dan sederhana mikro.

“Pada 1 Mei, kerajaan telah memperuntukkan RM2.1 bilion (bagi GKP) yang mana RM3,000 akan diberikan kepada setiap PKS Mikro aktif yang berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada 31 Disember 2019,” katanya semasa membentangkan Laporan Laksana Keempat Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, semalam.

Menurutnya, permohonan GKP dibuka sehingga 15 Mei, 2020, dan keputusan akan diumumkan pada minggu pertama Jun dengan pembayaran dijangka dibuat pada hujung bulan yang sama.

Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkara itu boleh dilayari di gkp.hasil.gov.my.

Sementara itu mengenai Fasa Pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Tengku Zafrul berkata pembayaran sebanyak RM5.5 bilion telah dibuat kepada 7.78 juta penerima, peningkatan daripada 7.74 juta penerima dengan jumlah sebanyak RM5.47 bilion pada minggu lepas dan juga melibatkan mereka tanpa akaun bank yang telah menunaikan BPN di cawangan Bank Simpanan Nasional.

Manakala pembayaran Fasa Kedua dibuat secara berperingkat bermula 4 Mei, kepada 8.3 juta penerima B40 dan M40 yang diluluskan sebelum ini bernilai RM3.7 bilion.

Sehingga 29 April, 2020, hampir dua juta permohonan baharu dan rayuan telah diluluskan melibatkan jumlah sebanyak RM1.5 bilion.

“Dengan perkembangan terkini, adalah dijangka peruntukan tambahan sekurang-kurangnya RM1 bilion diperlukan atas peruntukan asal sebanyak RM10 bilion.

“Sukacita juga saya mengumumkan bahawa pembayaran untuk permohonan baharu dan rayuan yang layak akan dibuat bermula pertengahan bulan Mei,” kata Tengku Zafrul. — Bernama

Advertisement