Anda di sini

'Ibarat dipenjara dalam rumah sendiri'

Advertisement
 PPR Taman Harmoni Batu 3, Sandakan menjalani PKP Ketat.
PKP KETAT: PPR Taman Harmoni Batu 3, Sandakan menjalani PKP Ketat.

Pengalaman 22 hari penghuni PPR Harmoni jalan hidup dalam tempoh PKP Ketat

SELAMA 22 hari menjalani kehidupan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Ketat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni Batu 3, Sandakan merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan penghuni taman berkenaan.

Penghuni taman itu terpaksa duduk dalam rumah setiap masa dan tidak dibenarkan keluar sejak 4 April lalu.

 Polis membuat kawalan ketat di pintu masuk dan keluar PPR Taman Harmoni.
RAPI: Polis membuat kawalan ketat di pintu masuk dan keluar PPR Taman Harmoni.

Hanya Ketua Isi Rumah (KIR) sahaja yang dibenarkan keluar untuk membuang sampah, mengambil bantuan makanan kering di dewan, membeli barang keperluan di sebuah kedai yang dibuka sementara dan urusan bertemu keluarga di pintu keluar taman berkenaan.

Bagi KIR yang hendak berurusan di bank, kenderaan pasukan keselamatan disediakan dengan mengehadkan bilangan mereka berurusan di luar kawasan taman perumahan yang memiliki 900 pintu berpenghuni.

Pada 25 April lalu, penghuni PPR Taman Harmoni itu menarik nafas lega dan kesyukuran apabila PKP Ketat ditamatkan setelah 22 hari menjalani PKP Ketat bagi membendung penularan virus COVID-19 yang sedang melanda dunia hari ini.

 Mohd Dasmin bersama salah seorang anaknya menyusun alat permainan ketika berada dalam rumah.
KASIH SAYANG: Mohd Dasmin bersama salah seorang anaknya menyusun alat permainan ketika berada dalam rumah.

Walaupun tempoh PKP Ketat ditamatkan, penghuni masih menjalani kehidupan berdisiplin dan mengamalkan langkah kesihatan harian seperti menggunakan pelitup muka ketika di luar rumah, kerap mencuci tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman ekoran negara masih dalam PKP fasa ke-4.

Seorang penghuni taman PPR itu, Mohd Dasmin Damming, 35, menceritakan pengalaman dia serta keluarganya menjalani kehidupan di dalam rumah sewaktu taman perumahan mereka diisytihar menjalani PKP Ketat.

Beliau serta keluarga amat terkejut apabila pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Penerangan Malaysia serta beberapa agensi lain berada di kawasan pintu masuk dan keluar taman perumahan mereka.

“Saya yang baru balik ke rumah dari membeli sedikit barang keperluan dapur di sebuah pasar raya di Batu 4, dimaklumkan bahawa kawasan itu akan dikawal oleh pihak PDRM bagi membendung virus COVID-19 di kawasan taman kami,” katanya.

Mohd Dasmin tidak menyangka terdapat penghuni taman itu yang dijangkiti virus COVID-19 seperti yang dimaklumkan oleh rakan-rakan.

 Anggota bomba mulai melakukan proses sanitasi di kawasan sekitar PPR Taman Harmoni.
TUGAS: Anggota bomba mulai melakukan proses sanitasi di kawasan sekitar PPR Taman Harmoni.

Beliau berkata pelbagai berita tidak benar ditularkan melalui media sosial seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp mengenai kejadian yang berlaku di taman perumahannya ekoran pintu masuk dan keluar taman dikawal pihak polis.

“Waktu itu, kenderaan polis dan Jabatan Penerangan menghebahkan melalui pembesar suara kenderaan hanya mengarahkan kami sebagai penghuni duduk di rumah dan tidak dibenarkan keluar,” katanya.

Mohd Dasmin berkata pelbagai berita atau maklumat yang ditularkan melalui media sosial telah menjadi persoalan yang bermain di minda mereka sekeluarga, mengapa dan apa sebenarnya berlaku sehingga mereka tidak lagi menjalani PKP seperti yang dilalui bermula 18 Mac lepas.

“Kalau PKP, kami boleh keluar di kaki lima rumah, keluar membeli barang keperluan dan boleh menjalani kehidupan harian seperti biasa walaupun menjalani kehidupan dalam PKP yang mengamalkan langkah-langkah kesihatan supaya tidak dijangkiti COVID-19.

“Ini penghuni di taman itu ibarat di penjara dalam rumah sendiri dan tidak boleh keluar tanpa urusan penting atas kebenaran pasukan keselamatan,” jelasnya.

Dua hari selepas itu, beliau telah membaca berita online Utusan Borneo yang ditularkan melalui WhatsApp dimana PPR Taman Harmoni jalani PKP Ketat ekoran terdapat lima individu positif COVID-19 seperti yang dinyatakan oleh Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin.

“Dalam tempoh dua hari itu, beberapa individu dalam siasatan (PUI) juga di kuarantin di Pusat Kuarantin di PPR Batu Putih yang merupakan salah sebuah daripada 24 pusat kuarantin yang terdapat di Sabah,” katanya.

 Kakitangan KKM menunjukkan dokumen PUI yang hendak di kuarantin di Pusat Kuarantin Sandakan ketika melalui kawalan ketat polis di PPR Taman Harmoni.
PEMERIKSAAN: Kakitangan KKM menunjukkan dokumen PUI yang hendak di kuarantin di Pusat Kuarantin Sandakan ketika melalui kawalan ketat polis di PPR Taman Harmoni.

Beliau berkata persoalan yang bermain diminda mereka sekeluarga telah terjawab dan mereka sekeluarga akur arahan pihak berkuasa dan sentiasa mematuhi sebarang arahan yang diberikan.     
        
Mohd Dasmin memberitahu dia dan ahli keluarganya meningkatkan amalan penjagaan kesihatan diri sepanjang duduk di rumah dalam PKP Ketat.
 
Beliau dan isteri serta tiga anaknya sentiasa memastikan diri masing-masing dalam keadaan bersih dan sentiasa mencuci tangan bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.
 
“Sejak tidak dibenarkan keluar dari rumah akibat kawalan ketat pasukan keselamatan di taman perumahan ini, kami sekeluarga amat menitik beratkan amalan penjagaan kesihatan diri dan kebersihan persekitaran dalam rumah.
 
“Saya juga membersihkan peralatan dalam rumah untuk memastikan rumah kami bebas daripada kuman virus terbabit,” katanya.
 
Mohd Dasmin berkata mereka diberikan arahan supaya tidak keluar dari rumah dan wajib berada dalam rumah oleh pihak berkuasa dan mereka sekeluarga akur untuk keselamatan.
 
"Buang sampah pula hanya dibenarkan pada waktu tengah hari dan petang sahaja. Waktu malam sudah tidak dibenarkan sama sekali buang sampah.

Katanya, dia dan keluarga hanya duduk di dalam rumah dimana setiap kali kenderaan Jabatan Penerangan atau polis menghebahkan maklumat, dia dan keluarganya hanya melihat dari celah-celah tingkap bagi melihat situasi serta mendengar maklumat yang disampaikan.

Beliau berkata dalam sehari pasti ada sahaja maklumat melalui hebahan pembesar suara kenderaan yang akan disampaikan kepada penghuni oleh pihak berkuasa.
 
"Waktu menjalani PKP Ketat, ada kakitangan kesihatan yang datang ke rumah-rumah kami bertanya sama ada penghuni rumah ada sakit batuk, selesema dan demam berlarutan. Tetapi mereka sekadar bertanya dan perbualan kami hanya melalui tingkap rumah,” katanya.
 
Beliau telah memaklumkan kepada pihak Jabatan Kesihatan bahawa mereka sekeluarga sihat dan tidak ada simptom seperti yang ditanya oleh pihak kesihatan.
 
Ditanya mengenai keperluan barang makanan adakah mencukupi, Mohd Dasmin berkata sebelum langkah kawalan ketat dilakukan di taman perumahan ini dia ada keluar pergi membeli barang keperluan dapur pada sebelah pagi sebelum dikawal pihak berkauasa.
 
“Kami telah menerima bantuan barang keperluan daripada pihak kerajaan dan ini sedikit sebanyak kami syukuri kerana dapat menampung keperluan harian kami sekeluarga,” katanya.

Beliau berkata setelah lebih seminggu menjalani PKP Ketat, barulah KIR dibenarkan keluarga bagi membeli barang keperluan selepas pihak kerajaan membenarkan pembukaan sebuah kedai runcit sementara di dalam taman perumahan itu.

“Bolehlah saya membeli barang keperluan dapur dan keperluan anak-anak selepas bertahan lebih seminggu tanpa makanan pilihan,” katanya.

Mohd Dasmin berkata kebenaran membuka pasar basah dan kering juga di dalam taman perumahan itu telah melegakan mereka dan semua penghuni untuk membeli pelbagai jenis ikan, udang dan sayur-sayuran.  

“Kebimbangan saya terhadap isteri yang perlu menjalani rawatan kesihatan ibu dan anak di Klinik Ibu dan Bayi Bandar Sandakan juga terlerai selepas pihak KKM membuka sebuah klinik sementara di perkarangan surau taman perumahan ini,” katanya.

Beliau berkata sepanjang menjalani kehidupan PKP Ketat, kami sekeluarga terdidik bagi mengamalkan disiplin seperti selalu membersihkan diri dengan mencuci tangan setiap masa.

“Saya keluar untuk membeli barangan keperluan atau membuang sampah, balik sahaja ke rumah terus ke tandas membersihkan diri,” katanya.

Mohd Dasmin berkata kerja-kerja di rumah juga mereka lakukan bersama dan anak-anak banyak belajar erti kehidupan kekeluargaan.

“Amat penting, kejayaan membebaskan penularan penyakit berjangkit seperti COVID-19 ini boleh dilakukan sekiranya kita duduk di rumah seperti apa yang berlaku di PPR Taman Harmoni, jelas ini adalah bukti kejayaan pihak berkuasa menangani penularan COVID-19,” katanya.

Beliau melahirkan rasa kesyukuran selepas arahan PKP Ketat ditamatkan oleh pihak berkuasa dan menjadi satu pengalaman baharu padanya serta keluarga dan penghuni di taman perumahan itu.


KRONOLOGI PKP KETAT PPR TAMAN HARMONI

Penduduk di PPR Taman Harmoni yang sebelum ini tidak dibenarkan keluar dari kawasan taman itu atas arahan PKP Ketat dibuat Jawatankuasa Operasi Bencana Daerah Sandakan ekoran terdapat lima orang penduduk di taman itu dilaporkan dikesan positif COVID-19 bermula pada 4 April lepas.

4 April - Tindakan bermula jam 2 petang, pasukan keselamatan telah menyekat pergerakan bebas lebih 3,000 penghuni taman perumahan terbabit bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Pasukan keselamatan tidak membenarkan orang ramai memasuki lokasi itu kecuali penghuni sebenar taman perumahan terbabit. Pada masa sama, penghuni yang ingin keluar dari taman berkenaan tidak dibenarkan sama sekali keluar oleh pihak berwajib dan hanya duduk di dalam rumah.
 
PDRM, RELA, APM, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berada di lokasi pintu masuk dan keluar taman berkenaan membuat kawalan.

Beberapa kenderaan KKM kelihatan keluar dari pintu masuk dengan membawa keluar beberapa individu tidak diketahui status mereka, sama ada mereka itu adalah individu dalam siasatan (PUI) dan kontak rapat kluster COVID-19 untuk dihantar ke Pusat Kuarantin di PPR Batu Putih Batu 7 Sandakan.  

 Tiada kelihatan penghuni berjalan atau berada di luar rumah.
SUNYI: Tiada kelihatan penghuni berjalan atau berada di luar rumah.

Manakala, Jabatan Penerangan Malaysia telah memainkan peranan bagi menghebahkan tindakan yang dilakukan kepada penduduk taman berkenaan dengan menggunakan dua kenderaan.

5 April -  KKM melalui Jabatan Kesihatan Kawasan Sandakan telah membuka klinik kesihatan sementara di perkarangan surau taman berkenaan bagi kemudahan penduduk mendapat perkhidmatan kesihatan.

Jabatan Kesihatan Kawasan Sandakan juga dilaporkan melakukan saringan terhadap penduduk di taman itu yang dijangka akan mengambil masa selama tujuh hari.

Dalam tempoh ini, tidak ada penghuni yang dibenarkan keluar rumah dan Jabatan Kebajikan Sandakan telahpun membekalkan makanan kering kepada semua keluarga membabitan 898 Ketua Isi Rumah (KIR) sepanjang tempoh saringan dilakukan.

Selepas tempoh saringan berakhir, arahan pihak berkuasa hanya KIR atau wakil yang sihat dibenarkan keluar rumah bagi tujuan membeli bekalan makanan dan semua isi rumah yang lain dikehendaki terus kekal berada di rumah.

KIR yang keluar rumah hendaklah memakai gelang tangan yang dibekalkan oleh Jabatan Kesihatan Kawasan sebagai tanda kawalan dan mereka dikehendaki balik ke rumah terus sebaik sahaja selesai membuat pembelian barangan keperluan.

Gelang tangan hendaklah dipakai (tidak boleh ditanggalkan atau dipotong), kerana tanpa gelang ini KIR tidak boleh keluar untuk membeli barangan keperluan. Masa untuk keluar juga disediakan bagi mengelakkan berlaku risiko berkumpul secara beramai-ramai waktu keluar beli makanan.

5 April - Surau yang ada di kawasan PPR Taman Harmoni tidak boleh digunakan sementara waktu dan akan ditutup oleh pihak polis sepanjang masa perintah PKP dan ruang perkarangan surau berkenaan dilaporkan digunakan bagi membuka klinik sementara.
 
Pengerusi Operasi Bencana Daerah Sandakan Wong Foo Tin dalam satu kenyataan ringkas mengatakan tiada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau Perintah Berkurung diisytiharkan di kawasan PPR Taman Harmoni.

Mohd Azhar ketika ditemui turut mengesahkan tidak sampai tahap PKPD, masih lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi pergerakan penduduk dikawal ketat.  

Polis mengesahkan terdapat lima orang penghuni yang dikatakan positif COVID-19 dan beberapa individu telah dihantar ke pusat kuarantin. Susulan itu, pihak polis telah diarahkan oleh Jawatankuasa Operasi Bencana Daerah Sandakan supaya membuat kawalan ketat kawalan pergerakan penduduk sehingga tempoh dijangka 14 April 2020.

6 April -  Sebanyak 900 gelen cecair pencuci  telah diagih-agihkan kepada penghuni PPR Taman Harmoni di sini bagi tujuan sanitasi kuman kawasan dalam rumah masing-masing.

 Bantuan makanan untuk penghuni PPR Taman Harmoni yang ditempatkan di dewan serbaguna taman berkenaan sebelum diagihkan kepada KIR.
KUMPUL: Bantuan makanan untuk penghuni PPR Taman Harmoni yang ditempatkan di dewan serbaguna taman berkenaan sebelum diagihkan kepada KIR.

Pengagihan cecair pencuci itu adalah inisiatif Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sandakan.

Gelen pencuci serta sarung tangan diagihkan kepada penghuni untuk mereka membersihkan kawasan dalam rumah. Kakitangan JBPM Zon Sandakan melakukan sanitasi sekitar perumahan seperti lorong, tangga, jalan raya dan kawasan tumpuan ramai.

7 April - Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JKM) Bahagian Sandakan telah menyalurkan bantuan makanan kepada kira-kira 900 Ketua Isi Rumah di PPR Taman Harmoni, Sandakan. Bantuan dianggarkan bernilai RM200 setiap bungkus termasuklah beras, gula, telur, makanan tin serta beberapa keperluan lain telah diagihkan oleh Pasukan Sukarelawan JKM.

10 April -  Jawatankuasa Operasi Bencana Daerah Sandakan telah membenarkan sebuah kedai runcit sementara dibuka di belakang dewan Taman Harmoni bagi kemudahan KIR membeli barang keperluan ekoran mereka tidak dibenarkan keluar dari kawasan taman perumahan itu bagi membendung penularan wabak COVID-19.

14 April – Jawatankuasa Operasi Bencana Daerah Sandakan melanjutkan PKP Ketat di PPR Taman Harmoni.

20 April - Pengerusi Operasi Bencana Daerah Sandakan yang juga Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Wong Foo Tin dalam satu kenyataan mengumumkan PKP Ketat di PPR Taman Harmoni akan ditamatkan pada 25 April 2020 selepas tiada laporan jangkitan baharu kepada penghuni.

  • oleh
  • Advertisement