Anda di sini

Pengusaha bas ekspres di Sabah sedia beroperasi semula

Advertisement
DONALD
DONALD

KOTA KINABALU: Lebih 20 pengusaha bas ekspres di negeri ini bersedia untuk beroperasi pada bila-bila masa sebaik sahaja mendapat 'lampu hijau' dari Kementerian Pembangunan Infrastruktur.

Presiden Majlis Pengusaha-Pengusaha Bas Ekspres Sabah (SEBOC) Datuk Donald Hanapi berkata, pihaknya baharu sahaja bermesyuarat dengan Setiausaha Tetap kementerian berkenaan bagi menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi aktiviti bas ekspres sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Dalam mesyuarat itu pengusaha bas ekspres ditanya sama ada sudah bersedia beroperasi jika dibenarkan dan kami sememangnya bersedia untuk kembali berkhidmat setelah dihentikan sejak 18 Mac lepas.

"Saya difahamkan kementerian akan mengadakan mesyuarat dalaman pada esok hari (5 Mei) sebelum memberikan kata putus berhubung hal ini.

"Persatuan kami turut menekankan agar diberikan subsidi minyak diesel kepada pengusaha bas dan dibantu dari segi penyediaan disinfeksi di setiap terminal bas untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19," katanya dalam kenyataan di sini.

Donald turut memohon agar kadar tambang bas dinaikkan sekurang-kurangnya 30 peratus kerana pengurangan pendapatan berikutan SOP penjarakan sosial.

"Jika sebelum ini sebuah bas ekspres boleh memuatkan seramai 42 penumpang, namun dengan pelaksanaan penjarakan sosial, hanya 20 orang dibenarkan di dalam bas.

"Pengurangan jumlah penumpang ini pastinya memberikan kesan yang sangat besar kepada pengusaha bas ekspres dan kami berharap agar permohonan kami dipertimbangkan,” katanya.

 

Advertisement