Anda di sini

Setuju tindakan Sarawak, bimbang tahap pematuhan masyarakat

Advertisement

KUCHING: Rata-rata orang ramai memberikan reaksi positif terhadap keputusan kerajaan negeri untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan membuka semula aktiviti dan sektor ekonomi tertentu di Sarawak bermula esok hari.

Tinjauan Utusan Borneo hari ini mendapati mereka bersetuju dengan tindakan kerajaan itu berikutan bimbang dengan tahap pematuhan masyarakat terhadap PKPB.

AMELIA
AMELIA

Amelia Mohd Sharif, 35, berkata, keputusan kerajaan Sarawak untuk tidak mengambil langkah sama dengan kerajaan persekutuan merupakan tindakan yang amat tepat

“Saya setuju dengan tindakan kerajaan negeri untuk tidak melaksanakan PKPB memandangkan Sarawak masih ada beberapa kawasan diisytiharkan zon merah seperti Kuching dan Samarahan.

“Saya risau jika PKPB dilaksanakan, tidak mustahil akan berlakunya gelombang kedua COVID-19 seperti dialami Singapura dan Kanada. Dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun masih ramai orang keluar ke pasar apatah lagi ketika PKPB nanti,” katanya.

Kakitangan kerajaan itu berkata, biarpun ada sebilangan golongan peniaga tidak sabar mahu memulakan perniagaan mereka, namun tindakan membuka sektor terlalu banyak ekonomi secara serentak dilihat sebagai satu tindakan yang terburu-buru.

ROBINSON
ROBINSON

Pembantu kejuruteraan sebuah syarikat swasta, Robinson Sidi, 30, mencadangkan agar pembukaan dalam sektor ekonomi dilakukan secara berperingkat dan terkawal mengikut perkhidmatan yang penting sahaja.

“Saya faham ramai majikan mengalami banyak kerugian begitu juga pekerja yang terjejas pendapatan akibat COVID-19, tetapi apa yang menjadi keutamaan sekarang adalah keselamtan rakyat. Kita tidak mahu kesilapan negara lain yang beri kelonggaran berulang di Malaysia,” katanya.

ALFIE
ALFIE

Pendapat Robinson itu turut disokong oleh pekerja swasta dari Samarahan, Alfie Allin, 35, yang memuji langkah kerajaan Sarawak untuk mengkaji keputusan kelonggaran PKP sebelum membenarkan sektor ekonomi kembali beroperasi.

Beliau menyifatkan keputusan kerajaan persekutuan untuk membuka semula perniagaan adalah tergesa-gesa kerana PKP Fasa 4 masih dijalankan sehingga 12 Mei ini.

“Daripada bertahan selama beberapa minggu lagi sehingga kita mempunyai sifar kes baru, Malaysia mungkin mengalami gelombang kedua wabak ini. Apabila ini berlaku, kita terpaksa memulakan semula PKP selama berbulan lagi.

“Bagi saya, sektor ekonomi boleh kembali pulih kerana setelah PKP tamat dan tiada kes baru, rakyat akan mula keluar dan berbelanja lagi.  Ekonomi yang jatuh boleh kembali pulih tetapi nyawa orang hilang tidak dapat dikembalikan lagi,” katanya.

CHUMANG
CHUMANG

Sementara itu, pelajar institut pengajian tinggi, Chumang Angke, 22, bersetuju dengan tindakan kerajaan Sarawak dan memohon PKPB ditangguhkan sehingga keluk pandemik ini menunjukkan penurunan ketara. 

“Ini penting kerana masih ramai di luar sana yang belum diuji dan berpotensi besar menyebarkan COVID-19,” katanya.

Bagi peniaga restoran dari Batu Kawa yang enggan namanya didedahkan berharap kerajaan akan mengkaji semula pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) terutama penyusunan meja makan dengan jarak sekurang-kurangnya dua meter di setiap kedai.

“Mungkin tiada masalah bagi restoran yang mempunyai ruang yang besar tetapi bagi mereka yang mempunyai kawasan kecil pastinya sukar kerana mereka hanya dapat letak mungkin empat meja pada satu masa.

“Jadi lebih baik jual makanan secara bungkus dan bawa balik daripada membenarkan pelanggan makan di premis dengan mendapat keuntungan yang tidak seberapa dan berdepan dengan risiko penularan wabak COVID-19,” ujarnya.
 

  • oleh
  • Advertisement