Anda di sini

PKPB belum dilaksanakan di Sarawak, masih dalam kajian

Advertisement

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hari ini memutuskan belum bersedia memberi kelonggaran di negeri ini seperti diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam.

Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini berkata, kerajaan negeri perlu mengkaji sedalam mungkin sebelum membenarkan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan mulai 4 Mei ini.

Menurutnya, kerajaan negeri menghormati penuh pengumuman mengenainya.

"Dengan mengambil kira keadaan setempat di Sarawak dari segi ke COVID-19, kemampuan logisitik, keupayaan Jabatan Kesihatan dan keadaan geografi, JPBNS mendapati banyak standard pematuhan pembukaan semula kegiatan ekonomi tidak kondusif kepada negeri ini.

"Maka itu kerajaan negeri telah memutuskan untuk mematuhi semua arahan untuk mengekalkan status quo dan semua arahan yang diumumkan di bawah PKP 1, 2 dan 3 kekal dikuatkuasakan buat masa ini," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun kata Uggah Sarawak akan mengumumkan secara berperingkat pembukaan semula sektor ekonomi dan sektor lain.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah memutuskan untuk mengkaji implikasi pembukaan semula aktiviti ekonomi seperti mana diumumkan Perdana Menteri, termasuk sektor mana, bila dibuka serta waktu operasi dibenarkan dibuka.

"Bagi tujuan ini, JPBNS hanya akan membuat keputusan selepas kajian perubahan dalam peraturan Akta 342 menurut pengumuman oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

"JBPNS mesti memastikan pembukaan semula aktiviti dan sektor ekonomi sesuai dengan keadaan Sarawak," katanya.

Beliau berkata, semua perkara itu akan dilakukan selepas setiap perincian SOP dan garis panduan dikaji.

Selain itu Uggah berkata, bagi mereka yang telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), mereka perlu mendapatkan persetujuan kerajaan negeri menerusi JPBNS.

Beliau berkata ia agar permohonan mereka dikaji sebelum mereka dibenarkan beroperasi.
 

  • oleh
  • Advertisement