Anda di sini

Institusi masjid laksana fungsi menerusi online semasa tempoh PKP

Advertisement
MASJID UMS
MASJID UMS

PERINTAH memakmurkan masjid dinyatakan oleh Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat 18 yang bermaksud; “ Hanyasanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah itu adalah orang yang beriman kepada Allah, beriman kepada hari akhirat, mendirikan solat dan menunaikan zakat, dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat tersebut) maka adalah diharapkan mereka akan mendapat petunjuk hidayah". 

Firman Allah SWT di atas menjelaskan tentang beberapa fungsi masjid iaitu melahirkan manusia yang kuat mental (keimanan yang teguh kepada Allah dan hari akhirat), baik hubungan dengan Allah SWT (mendirikan solat), baik hubungan dengan sesama manusia (menunaikan zakat), dan mempunyai kecerdasan emosi (tidak takut melainkan kepada Allah SWT).

Malaysia, sebagaimana negara-negara lain di dunia, sedang berhadapan dengan satu ujian besar melibatkan penularan wabak covid-19 yang telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai wabak pandemik. Ancaman pandemik COVID-19 kepada kesihatan manusia amatlah menakutkan. Sehingga kini belum ada vaksin yang dapat melawan COVID-19 . 

Oleh yang demikan, ianya perlu ditangani dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Perintah ini telah menyebabkan penutupan semua rumah ibadah, termasuklah masjid dan surau. Ini adalah bertujuan untuk memutuskan rangkaian penularan penyakit ini dalam kalangan masyarakat. 

Pada awalnya wujud kekhuatiran, akan terjejasnya usaha memakmurkan masjid menerusi fungsi utama masjid sebagai tempat ibadah bilamana pelaksanaan solat fardu secara berjemaah, kuliah, ceramah agama dan aktiviti keagamaan yang lain tidak lagi dibenarkan untuk diadakan dalam masjid. 

Walau bagaimanapun, langkah ini adalah bersifat sementara yang disepakati sebagai satu langkah terbaik dalam usaha mengakhiri ancaman pandemik Covid-19. Usaha memakmurkan masjid masih dapat diteruskan menerusi kaedah dalam talian.

Masjid sebagai penyampai ilmu dan dakwah

Apabila PKP diumumkan, pihak masjid telah segera merancang jadual kuliah secara dalam talian menerusi laman Facebook, Instagram, Youtube, Google Meet, Zoom dan sebagainya. 

Hikmahnya adalah  tidak dijangka, di mana penyampaian ilmu melalui kaedah tersebut  diterima dengan sangat baik oleh para pendakwah dan masyarakat Islam. 

Malah, jumlah pendengar yang mengikuti kuliah-kuliah yang disampaikan adalah berlipat kali ganda bilangannya. Kuliah-kuliah ini turut diikuti oleh pelbagai lapisan umur dari golongan remaja hingga ke dewasa.  

Masjid sebagai agen pembangun ekonomi ummah

Fungsi masjid juga sinonim dengan pelaksanaan ibadah zakat. Amalan berzakat adalah satu bentuk sokongan sosial dan pembangunan ekonomi dalam masyarakat. Asnaf zakat yang dibantu adalah terdiri daripada tujuh golongan iaitu fakir, miskin, ibnu sabil, fi sabilillah (contoh penuntut dan penyebar ilmu), al-Gharimin (contoh mereka yang dibebani dengan hutang), ar-Riqob (contoh mereka yang terbelenggu dengan masalah sosial) dan golongan muallaf (mereka yang baru memeluk Islam juga golongan belum Islam yang berhubungan baik dengan orang Islam). 

Bantuan zakat kepada golongan ini sangat dianjurkan terutama kepada mereka yang kehilangan pekerjaan dan para peniaga yang terjejas dengan bebanan hutang perniagaan. Tabung sedekah masjid juga telah digunakan sepenuhnya untuk membantu mereka yang amat memerlukan bantuan.

Masjid Sebagai Pusat  Sokongan dan Khidmat Nasihat,  Kaunseling, Psikoterapi dan Rawatan Islam (Ruqyah Syariyyah)

Institusi masjid juga sangat signifikan dalam memberikan perkhidmatan sokongan psikologi dan terapi kerohanian bagi mereka yang memerlukan. Malah institusi masjid mempunyai keupayaan dan kelebihan tersendiri kerana dapat memberikan sokongan kerohanian (spiritual) yang menjadi asas dan pelengkap kepada keperluan fitrah insan. 

Sehubungan dengan itu, perkhidmatan sokongan psikososial dan spiritual serta Ruqyah Syariyyah (rawatan dengan bacaan ayat al-Quran, zikir dan doa) secara dalam talian telah dilancarkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan juga oleh Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah.

Di sebalik kesukaran dan kemudahan

Meskipun fungsi utama masjid sebagai tempat ibadah tidak dapat dijalankan sepanjang tempoh PKP, namun fungsi masjid yang lain masih dapat dijalankan dan disebar luaskan dengan lebih dioptimum. Maka dalam menghadapi ujian wabak COVID-19 dan tempoh PKP ini, amat benarlah firman Allah SWT dalam Surah as-Sharh ayat 5 dan 6 yang bermaksud,:
" Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) sesungguhnya pada setiap kesukaran itu ada kemudahan dan (sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya pada setiap kesukaran itu ada kemudahan".

Advertisement