Anda di sini

Pelajar dibenar balik kampung luah perasaan gembira, takut dan terkejut

Advertisement
 Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi (berdiri, kiri) bersama pegawai UNIMAS yang lain dan sebahagian daripada pelajar yang dihantar balik kampung semalam.
HANTAR: Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi (berdiri, kiri) bersama pegawai UNIMAS yang lain dan sebahagian daripada pelajar yang dihantar balik kampung semalam.

KOTA SAMARAHAN: Gembira, takut dan terkejut, itu antara luahan beberapa pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang pulang ke rumah masing-masing semalam.

Veserleisa Veremau Pangkas, 21, berasal dari Julau berkata  dia berasa sangat gembira namun pada masa sama sedih.

“Sudah tentu saya sangat gembira malah terkejut kerana dapat pulang tetapi jauh di dalam hati saya sedih...gembira kerana saya tahu akan sampai ke rumah dihantar oleh pihak universiti.

“Sedih kerana walaupun dapat balik ke rumah, saya perlu menjalani kuarantin (di rumah), tidak boleh nak peluk ahli keluarga yang lain khasnya ibu dan tidak boleh makan bersama keluarga selama 14 hari.

“Sedih kerana tinggalkan kawan-kawan, rakan serumah dan rakan sebilik yang bersama-sama dengan saya sejak hari pertama PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan,” katanya.

Veserleisa pelajar Tahun 1 program Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian (Ekonomi Antarabangsa) antara 127 kumpulan pertama pelajar UNIMAS yang dihantar pulang semalam.

Dia dalam pada itu bersyukur dan berterima kasih kepada pengurusan UNIMAS yang membolehkannya meraikan Gawai bersama keluarga walaupun sambutan kali ini kurang meriah berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Memang saya terkejut, sebab tidak menyangka saya dapat balik, kerana sebelum ini kami diberitahu belum boleh balik ke kampung  dan menyambut Gawai di sini.

“Petang semalam (Rabu) saya diberi notis serta-merta dan diarah mengosongkan bilik dan pagi ini dah kena balik,” katanya.

Laura Steven, 21, pelajar Tahun 1 program Linguistik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi UNIMAS pula berkata dia menarik nafas lega kerana akhirnya dapat pulang bersama keluarga selepas dimaklumkan dia perlu tinggal di kampus untuk tempoh agak lama.

Dia bagaimanapun berkata berasa takut dengan penyakit COVID-19 yang masih belum dapat dibendung sepenuhnya.

“Saya berasa takut dengan penyakit ini (COVID-19) yang masih belum reda. Kita tidak tahu sama ada kita terdedah atau sebaliknya,” katanya yang telah berada di kampus lebih sebulan lalu.

Laura juga memberitahu bahawa dia dan keluarga mungkin tidak akan pulang ke rumah panjang di Kapit dengan mengambil kira keadaan ketika ini.

Ketika ini keluarganya tinggal di kuarters milik sebuah syarikat perladangan di Sibu kerana bapanya bekerja dengan syarikat berkenaan.

Bagi Adib Asri hanya perkataan syukur yang dapat diluahkan kerana akhirnya dapat bersama keluarga pada bulan Ramadan dan meraikan Hari Raya Aidilfitri.

“Saya bersyukur, kerana dapat bersama keluarga. Diharap semuanya berjalan seperti dirancang,” ujarnya ringkas.

Advertisement