Anda di sini

UNIMAS terima kunjungan pasukan pakar perubatan China bantu bendung COVID-19

Advertisement
 Kadim menyampaikan cenderamata kepada Dr Li.
PENGHARGAAN: Kadim menyampaikan cenderamata kepada Dr Li.

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerima kunjungan daripada pasukan pakar perubatan China bagi membantu usaha membendung penularan wabak COVID-19.

 UNIMAS dalam kenyataan media berkata,  seramai lapan orang yang diketuai Naib Presiden Hospital Perubatan Tradisional China Wilayah Guangdong Dr Li Jun menyertai rombongan itu pada Selasa.

 Anggota lain ialah Dr Wen Miaoyun, Dr Zhang Youping, Dr Liu Tao, Dr Sun Juifeng, Dr Yang Shifang, Dr Luo Xiaodan dan Dr Liu Tao.

“Kedatangan rombongan itu ke sini adalah untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka dengan Kerajaan Malaysia termasuk usaha menangani wabak COVID-19,” katanya.

Pada kunjungan tersebut, UNIMAS berkata, pasukan perubatan itu telah berkongsi kaedah amalan terbaik yang diguna pakai di China dalam usaha mereka melawan COVID-19.

Dr Li menekankan bahawa pengesanan  awal, pengasingan awal, rawatan awal dan saringan komuniti adalah kaedah terbaik untuk membendung pandemik itu.

Beliau turut menyatakan Malaysia telah mengambil tindakan yang wajar untuk mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini berada di fasa ketiga dan akan disambung ke fasa keempat iaitu hingga 12 Mei 2020.

 Terdahulu, lawatan delegasi pakar perubatan itu disambut Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suhaidi, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dr Ahmad Hata Rasit.

Hadir sama,  Pengarah Kanan Pusat Penyelidikan, Inovasi dan Enterprise Profesor Dr Lo May Chiun, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Profesor Dr Asri Said, Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IKPK) Profesor Dr David Perera, Pengarah Hospital Pengajar dan Pusat Perubatan UNIMAS Profesor Madya Dr Ehfa Bujang Safawi, Datu Profesor Andrew Kiyu dan pegawai-pegawai UNIMAS yang lain.

 Delegasi itu turut bekunjung ke Makmal Ujian Diagnostik bagi mengesan COVID-19 di Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti UNIMAS.

Advertisement