Anda di sini

Kumpulan pertama 127 pelajar UNIMAS dihantar pulang hari ini

Advertisement
Veserleisa Veramau Pangkas antara pelajar UNIMAS yang dihantar pulang ke Sibu hari ini bersama 126 lagi pelajar. - Gambar oleh Roystein Emmor
Veserleisa Veremau Pangkas antara pelajar UNIMAS yang dihantar pulang ke Sibu hari ini bersama 126 lagi pelajar. - Gambar oleh Roystein Emmor

KOTA SAMARAHAN: Seramai 127 daripada kira-kira 4,000 pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mula pulang ke kampung masing-masing hari ini.

Naib Canselor UNIMAS Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata destinasi utama pelajar yang pulang dari UNIMAS hari ini adalah Sibu.

"Ini adalah penghantaran kumpulan pertama seramai 127 orang dan destinasi mereka ialah ke Sibu. Mereka akan menggunakan lapan buah bas setibanya di Sibu nanti mereka akan dibawa ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Sibu untuk proses seterusnya," katanya ketika ditemui semasa meninjau proses penghantaran pelajar berkenaan di Kolej Cempaka, UNIMAS hari ini.

Beliau memberitahu setiba di rumah masing-masing, para pelajar perlu menjaga penjarakan sosial dan tidak bersalaman atau berpelukan dengan ahli keluarga lain, selain melakukan pemantauan sendiri selama 14 hari.

"Sebelum ini, mereka telah menjalani saringan kesihatan bagi memastikan mereka bebas dari gejala COVID-19 oleh pasukan perubatan universiti," katanya.

Mohamad Kadim berkata UNIMAS dipilih untuk menyelaras penghantaran pulang pelajar dari institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di seluruh Sarawak.

"Dalam tempoh tiga hari bermula hari ini, kita menghantar pelajar kita dari Sarawak pulang ke destinasi masing-masing dalam Sarawak," katanya lagi.

Pegawai kesihatan UNIMAS memeriksa suhu badan Laura Steven, antara pelajar yang dihantar pulang hari ini.
Pegawai perubatan UNIMAS memeriksa suhu badan Laura Steven, antara pelajar yang dihantar pulang hari ini.

Beliau berkata jumlah pelajar yang akan dihantar pulang belum dapat dipastikan ketika ini memandangkan jumlahnya sentiasa berubah dan pihaknya masih mengumpul maklumat daripada semua IPT terbabit.

"Ini perlu dilakukan secara berperingkat disebabkan logistik, pada masa sama perlu mematuhi garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Pada Sabtu, kita akan mula menghantar pelajar kita dari Semenanjung Malaysia dan Sabah jumlah mereka dianggarkan 2,900 orang," katanya sambil menambah sebilangan pelajar memilih untuk kekal di kampus atas beberapa sebab.

Antara sebab pelajar memilih untuk kekal di kampus ialah mungkin liputan internet di kampung mereka tidak begitu baik menyukarkan mereka mengikuti pengajian dalam talian menerusi sistem eLeaps, jelasnya.

Beliau berkata kebajikan pelajar yang memilih kekal di kampus sepanjang tempoh ini tidak akan diabaikan oleh pihak universiti.

Mohamad Kadim berkata ketika ini UNIMAS melaksanakan proses pembelajaran dan pengajaran dalam talian bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelajarnya.

"Kita tidak ada kuliah bersemuka sehingga diberitahu kelak. Sekarang semua proses pembelajaran dan pengajaran dalam talian.

"Kita juga bercadang untuk menyambung semula semester kedua 9 Jun depan selepas Hari Raya dan Gawai...Pengambilan pelajar baharu juga mungkin kita lakukan pada Oktober 2020 yang lazimnya pada September," jelasnya.



 

  • oleh
  • Advertisement