Anda di sini

RHB lulus lebih RM500 juta SRF kepada 700 PKS

Advertisement
 
 

KUALA LUMPUR: RHB Banking Group telah meluluskan permohonan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) sebanyak RM500 juta kepada lebih 700 perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bagi membantu mengurangkan masalah aliran tunai jangka pendek mereka berikutan pandemik COVID-19.

SRF merupakan sebahagian daripada dana Bank Negara Malaysia berjumlah RM5 bilion, yang disediakan di bawah Program Bantuan Sokongan Kewangan RHB PKS untuk kelangsungan operasi perniagaan, pengekalan pekerjaan serta menyokong pertumbuhan ekonomi semasa dalam keadaan getir ini.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli dalam satu kenyataan berkata, RHB telah meluluskan lebih 700 permohonan SRF daripada 1,500 permohonan yang diterima, dengan nilai melebihi RM500 juta. 

"Bilangan tertinggi kelulusan yang diberikan adalah daripada sektor perdagangan borong dan runcit, sebanyak 31 peratus dengan jumlah keseluruhan kemudahan sebanyak RM155 juta.

"Ini diikuti sebanyak 16 peratus daripada sektor pembuatan dengan nilai RM79 juta, manakala selebihnya merangkumi PKS daripada pelbagai sektor perkhidmatan," katanya. 

Katanya, PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan modal kerja sehingga RM1 juta pada kadar pembiayaan sebanyak 3.5 peratus setahun merangkumi yuran jaminan, dengan tempoh maksimum sehingga 5.5 tahun termasuk tempoh enam bulan moratorium.

Fasiliti ini disediakan di bawah pembiayaan bertempoh dan mempunyai 80 peratus jaminan perlindungan oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaaan Perniagaan Bhd (SJPP). 

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pemilik perniagaan boleh mengemukakan permohonan untuk SRF melalui platform pembiayaan dalam talian PKS RHB, kata Khairussaleh.

Buat masa sekarang, hampir separuh daripada kelulusan SRF membabitkan mereka yang mempunyai hubungan pembiayaan baharu dengan RHB. 

Kumpulan telah menyaksikan sebanyak 36 peratus daripada permohonan SRF dibuat melalui platform dalam talian dan menggalakkan PKS agar terus menggunakan platform sedemikian semasa dalam tempoh PKP ini. 

"Platform pembiayaan dalam talian PKS RHB membolehkan pengalaman aplikasi yang mudah, cepat dan lancar dengan paparan pemuka yang mesra pengguna, yang mana semua input data dan prosedur persetujuan boleh dilakukan secara digital.

"Dalam hari-hari dan minggu yang akan datang, kami juga akan secara proaktif berhubung dengan pelanggan PKS kami melalui Webinar atau Zoom untuk menerangkan mengenai permohonan SRF serta memberi nasihat mengenai pengurusan kewangan dalam tempoh yang paling mencabar ini," katanya lagi. - Bernama