Anda di sini

PKP fasa 4: Ketua keluarga boleh disertai seorang anggota beli barang keperluan, rawatan 

Advertisement
 
Pasangan pejalan kaki melintasi persimpangan lampu isyarat Jalan Ampang yang kelihatan agak lengang setelah masuk hari ke-40 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak COVID-19 diseluruh negara. - Gambar Bernama
Pasangan pejalan kaki melintasi persimpangan lampu isyarat Jalan Ampang, Kuala Lumpur yang kelihatan agak lengang ketika PKP berikutan penularan wabak COVID-19 diseluruh negara. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Ketua keluarga yang keluar membeli makanan dan barangan keperluan harian lain ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat, kini boleh disertai seorang anggota keluarga yang tinggal serumah.

Perkara ini adalah berdasarkan kepada warta persekutuan yang dikemas kini di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.4) 2020, yang dikeluarkan laman sesawang Jabatan Peguam Negara, semalam.

Mengikut Peraturan-Peraturan di dalam warta tersebut, pergerakan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan atau perubatan juga boleh disertai mana-mana orang lain yang semunasabahnya perlu.

Warta tersebut yang ditandatangani Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menyatakan bahawa, Peraturan-Peraturan itu berkuatkuasa dari tempoh 29 April sehingga 12 Mei.

Senarai perkhidmatan perlu dalam Peraturan-Peraturan yang dikemas kini itu, kekal 15 perkara seperti sebelum ini.

Kawalan atas pergerakan di dalam kawasan radius 10 kilometer dari kediaman untuk mendapatkan barangan keperluan seperti makanan, ubat, penokok diet dan keperluan harian, juga masih kekal. - Bernama 

Advertisement