Anda di sini

Keluar berdua sekeluarga? Di Sarawak belum dibenarkan

Advertisement
Uggah pada sidang media selepas meninjau Operasi Pengesanan Kes Aktif COVID-19 di Kota Samarahan, hari ini. Turut kelihatan, Abdullah.
Uggah pada sidang media selepas meninjau Operasi Pengesanan Kes Aktif COVID-19 di Kota Samarahan, hari ini. Turut kelihatan, Abdullah.

KOTA SAMARAHAN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) belum membenarkan dua orang dari satu keluarga untuk keluar dari rumah bagi membeli barang keperluan lain ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata setakat ini JPBNS cuma membenarkan petani yang hendak ke kebun atau ke sawah padi keluar berdua.

"Saya belum mendapat maklumat terperinci mengenai perkara itu (kebenaran untuk keluar berdua dalam satu kenderaan). Di Sarawak buat masa ini kita hanya membenarkan petani yang turun menuai padi boleh berteman atau membawa seorang penumpang dalam satu kenderaan.

"Bagi orang umum (selain petani), belum. Kita masih tunggu dahulu," katanya pada sidang media selepas meninjau Operasi Pengesanan Kes Aktif COVID-19 di Taman Desa Ilmu dan Taman Uni Garden di sini, hari ini.

Turut serta, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Putrajaya berkata kerajaan memutuskan untuk memberi sedikit kelonggaran bagi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat dengan membenarkan dua orang bergerak dalam satu kenderaan bermula hari ini.

Menurutnya, mereka perlu terdiri daripada ahli keluarga dari rumah yang sama dan pergerakan itu bagi membeli makanan dan barang keperluan harian.

Perkara ini adalah berdasarkan kepada warta persekutuan yang dikemas kini di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.4) 2020, yang dikeluarkan laman sesawang Jabatan Peguam Negara, pada Selasa.


 

  • oleh
  • Advertisement