Anda di sini

Penduduk pedalaman Sabah sukar keluar tunai BPN

Advertisement
AFELIN
AFELIN

KENINGAU: Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sabah (PESAN) menyambut baik keprihatinan kerajaan memberikan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) namun kesal kerana segelintir penduduk luar bandar sukar mengeluarkan bantuan berkenaan.

Setiausaha Agung PESAN Afelin Yabu berkata, kesukaran berlaku disebabkan penerimaan bantuan disalurkan melalui akaun bank di mana ramai penduduk pedalaman tinggal jauh dari kemudahan mesin ATM untuk mengeluarkan bantuan itu.

“Pelbagai daerah kecil di pedalaman seperti Pagalungan, Sapulut dan Sook tidak mempunyai kemudahan mesin ATM bank,” katanya menambah di bandar terdekat seperti Nabawan sekalipun sukar mendapatkan kemudahan pengeluaran wang itu.

Menurut Afelin tidak mungkin penerima bantuan dapat membeli barangan keperluan kerana jauh dari kemudahan ATM manakala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa menyukarkan pergerakan antara daerah.

Afelin menyatakan tinjauan pihaknya menunjukkan masih ramai penerima BPN belum memperoleh wang bantuan terutama di Pagalungan yang memiliki 90 keluarga B40 dan dianggarkan baru 40 peratus menerima bantuan itu.

Afelin menjelaskan tinjauan pihaknya di Sook yang mempunyai 350 keluarga B40, dianggarkan lebih separuh penerima yang layak belum menerima tunai BPN.

Demikian juga di Sapulut, katanya daripada 100 keluarga B40 dianggarkan lebih 60 peratus belum menerima tunai BPN.

Afelin menambah dalam mengeluarkan wang dari mesin ATM, terdapat juga keluarga di pedalaman yang tidak dapat menanggung kos pengangkutan kerana perjalanan yang sukar untuk berurusan ke bank.

Justeru Afelin meminta Kerajaan Negeri Sabah dan Persekutuan agar dapat melaksanakan usaha mengesan keluarga dalam kategori sukar mengeluarkan tunai BPN untuk menjangkau keluarga berkenaan.

“Sokongan dari jabatan dan agensi kerajaan diperlukan untuk mengenal pasti kumpulan sasaran untuk memberi perhatian khusus menghantar bantuan tunai kepada mereka,” katanya.

Afelin menambah pihaknya mendapati kategori berkenaan terdiri daripada warga emas, orang kelainan upaya, ibu tunggal dan keluarga miskin tegar mempunyai anak ramai dan masih kecil yang perlu diberi pengecualian berurusan atas talian kerana tidak mempunyai akses internet.

“Kerajaan juga boleh mewujudkan usahasama dengan bank untuk memberi perkhidmatan pengeluaran wang melalui agensi sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Afelin memaklumkan bagi segelintir penduduk di pedalaman Sabah, bantuan wang tunai RM500 hingga RM1,600 amat bererti dan untuk mendapatkan tunai itu bukan mudah kerana melibatkan perjalanan sukar dan sekatan antara daerah.


 

  • oleh
  • Advertisement