Anda di sini

Pakar dari China bantu Sarawak mengekang COVID-19

Advertisement
 Cheng (empat kanan) bersama pasukan perubatan dari China sebaik ketibaan di LTAK bagi berkongsi kepakaran membantu usaha kerajaan negeri mengekang COVID-19. — Gambar Tan Song Wei
BANTU SARAWAK: Cheng (empat kanan) bersama pasukan perubatan dari China sebaik ketibaan di LTAK bagi berkongsi kepakaran membantu usaha kerajaan negeri mengekang COVID-19. — Gambar Tan Song Wei

KUCHING: Sepasukan lapan pakar perubatan dari China tiba di sini semalam bagi membantu dalam usaha mengekang COVID-19 di negeri ini.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kesihatan Sarawak Lee Wee Ju berkata pasukan perubatan dari China ini akan berada di negeri selama tiga hari.

Diketuai Naib Presiden Hospital Perubatan Tradisional China Wilayah Guangdong Dr Ji Jun, pasukan perubatan ini turut disertai Dr Wen Miaoyun, Dr Zhang Youping, Dr Liu Tao, Dr Sun Jiufeng, Dr Yang Shifang, Dr Luo Xiao dan Dr Liu Xiangxin.

“Pasukan ini akan berkongsi kepakaran mereka dalam melawan COVID-19 dengan pasukan perubatan kita serta pihak berkepentingan.

“Esok (27 April), pasukan perubatan ini akan mengadakan perjumpaan tertutup dengan pasukan perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS), ahli perubatan swasta dan pengamal perubatan tradisional serta sidang video  bersama daerah lain di Wisma Bapa Malaysia bermula jam 9.00 pagi,” katanya.

Dalam pada itu Dr Zhang yang merupakan pakar daripada Hospital Rakyat Wilayah Guangdong akan melawat HUS pada sebelah petang dan menyediakan maklum balas kepada pasukan mengenai usaha negeri dalam mengekang COVID-19.

Pada 28 April, pasukan perubatan ini akan mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada jam 9 pagi.

Mereka dijangka menyerahkan 30,000 unit penutup mulut dan hidung termasuk 10,000 penutup mulut dan hidung jenis N95 kepada kerajaan negeri.

Pasukan ini juga dijadual melawat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan bertolak ke Kota Kinabalu, Sabah pada hari yang sama.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dijangka mengiringi pasukan perubatan ini sepanjang lawatan mereka di Kuching.

Pasukan ini dijangka berlepas ke Kuala Lumpur pada Khamis sebelum kembali semula ke China pada Jumaat.

Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching Cheng Guangzhong dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Tan Kai mewakili Dr Sim menyambut ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) semalam.

Advertisement