Anda di sini

Ibu bapa sambut baik keputusan kerajaan benarkan pelajar IPT balik kampung

Advertisement
SARIFUDDIN
SARIFUDDIN

 

KOTA KINABALU: Kesediaan Kerajaan Persekutuan membenarkan pelajar-pelajar yang terkandas di institusi pengajian tinggi (IPT) untuk balik kampung disambut baik golongan ibu bapa.

Namun, kerajaan diharap memberikan perincian capaian maklumat yang lebih jelas untuk ibu bapa dan pelajar jadikan rujukan membuat permohonan balik kampung ke negeri asal.

Penjawat swasta Sarifuddin Pasoeri, 49, berkata, kesediaan kerajaan mengizinkan pelajar Sabah dan Sarawak yang terkandas di Semenanjung balik kampung sudah lama ditunggu.

"Dua anak saya, Nurul Syafieqah, 21, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak dan Nurul Syafwanie, 20, Kolej Profesional Mara Bandar Penawar Johor, belum dapat balik.

"Syafieqah misalnya, mengikut kawannya balik ke Bera Pahang, pada 17 Mac iaitu sehari sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan masih berada di sana.

"Dia ikut rakannya balik kampung kerana ada khabar mengatakan kampus mereka kena dikosongkan sepanjang PKP, tapi kesannya sekarang mereka tidak boleh balik ke UPSI.

"Tidak ada pengangkutan awam dari Pahang ke Perak beroperasi, bahkan dikhuatiri jika ada yang hantar dengan kenderaan persendirian pula, sukar menembusi sekatan jalan raya," katanya.

Sarifuddin khuatir jika masa terhad diberikan kerajaan untuk pelajar Sabah dan Sarawak balik kampung pada awal bulan depan, tidak dapat disertai oleh anak perempuannya itu.

Justeru, kerajaan diharap turut prihatin dengan masalah yang dihadapi anaknya dan memberikan kelonggaran untuk pelajar-pelajar Sabah dan Sarawak balik ke kampus masing-masing.

"Pengurusan hal ehwal untuk penerbangan balik ke Sabah untuk Syafwanie dari Johor pula berjalan baik dan diuruskan oleh Majlis Perwakilan Pelajar IPT mereka," katanya.

Menurutnya, pengumuman kerajaan berkaitan pelaksanaan kebenaran terbabit diharap dapat diperkemaskan bagi membolehkan ibu bapa dan pelajar mendapatkan maklumat yang tepat.

Beliau berkata ketika ini, ibu bapa cuma saling bertanya antara satu sama lain, apabila pihak berwajib yang dihubungi belum dapat memberikan penjelasan berhubung langkah itu.

WELDYANSHAH
WELDYANSHAH

Pemandu e-hailing Weldyanshah Ahmad, 46, turut bersyukur dengan pengumuman kerajaan dan sentiasa memantau perkembangan terbabit melalui paparan media massa.

"Anak lelaki saya, Didi Herdyanshah, 21, berada di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan Kuching, dan kami memang berharap dapat bertemu sesegera yang mungkin.

"Lebih-lebih lagi apabila bulan Ramadan yang menjelma dan Syawal semakin hampir, saya harap Didi dapat balik bersama-sama anggota keluarga di kampung," katanya.

Weldyanshah berkata pihaknya turut sedia mematuhi garis panduan kuarantin 14 hari sama ada di stesen kuarantin atau dari rumah, asalkan anak lelakinya dapat dibawa balik ke Sabah.

Beliau percaya prosedur kuarantin yang ditetapkan kerajaan bukan hanya untuk kebaikan anaknya tetapi juga keluarga, sahabat handai, orang kampung dan masyarakat sekeliling.

"Seperti ibu bapa yang lain, saya sambut baik keputusan kerajaan membenarkan pelajar yang terkandas di IPT untuk balik kampung, mudah-mudahan semuanya berjalan lancar.

"Sepanjang PKP, saya seisi keluarga selalu berhubung dengan Didi melalui panggilan video dan bertanya aktiviti seharian yang dilakukannya bersama rakan-rakan di penginapan mereka.

"Saya difahamkan, pensyarah mereka cuba membantu Didi dan rakan-rakannya, namun saya risau dengan perkembangan kesihatan psikologi mereka yang sekadar 'terkurung' di bilik.

"Saya setuju dengan pendapat yang mengatakan daripada kerajaan belanja duit untuk tampung kos makan minum anak-anak pelajar di IPT, baik dibelanjakan untuk petugas barisan hadapan.

"Jika anak-anak pelajar yang terkandas di IPT ini dibenarkan balik ke rumah masing-masing, sekurang-kurangnya mengurangkan beban tambahan kos yang perlu kerajaan tanggung.

"Mudah-mudahan, pada awal bulan depan kelak, anak saya antara salah seorang insan bertuah yang diizinkan balik ke Sabah, dan kami amat merindukan masa bertemu semula," katanya.

 


 

  • oleh
  • Advertisement