Anda di sini

Liga-M tidak dibenarkan selepas tamat PKP

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Saingan bola sepak Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020 tidak boleh dianjurkan buat sementara walaupun selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan, tegas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar).

Beliau berkata semua kejohanan bola sepak tempatan perlu ditangguh sehingga ke satu tempoh yang akan diumumkan kelak.

“Prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan menetapkan apa sahaja bentuk perkumpulan tidak dibenarkan dan perlawanan bola sepak melibatkan dua pasukan dengan 22 orang.

“Jadi ini akan menyebabkan berlaku kontak secara fizikal, bersentuhan antara satu sama lain. Berdasarkan SOP ini kita tidak boleh benarkan pertandingan bola sepak ini diadakan walaupun selepas PKP berakhir,” katanya pada sidang media harian, di sini hari ini.

Beliau berkata selepas tempoh PKP berakhir kelak, rakyat masih tidak boleh bergerak bebas seperti sebelum ini dan akan terikat dengan beberapa SOP tertentu untuk mengelak berlaku penularan semula wabak COVID-19.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri, berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini sedang merangka satu SOP yang perlu dipatuhi oleh rakyat selepas tempoh PKP ditamatkan, kelak.

“Walaupun PKP ditamatkan, perhimpunan seperti program melibatkan kehadiran secara berkumpulan masih tidak dibenarkan, cuma tempoh sehingga bila SOP itu dikuatkuasakan kita akan umumkan kemudian kerana MKN sedang merangka SOP selepas PKP tamat,” katanya

Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dilaporkan menghantar permohonan rasmi kepada MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan pandangan dan kelulusan menggunakan SOP yang akan dipatuhi bagi membolehkan saingan Liga-M 2020 diteruskan.

Kedua-dua entiti bola sepak tanah air itu difahamkan turut merangka beberapa SOP untuk setiap pasukan bertanding, dengan semua pemain serta pegawai pasukan diwajibkan untuk menjalani ujian saringan COVID-19 bagi memastikan semua individu yang terlibat bebas daripada wabak berkenaan.

FAM dan MFL menangguhkan semua aktiviti bola sepak di bawah kelolaan mereka sejak 16 Mac lalu susulan penularan COVID-19, selain untuk mematuhi penguatkuasaan PKP bagi memutuskan rantaian wabak penyakit tersebut. - BERNAMA

Advertisement