Anda di sini

PKP dilanjutkan, polis sentiasa bersedia mental dan fizikal

Advertisement
 

KUCHING: Pegawai dan anggota polis sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei ini, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar.

Menurutnya, dengan semangat yang kental pegawai dan anggota dalam menunaikan tanggungjawab kepada negara, polis sejak awal lagi telah menjangka lanjutan PKP yang dilaksanakan sejak 18 Mac.

“Kita masih ada anggota simpanan dan kita akan membuat pusingan tugas supaya mereka yang telah bertugas di lapangan untuk tempoh yang lama sejak PKP1 boleh ditukarkan dengan anggota simpanan.

“Kita tetap menguatkuasakan PKP dengan ketat dan menasihati orang ramai supaya terus mematuhinya dan hanya melakukan pergerakan yang perlu sahaja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tegasnya, pelaksanaan PKP ketika Ramadan tidak akan mengganggu tumpuan anggota dan pegawai yang beragama Islam.

“Penugasan kita lebih mencabar lagi pada Ramadan ini. 

“Namun, saya yakin pegawai dan anggota-anggota PDRM di lapangan mempunyai semangat yang kental dan bertekad untuk memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan,” katanya.

Advertisement