Anda di sini

COVID-19: Malaysia hadapi  bencana luar biasa

Advertisement
 

EKONOMI Malaysia dijangka berdepan cabaran luaran tahun ini terutamanya daripada pandemik COVID-19 yang sudah bermula mengganggu perniagaan dengan adanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terpaksa diadakan. 

Inilah realiti hidup sekarang.  Malangnya  ramai kita  tidak tersangka krisis wabak COVID-19  boleh membawa 'musibah' yang lebih teruk kepada ekonomi kita  berbanding dengan krisis-krisis dalam tempoh dua dekad lalu, di mana Malaysia menghadapi krisis kewangan Asia pada 1997, kelembapan ekonomi global selepas peristiwa 9/11 pada 2001 dan krisis kewangan global pada 2008.

 COVID-19 sudah bermula mengganggu perniagaan dengan adanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terpaksa diadakan. 
PKP: COVID-19 sudah bermula mengganggu perniagaan dengan adanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terpaksa diadakan. 

Berikutan keadaan semasa, banyak pakar ekonomi  menjangkakan aktiviti perniagaan mungkin tidak akan mencatatkan pemulihan dalam tempoh terdekat ini. 

Walaupun kerajaan kita menyediakan pakej rangsangan yang besar bertujuan menangani kelembapan ekonomi, ia mungkin akan menyebabkan defisit belanjawan yang tinggi melebihi sasaran kepada paras -3.2 peratus tahun ini. 

Di masa yang sama, aktiviti ekonomi juga mengambil masa yang lama untuk kembali pulih seperti biasa sekiranya pandemik itu berjaya dikawal.

Menurut pengurus negara Bank Dunia (WBG) ke Malaysia Dr Firas Raad,  Malaysia tidak terkecuali daripada kejutan luaran yang menjejaskan makroekonomi negara. 

Setiap kejutan ini menjejaskan ekonomi Malaysia dalam bentuk berlainan. Krisis pertama menyebabkan penguncupan ekonomi paling besar dalam sejarah Malaysia dengan kadar pertumbuhan bertukar -7.35 peratus pada 1998. 

Negara berjaya mengatasi krisis besar itu melalui dasar berhemat dan penggarisan langkah penting untuk melindungi Malaysia daripada dua kejutan ekonomi yang muncul seterusnya.

COVID-19 menjejaskan kestabilan ekonomi negara melalui beberapa  saluran utama.  Yang ketara sekali, sektor-sektor ekonomi dalam negara tertekan akibat kesan rantaian bekalan global. 

Baru baru ini kita lihat pengeluaran sektor pembuatan automobil dan topeng muka terjejas kerana kekurangan pengeluaran bahan mentah di negara-negara terjebak akibat COVID-19 seperti China. 

Sektor pengangkutan udara juga terjejas kerana syarikat penerbangan terpaksa menghadkan atau memberhentikan seketika operasi penerbangan segmen luar negara. 

Penerbangan Malaysia  dan AirAsia adalah di antara mangsa COVID-19. Di masa yang sama gunatenaga perniagaan terhimpit akibat daripada PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN di mana pekerja-pekerja yang terkena jangkitan dan juga arahan sementara kawalan pergerakkan penduduk. Akibatnya, pengeluaran barangan dan perkhidmatan akan berkurangan.

Yang juga tertekan sekali ialah sektor perlancongan dan sektor-sektor berkaitan terjejas akibat sekatan kemasukkan pelancong asing dan kawalan pergerakkan yang membuntuhkan  bisnis pelancongan domestik.

Apa yang unik mengenai krisis global COVID-19 ini adalah keadaan wabak ini muncul serta ancamannya terhadap negara dan juga masyarakat sejagat.

Virus COVID-19 serang ketika persekitaran ekonomi global mengalami sedikit kelembapan. Sebelum tersebar COVID-19 ke seluruh dunia tiga bulan lalu, pertumbuhan ekonomi hampir semua negara semakin perlahan berikutan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Wabak global menjadi krisis kesihatan awam antarabangsa dan krisis ekonomi sedunia  yang menyebabkan kejutan bekalan serta permintaan meliputi lebih 180 negara.

Yang membimbangkan, apabila pandemik global ini semakin berlarutan, harga minyak antarabangsa turut mengalami kejatuhan pada awal Mac mengakibatkan tekanan fiskal tambahan terhadap negara pengeluar minyak termasuk Malaysia.

 Syarikat penerbangan Jepun ANA Holdings minggu ini mengurangkan ramalan keuntungan bersih tahunannya sebanyak 71 peratus disebabkan kemerosotan mendadak dalam permintaan dan pembatalan berpunca daripada pandemik.
MEROSOT: Syarikat penerbangan Jepun ANA Holdings minggu ini mengurangkan ramalan keuntungan bersih tahunannya sebanyak 71 peratus disebabkan kemerosotan mendadak dalam permintaan dan pembatalan berpunca daripada pandemik.

Sehingga 22 April 2020,  terdapat 50 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,532 kes. 

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,987 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan. 

Sehingga kini, seramai 43 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 25 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Kejutan COVID-19 yang dihadapi ekonomi Malaysia semakin terkesan dengan krisis kesihatan awam yang meningkat. 

Pada peringkat awal, kesan krisis mula dirasai sektor produk elektrik dan elektronik (E&E) yang berkait rapat dengan pasaran China dan sektor pelancongan serta runcit disebabkan penurunan mendadak jumlah pelancong. 

Kesan ini semakin ketara dan mengakibatkan gangguan menyeluruh kepada semua aktiviti ekonomi di negara ini, termasuk pasaran kewangan dan mata wang. Banyak pakar ekonomi berpendapat pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2020 dijangka turun ke paras -0.1 peratus berdasarkan senario garis dasar dan -4.6 peratus pada kes senario rendah.

Selain pemberhentian pekerja secara besar-besaran, wabak global juga memberi impak mendalam terhadap kadar kemiskinan di rantau ini, yang mana 24 juta orang tidak mampu keluar daripada kepompong kemiskinan pada 2020 mengikut senario garis dasar berbanding diunjurkan sebelum COVID-19.

Menurut kenyataan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan pada  minggu lalu, 100,000 rakyat Malaysia akan kehilangan pekerjaan jika COVID-19 berterusan sehingga penghujung tahun ini sebagai hanya spekulatif. 

Anggaran ini tidak mengambil kira pelbagai inisiatif yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan bagi melindungi pekerja dan menambah baik kecekapan pasaran buruh negara untuk menangani pelbagai cabaran sosio-ekonomi termasuklah ancaman COVID-19 ini. 

Laporan terbaru Bank Dunia  menggesa negara mengambil tindakan segera untuk mengukuhkan pembendungan wabak, meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan dan melaksanakan langkah ekonomi yang disasarkan bagi mengurangkan kesan ke atas isi rumah, perniagaan dan pekerja Malaysia.

Ini termasuk suntikan mudah tunai lebih besar dan fleksibiliti pembayaran balik kepada sektor kewangan. 

Laporan itu juga menegaskan betapa penting negara mengamalkan pendekatan bersepadu terhadap pembendungan wabak COVID-19 dan dasar makroekonomi serta kerjasama antarabangsa dan perkongsian awam-swasta untuk memastikan pengeluaran dan pembekalan barangan perubatan utama di seluruh sempadan antarabangsa.

Selaras cadangan itu, Kerajaan Malaysia mengeluarkan dua pakej rangsangan ekonomi dan meletakkan negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga pertengahan Mei. 

Walaupun kerajaan  menyediakan pakej yang besar bertujuan menangani kelembapan ekonomi, ia akan menyebabkan defisit belanjawan yang tinggi melebihi sasaran kepada paras -3.2 peratus tahun ini. 

PKP melarang perhimpunan awam dan mewajibkan pembelajaran serta bekerja dari rumah untuk semua pelajar dan pekerja (kecuali mereka terbabit dalam sektor perkhidmatan penting). 

 Melihat perniagaan runtuh bukanlah pilihan. Bailout bukan hanya mengenai lelaki lapar di jalan, tetapi juga mengenai kapitalis yang membayar agar lelaki yang kelaparan di jalan itu dapat bertahan hidup.
BUKAN PILIHAN: Melihat perniagaan runtuh bukanlah pilihan. Bailout bukan hanya mengenai lelaki lapar di jalan, tetapi juga mengenai kapitalis yang membayar agar lelaki yang kelaparan di jalan itu dapat bertahan hidup.

Langkah ini bertujuan menghadkan penularan virus secara meluas. Pematuhan orang ramai terhadap dasar ujian saringan KKM dan PKP adalah penting untuk menghalang pembentukan gelombang jangkitan baharu.

Walaupun pakej kedua ini langkah wajar untuk krisis COVID-19, persoalan timbul mengenai jurang pakej dan jumlah yang sesuai bagi sesetengah langkah yang diumumkan. 

Khususnya, cara terbaik untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro memerlukan idea dan tindakan lebih lanjut serta saiz subsidi yang agak sederhana mungkin tidak mencukupi untuk mengelakkan pemberhentian pekerja oleh syarikat berkedudukan kewangan lemah.

Sekiranya krisis kesihatan awam ini masih berterusan dan mengakibatkan tempoh kawalan pergerakan dilanjutkan, pakej rangsangan ekonomi ketiga mungkin diperlukan.

Advertisement