Anda di sini

Melihat kehidupan siring Sungai di Lok Baintan

Advertisement
“Ke Kampung Melayu membeli kain, kain sasirangan pakaian raja, ayo bapak ibu datang ke Banjarmasin, Kota Sungai Terindah Seindonesia”
“Ke Kampung Melayu membeli kain, kain sasirangan pakaian raja, ayo bapak ibu datang ke Banjarmasin, Kota Sungai Terindah Seindonesia”

BANJARMASIN adalah kota sungai terindah di Indonesia. Tiada siapa yang menafikan bahawa sungai tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan penduduk Banjarmasin dari dahulu hingga sekarang.

“Ke Kampung Melayu membeli kain, kain sasirangan pakaian raja, ayo bapak ibu datang ke Banjarmasin, Kota Sungai Terindah Seindonesia”, saya teringat pantun wali kota Banjarmasin, H Ibnu Sina.

Bagi sesiapa yang pernah ke bandaraya terbesar di Kalimantan itu, Banjarmasin memberikan banyak catatan kenangan. Saya terkenang kunjungan ke pasar terapung Lok Baintan, salah satu pasar terapung terkenal di Banjarmasin sambil melihat kehidupan masyarakat di pinggir sungai Martapura.

Selain pasar terapung Lok Baintan, terdapat dua lagi pasar terapung iaitu Pasar Terapung Muara Kuin di Sungai Barito   dan Pasar Terapung Tendean di tengah kota Banjarmasin.

 Pasar Terapung Lok Baintan.
PERLU DIKUNJUNGI: Pasar Terapung Lok Baintan.

Pasar terapung adalah ikon pelancongan Kalimantan Selatan. Pedagang dan pembeli menggunakan jukung, sebutan perahu dalam bahasa banjar. Pasar terapung bermula sebaik selesai solat Subuh dan berakhir kira-kira jam 7.00 pagi.

Hari itu, kami menaiki Kelotok menyusuri sungai menuju Lok Baintan. Suasana masih gelap. Kerlipan lampu kelihatan di rumah-rumah di sepanjang siring sungai. Siring ertinya tepi.

Di sepanjang siring sungai itu, terdapat banyak rumah-rumah penduduk. Kelihatan ada juga yang sudah meniup api di atas tungku, menjerang air,mungkin menyediakan sarapan.

Ada juga yang sedang bersiap siap untuk mandi sementara beberapa orang yang lain mendayung jukung yang digunakan sebagai pengangkutan di kawasan yang juga dikenali sebagai kota seribu sungai itu.

 Sebuah rumah di tepi sungai.
DI SIRING SUNGAI: Sebuah rumah di tepi sungai.

Selepas menyusuri sungai dengan menaiki kelotok  kira-kira 30 minit dari Depot Soto Bang Amat, kami akhirnya melihat makcik-makcik atau acil berjualan beraneka jenis buah-buahan, barangan keperluan harian, ikan kering dari atas perahu mereka.

Sebuah kelotok boleh memuatkan lebih sepuluh orang dengan sewa Rp300,000. Kelotok adalah jenis perahu besar menggunakan enjin. Sebab itu, perjalanan kami ke Lok Baintan agak lancar. Di kiri kanan sungai itu, saya melihat Banjarmasin menggeliat bangun untuk memulakan pagi dengan cuaca dan angin segar.

Saya tidak pasti berapa jumlah peniaga di atas jukung itu. Mungkin puluhan. Mereka membawa pelbagai jenis barang dagangan untuk dipasarkan.

 Seorang penduduk sedang berdayung di depan rumahnya.
BERDAYUNG: Seorang penduduk sedang berdayung di depan rumahnya.

Menurut Bu Tia, pasar Lok Baintan itu sudah wujud sejak lama. Sejak zaman kanak-kanak lagi, pasar terapung Lok Baintan tak pernah sepi, kecuali hari lebaran. Beliau sendiri sudah sepuluh tahun berjualan atas perahu. Pasar itu sendiri beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga menjelang 9.30 pagi.

Pasar terapung ini terletak di Sungai Pinang atau Lok Baintan, kecamatan Sungai Tabuk. Beragam dagangan hasil pertanian, kebun, ikan dan sebagainya dijual di atas jukung.

Kebanyakan penjual dan petani yang menjual hasil pertanian mereka berasal dari desa yang teretak di beberapa anak Sungai Martapura, antaranya sungai Lenge, Sungai akung, Sungai Paku Alam, Sungai Saka Bunut, Sungai Madang, dan Sungai Lok Baintan sendiri.

 Anak-anakk sekolah menyeberangi Jambatan.
MENYEBERANGI JAMBATAN: Anak-anakk sekolah menyeberangi Jambatan.

Ramai yang datang menawarkan buah-buahan, meminta kami untuk menikmati betapa `nyaman’ atau enaknya. Mas Eko wahyudi, sahabat lama yang menemani saya ke Lok Baintan itu menceritakan betapa setiap pengunjung atau pelancong ke Banjarmasin, tidak akan melepaskan peluang untuk melihat pasar terapung.

Sambil berjualan itu, acil atau makcik-makcik itu turut menjual pantun. Ramai di antara mereka sangat mahir berpantun. Hanya saya yang tidak pandai menjawapnya.

“Dari mana hendak ke mana/Dari Jawa ke Surabaya/Bolehkah tuan kami bertanya/’pakcik yang ganteng siapa yang punya?” tanya Bu Ipah. Saya balik bertanya, kalau dijual pantun begini, bagaimana cara menjawapnya? Mereka tertawa mendengar pertanyaan itu.

 Antara yang dijual di rumah di tepi sungai.
KAYU API: Antara yang dijual di rumah di tepi sungai.

Kebanyakan mereka menjual barangan tani itu dari kebun mereka sendiri.. Ada juga yang membelinya dari petani. Kebanyakan penduduk itu, datang dari kampung-kampung berdekatan.

Selain barangan pertanian, ada juga yang menjual sate, ada juga yang menjual ikan haruan, buah limau dan sebagainya.

“Ikan sepat jemur sehari/Jangan kau sangka ikan saluang/Kalau tak bertemu barang sehari/Jangan disangka aku membuang” ini pantun Ibu Reptia, 40. Saya tertarik dengan kebolehan mereka berpantun. 

“Tapi kalau mahu beli kain sasirangan, tempatnya bukan  di sini,” kata penjual itu. Kain Sasirangan adalah kain tradisional Banjar yang dibuat dengan teknik jahit jelujur dan celup warna.

 Salah satu pemandangan menarik.
MENARIK: Salah satu pemandangan menarik.

Pemandangan di Lok Baintan memang sangat menarik. Penjual yang kebanyakannya wanita ada yang memakai tanggui, penutup kepala dari daun nipah, atau salungkui, kain penutup kepala.

Selain menggunakan wang rupiah, mereka  juga menjalankan transaksi menggunakan sistem tukar barang atau sistem barter, dan biasanya, barangan yang tukar itu ialah sayur-sayuran dan buah-buahan manakala jumlahnya adalah dari kesepakatan dua belah pihak.

Mereka menyusun buah-buahan yang dijual itu di atas tampi, atau nyiru. Atau kadang dalam bakul. Sebenarnya ia pengalaman yang sangat menarik.

Saya teringat wawancara dengan Pak H Ibnu Sina, Walikota Banjarmasin sehari sebelum itu. Beliau bertekad mahu menjadikan  Banjarmasin sebagai kota sungai yang terindah dan terbaik di Indonesia.

Pasar terapung itu sudah wujud sejak abad ke-18 lagi ketika era kesultanan Banjar dan sejak itu, pasar terapung itu menjadi daya tarikan tersendiri bagi kota itu.

 Penulis ketika berkunjung ke Lok Baintan yang wujud sejak abad ke-18.
BERSEJARAH : Penulis ketika berkunjung ke Lok Baintan yang wujud sejak abad ke-18.

Selepas kira-kira dua jam, kami memutuskan untuk mengakhiri kunjungan ke Lok Baintan. Dalam perjalanan pulang itu, saya melihat orang menjaring ikan dengan ringgi,jaring nilon yang dibentangkan di sungai.

Pengalaman berkunjung ke Lok Baintan itu, menghadiahkan kenangan tersendiri dan moga satu hari nanti, saya berpeluang lagi ke Banjarmasin, makan soto di Depot Soto Banjar Bang Amat atau nasi kuning di Warung Bang Rahmat  di Jalan Perintis Kemerdekaan, salah satu penjual nasi kuning terbaik di Banjarmasin. 

Advertisement