Anda di sini

SESB laksana semula aktiviti bacaan meter

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kini memulakan semula aktiviti bacaan meter di premis sejak 17 April lalu yang akan dilaksanakan oleh anggota kerja SESB terhadap semua pengguna yang dijangka akan selesai pada 16 Mei depan.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Norhizami Abu Hasan berkata, dengan pelaksanaan bacaan meter di tapak atau premis yang boleh diakses, pengguna akan mendapat bacaan meter sebenar dan dapat menerima bil seperti biasa.

“Pelaksanaan ini adalah bagi membantu pengguna mendapatkan bil dengan amaun sebenar dan ini adalah penting kerana penggunaan adalah amat berbeza semasa tempoh PKP.

“Kaedah anggaran sukar dibuat untuk setiap pengguna, lebih-lebih lagi dengan pengiraan diskaun yang perlu, tepat dan bersesuaian dengan kategori-kategori tertentu pengguna,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Tambahnya jumlah diskaun yang diberikan kepada pengguna juga akan tertera di dalam bil berkenaan berdasarkan kepada Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 2020 yang diumumkan oleh kerajaan.

Norhizami berkata pihaknya amat mementingkan perihal keselamatan dan kesihatan pembaca meter SESB dan pihak pelanggan dengan mematuhi sepenuhnya prosedur pencegahan yang disarankan pihak berkuasa.

“Pengguna yang mana premis mereka tidak dapat diakses untuk pembacaan meter, maka bacaan akan dibuat secara anggaran sahaja dan pengguna juga dinasihatkan untuk berdaftar dalam sistem perkhidmatan pelanggan secara online SESB iaitu 'Online Customer Service SESB'.

“Melalui sistem ini pemgguna boleh mengetahui jumlah terkini bil elektrik mereka termasuk diskaun yang diberikan mengikut kategori yang ditetapkan serta kemudahan membuat pembayaran secara online.

“Pengguna yang menghadapi masalah untuk mendaftar masuk ke OCS SESB dikehendaki untuk terus menghubungi SESB Careline di talian 088- 515000 atau melalui applikasi WhatsApp di nombor 019-852 5429 untuk mendapatkan maklumat lanjut serta bantuan pendaftaran,” katanya.

Tambahnya anggota kerja SESB yang melakukan bacaan meter di premis pengguna akan mengenakan pakaian seragam yang mempunyai logo SESB berserta kad pekerja disamping mematuhi perintah pencegahan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

  • oleh
  • Advertisement