Anda di sini

Boleh jual juadah di pekarangan rumah sepanjang Ramadan

Advertisement
 

KUCHING: Penjualan juadah makanan sepanjang Ramadan dibenarkan tetapi hanya dalam lingkungan kawasan rumah masing-masing sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hari ini menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar) hanya membenarkan ia beroperasi jam 3 petang hingga 10 malam, setiap hari.

Katanya lagi, hanya urusan jual-beli untuk dibawa pulang dibenarkan.

"Peniaga dan pembeli hendaklah mematuhi penjarakan sosial, pemakaian topeng muka dan mengamalkan kebersihan yang tinggi semasa berurusan jual beli.  Bagaimanapun semua pasar, bazar dan gerai berkelompok bagi tujuan barangan makanan semasa bulan Ramadan adalah tidak dibenarkan untuk beroperasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat harian JPBNS mengenai COVID-19 yang dihadiri Timbalan Ketua Menteri juga pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, semua hotel, restoran makanan segera dan restoran juga dibenarkan untuk menjual makanan bawa pulang dari jam 3 petang hingga 10 malam sepanjang Ramadan. 

Beliau berkata, walaupun restoran makanan segera dan restoran lain dibenarkan untuk beroperasi sehingga 10 malam tetapi orang ramai disaran tidak menyalahgunakan waktu berkenaan.

"Orang ramai adalah dinasihatkan untuk terus duduk di rumah kecuali untuk tujuan membeli makanan bagi berbuka puasa atau sahur sahaja dan jangan menyalahgunakan masa diberikan ini untuk acara lain," katanya yang juga timbalan pengerusi JPBNS.

Jawatankuasa kata beliau menggalakkan peniaga menggunakan kemudahah dalam talian sepanjang Ramadan.

Katanya ia terutama sekali kepada mereka yang mempunyai kemudahan atau Internet selain penghantaran makanan terus ke rumah.

"Kita juga amat menggalakan kepada peniaga yang mempunyai fasiliti atas talian. Kita juga amat mengalakkan peniaga untuk melakukan penghantaran ke rumah," katanya.

Sementara beliau berkata, bagi trak makanan bergerak adalah tidak dibenarkan untuk beroperasi.
 

Advertisement