Anda di sini

Berkumpul bergunting rambut depan rumah ketika PKP, empat lelaki didenda mahkamah

Advertisement
Antara yang hadir atas kesalahan PKP di Mahkamah Majistret Samarahan hari ini.


KOTA SAMARAHAN: Hasrat untuk menggunting rambut di depan rumah menyebabkan empat lelaki dikenakan hukuman denda RM1,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majistret Afidah Abdul Rahman setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan bersalah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

"Setiap tertuduh didenda RM1,000 atau sebulan penjara sekiranya gagal membayar," ujarnya ketika prosiding mahkamah. 

Berdasarkan fakta kes, pada 17 April lalu, Mas Ismail Mashor, Mohd Shahrulnizam Mahmor dan Muhammad Samir Sabirin Abdullah berkumpul di hadapan rumah Mas Ismail pada jam 6.10 petang kerana hendak mendapatkan khidmat gunting rambut daripada Willinton Wester Charlie. 

Polis juga menerima panggilan tidak diketahui yang menyatakan terdapat empat lelaki berusia antara 18 hingga 35 tahun berhimpun di sebuah rumah. 

Polis yang sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan Kota Samarahan kemudian terus diarahkan untuk bergerak ke rumah Mas Ismail di Jalan Datuk Mohd Musa.

Fakta kes turut menyatakan, hasil siasatan mendapati kesemua mereka berhimpun dan berkumpul tanpa memberikan sebarang alasan munasabah.

Mereka ditahan dan kemudiannya didakwa kerana berhimpun bagi maksud sosial yang melanggar Peraturan 6 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020. 

Selain empat individu tersebut, seramai enam lagi individu turut mengaku bersalah melakukan kesalahan sama di bawah Peraturan 6(1) dan turut dikenakan denda yang sama. 

Manakala 40 orang lagi mengaku bersalah apabila didakwa di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020. 

Mereka turut didenda RM1,000 atau sebulan penjara sekiranya gagal membayar. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hafiz Musa manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement