Anda di sini

Bayi lelaki selamat dilahirkan dalam SJR

Advertisement
 Bayi lelaki dalam keadaan stabil selepas dilahirkan di dalam kenderaan.
STABIL: Bayi lelaki dalam keadaan stabil selepas dilahirkan di dalam kenderaan.

TAWAU: Seorang bayi lelaki selamat dilahirkan di dalam kenderaan milik datuknya selepas terperangkap dalam kesesakan lalu lintas akibat sekatan jalan raya (SJR), di sini.

Datuk bayi itu, Abdul Asa Mohd Salleh, 65, tidak menyangka anak perempuannya itu akan bersalin di dalam kenderaannya.

"Sebaik menerima panggilan daripada anak saya, Noziee Abdul Asa, 37, kira-kira jam 9.30 pagi yang mengatakan dia mengalami sakit perut dan ketika itu memang sedang menunggu hari, saya terus bergegas membawanya ke Hospital Besar Tawau (HBT).

"Kami bergerak dari flat perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu 8 yang terletak kira-kira 14 kilometer dari HBT dan saya berfikir dalam keadaan sekarang ialah kesesakan lalu lintas di sekitar SJR Jalan Apas," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, bagi mengelak kesesakan di Jalan Apas, mereka cuba menggunakan laluan di Jalan Tiku sebelum tersekat di SJR Jalan Kuhara.

"Mujur ketika itu, sebuah kenderaan ambulans sedang melalui kawasan yang sama sebelum memberitahu keadaan Noziee kepada kakitangan perubatan dan kami dibenar mengikuti pergerakan ambulans dari belakang untuk mempercepatkan perjalanan ke hospital.    

"Namun, sebaik tiba di Unit Kecemasan Hospital Tawau, saya diarahkan oleh kakitangan bertugas untuk menghantar Noziee ke wad bersalin, selepas memeriksa keadaannya," katanya.

Menurutnya, mereka terpaksa akur arahan pihak hospital dan untuk sampai ke wad bersalin, mereka terpaksa melalui satu lagi SJR di Jalan Tanjung Batu.

"Seperti dijangka, kami sekali lagi kami 'sangkut' dalam kesesakan lalu lintas akibat SJR Tanjung Batu sebelum pihak berkuasa bertugas membenarkan mereka melalui kawasan tersebut dengan kadar segera.

"Sebaik tiba di pondok bas berhampiran pagar masuk hospital, saya mendapati Noziee sudah melahirkan bayi lelaki, walaupun terkejut saya tetap meneruskan perjalanan seperti biasa menuju di wad bersalin dan segera memaklumkan petugas kesihatan di sana," katanya.

Abdul Asa berkata, dia hanya mampu melihat dari jauh petugas perubatan merawat anak dan cucunya di dalam kenderaan berkenaan sebelum mereka dipindahkan ke wad untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, Noziee menerusi status yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya berkongsi kegembiraannya melahirkan bayi lelaki seberat 3.4 kilogram dalam kenderaan bapanya.

Menerusi status itu, Noziee menjelaskan bayinya dimasukkan ke wad lain kerana mengalami sedikit masalah pernafasan, namun mereka berdua dalam keadaan stabil.

 

  • oleh
  • Advertisement