Anda di sini

Lahad Datu Zon Merah ketiga Sabah: PKP di Felda Sahabat dipertingkat

Advertisement
NASRI
NASRI

LAHAD DATU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Lahad Datu mempertingkatkan lagi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini yang diisytihar Zon Merah semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor, kawasan Felda Sahabat, Tungku menjadi keutamaan penguatkuasaan itu berikutan terdapat tiga kes terkini positif COVID-19 dari kalangan komuniti peneroka.

"Penguatkuasaan PKP yang diperketatkan di kawasan Felda bertujuan untuk mencegah dan menghapuskan rantaian COVID-19 yang boleh mengancam keselamatan kesihatan dalam komuniti.

"Dipercayai, tiga individu ini atau kontak mereka telah pun bergerak ke sekitar Felda termasuk mengunjungi Bandar Cenderawasih dan lain-lain tempat di sana," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurut Nasri, JPBD Lahad Datu telah memutuskan tidak ada aktiviti pergerakan keluar dan masuk di Felda Sahabat sehingga penugasan penyaringan dan penyahkuman di kalangan setiap ahli komuniti diselesaikan.

Katanya, semua aktiviti ladang dan kilang juga akan dihentikan sementara manakala pasaraya, kedai makan, pasar awam akan diteruskan dengan kadar yang dihadkan.

"Satu sistem penggiliran diwujudkan bagi menghadkan pergerakan dari aktiviti pembelian dan penghantaran barang-barang keperluan di kawasan Felda Sahabat," katanya.

Beliau seterusnya memberi jaminan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan bukanlah tindakan sekatan pergerakan (lockdown) 100 peratus di Felda Sahabat.

Nasri menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu sepertimana yang ditularkan di aplikasi Whatsapp.

Semalam, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon dalam kenyataan berkata tiga kes pertambahan menjadikan 42 kes positif COVID-19 di Lahad Datu seterusnya menjadi daerah Zon Merah ketiga di Sabah.

JPBD merekodkan daripada 42 kes itu sebanyak 11 kes dikesan dari kawasan Felda Sahabat.

  • oleh
  • Advertisement